Jumlah Pengunjung Setakat Ini

Sabtu, 22 Januari 2011

Entry Ke-501, Khas buat Sahabatku NurulKhatijah

Alhamdulillah, dah masuk entry ke 501 sudah..Tak sangka, banyak juga perkara yang telah Zaila kongsikan bersama. Walaupon sekarang ni sudah agak jarang untuk menulis, tapi harap kawan-kawan semua tak jemu untuk berkunjung ke blog Zaila yang tak ada apa menarik pon ni.

Hari ni rasa macam nak membebel je, memandangkan anak-anak pon sudah tidur..jari jemari ni terasa sedikit kegatalan untuk menaip laju-laju apa yang ada di dalam benak fikiran Zaila sekarang ini so harap kawan-kawan pon dapat baca laju-laju & maafkanlah kalau andai setiap bait atau patah perkataan yang Zaila taip ni menyinggung perasaan / ada kesalahan tatabahasa mahupon berbelit-belit untuk difahami, fahamilah bahawa ini adalah satu luahan perasaan dari mak buyong yang hatinya meronta-ronta untuk berkata-kata!!!

Alhamdulillah, sudah hampir seminggu arwah kawan baik Zaila meninggalkan Zaila. Dengan kata lain, pergi tak kembali lagi. Saban hari Zaila merindui arwah, mungkin kerana terlalu banyak kenangan yang telah terukir sepanjang perkenalan dengan arwah. Setiap kali teringat kat arwah, setiap kali itu juga Zaila akan menghadiahkan al-fatihah & bacaan yasin buat arwah. Moga roh arwah tenang di SANA. Ternyata, sepanjang hampir 3 tahun mengenali arwah, boleh dikatakan Zaila banyak menghabiskan masa bersama arwah. Mungkin kerana kami sama-sama orang Kelantan membuatkan Zaila mudah mesra dengan arwah yang dipanggil dengan panggilan "Cat". Walaupon arwah tua setahun dari Zaila tapi Zaila tak pernah pon memanggil arwah dengan panggilan "kakak" & hanya berbahasa aku - mung sahaja. Boleh dikatakan kami begitu kamceng sekali di office. Zaila rasakan arwah seorang sahabat yang sejati, yang tak pernah membelakangi kita mahupon mengutuk kita dari belakang. Berkawan dengan arwah membuatkan Zaila tenang & bebas dari unsur-unsur mengata / mengumpat rakan-rakan sekerja yang lain. Memang arwah seorang yang tak suka ambil tahu hal orang so setiapkali berbual dengan arwah, sudah pasti topik yang akan keluar berkisar tentang anak-anak Zaila, kehidupan kami seharian. Sesekali pernah juga Zaila mendengar rungutan arwah tentang kesulitan dalam mendapatkan kerja kerajaan *biasalah tu, kami sama-sama merungut*

Sebenarnya masih banyak rahsia peribadi arwah yang masih belum Zaila cungkil. Walaupon kami sentiasa berbual bersama, tapi secara jujurnya Zaila malu untuk bertanya lebih-lebih tentang kehidupan arwah, macamana arwah bertemu dengan tunang arwah, apa hadiah harijadi yang arwah terima, kerana Zaila tahu arwah memang tidak suka untuk berbicara tentang dirinya. Namun tak dinafikan arwah seorang pendengar yang setia. Selalu bertanyakan khabar Haziq & Husna & sekiranya Zaila sakit / tak datang kerja, arwah akan sms Zaila bertanyakan khabar. Begitulah akrabnya kami..Pagi-pagi lagi bila tiba di office Zaila akan ke pantry untuk bersarapan dengan arwah. Kalau tak sempat beli makanan, sohih makanan arwah yang akan jadi mangsa Zaila. Arwah sangat suka beli laksam yang kuahnya manis & Zaila pernah berjanji untuk membuat laksam bersama-sama dengan arwah. Tapi apakan daya, tak sempat Zaila tunaikan janji Zaila;( Menjadi seorang pembantu IT di office Zaila ni membuatkan arwah memang dikenali semua orang. Memang cukup senang untuk meminta tolong arwah installkan apa2 perisian di pc ni *asal jangan minta install chatting sudah* & Zaila rasa semua pekerja baik lelaki mahupon wanita memang suka bekerja dengan arwah!! Manakan tidak, bos Zaila sanggup call arwah dari Labuan semata-mata untuk bertanya macamana nak set up printer..hehehe..Kalau tanya Zaila, sohih Zaila jawab "errr, saya pon tak pasti"

Arwah seorang yang begitu berdisiplin. Kalau bukan waktu rehat, jangan harap arwah akan duduk goyang-goyang kaki layan gosip. Solat pon memang di awal waktu & lepas solat tu memang panjanglah doanya sampaikan Zaila tertanya-tanya entah apa lah yang didoakan tu?? Hampir semua aktiviti yang kompeni anjurkan kami sertai bersama-sama. Teringat lagi kenangan ke Phuket pada tahun 2009. Hampir setiap masa arwah bersama dengan Zaila. Masa tu Zaila menumpang kamera arwah. Mana ada arwah, di situ ada muka Zaila;D Selain itu, arwah juga memang menjadi peneman setia Zaila di kala husband Zaila outstation. Sebut je "Cat, laki aku nak kena g Labuan r esok, tido rumah aku deh" Pastinya jawapan yang diberikan "Ok" & tak pernah mengecewakan. Mana nak cari teman sebaik ini, yang tidak banyak berkira & menolong kita seikhlas hati tanpa mengharapkan balasan wang ringgit mahupon kebendaan dari kami. Sungguh mulia budi pekerti arwah!! Anak-anak memang rapat dengan arwah & mereka memanggilnya "kakak". Husna kalau jumpa dengan kakak mesti nak beriba aje kerjanya & sekarang mereka hanya tahu bahawa kakak sudah tak ada tanpa memahami betul-betul apa maksud di sebalik ayat tersebut. Tapi tak apelah, insya Allah Zaila akan bercerita tentang "kakak" di kala mereka sudah meningkat dewasa nanti. Sesungguhnya kami suami isteri banyak terhutang budi dengan arwah. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa baik arwah..Amiinnn

Arwah juga pernah temankan Zaila masuk kelab malam semasa Zaila tengah gila masuk contest Nuffnang. Ramai juga di antara blogger yang pernah mengenali arwah. Walaupon arwah tak ada blog, tapi arwah suka juga ambil tahu tentang blog kawan-kawan arwah;) Paling tak lupa bila arwah sanggup mengorbankan cuti hujung minggu arwah bila Zaila ajak arwah berniaga bersama-sama di bazaar di Subang Parade. Pendek kata, memang arwah tak banyak songeh. Apa sahaja yang Zaila ajak, pasti arwah akan bersetuju (kalau tak ada halanganlah) & memang Zaila betul-betul terasa akan kehilangan teman sejati. Walaupon hakikatnya bila arwah berumahtangga nanti pon Zaila akan "kehilangan" arwah namun bukanlah "kehilangan" seperti sekarang..Kehilangan yang begitu menikam kalbu, kehilangan yang abadi..Kehilangan yang tak mungkin bertemu lagi *tapi moga bertemu di syurga hendaknya* Tak dinafikan arwah begitu rapat dengan Zaila sehinggakan arwah orang pertama yang Zaila bawa untuk melihat rumah yang Zaila beli. Kalau hari Jumaat, pasti arwah akan jadi rebutan semua orang untuk di ajak keluar sewaktu lunch hour kerana memang mudah untuk bersama dengan arwah. Tak banyak songeh & tak banyak karenah!!

Sedikit info tentang arwah, arwah merupakan anak sulung & merupakan anak yang begitu bertanggungjawab. Bayangkan arwah sanggup belikan kereta Viva untuk dihadiahkan buat bapa kesayangan bagi membalas jasa bapa arwah dalam membesarkan arwah. Bayaran bulanan arwah yang langsaikan & di sini (Shah Alam) arwah datang kerja dengan menumpang kawan-kawan sekerja sahaja. Cuma sejak kebelakangan ini arwah datang menaiki motor bersama dengan adik arwah yang kebetulan mendapat kerja berhampiran dengan office kami. Kala ini juga Zaila perasan arwah selalu batuk-batuk & demam. Sampaikan Zaila sempat buat lawak dekat arwah yang arwah ni seorang yang manja sebab tak boleh naik motor..kena habuk sedikit sudah batuk-batuk..Seorang kakak office Zaila beritahu yang arwah pernah berkata padanya bila duit bonus masuk, arwah nak beli handbag & kasut yang berjenama buat hantaran kahwin sebab sepanjang hidup arwah, arwah tak pernah pakai barang berjenama mahupon yang mahal kerana bagi arwah setiap sen duit gaji adalah begitu berharga untuk dikirim ke kampung halaman. Arwah tak pernah makan secara membazir & kadang-kadang bila hujung bulan Zaila pernah melihat arwah makan nasi putih berlaukkan telur & kicap sahaja. Tapi arwah tak pernah merungut..Sikit pon tak..

Saat-saat akhir dalam kehidupan arwah, Zaila perasan arwah selalu tak sihat & makan sikit sahaja. Rasanya memang arwah nampak sedikit kurus berbanding dulu. Tapi Zaila tak terluah dek kata-kata pula disebabkan Zaila ingat arwah ingin menjaga badan sebelum tiba hari yang diimpikan oleh setiap anak dara iaitu tampil berseri di hari perkahwinan;) atau mungkin juga disebabkan oleh arwah yang berpuasa ganti & Alhamdulillah sempat juga arwah menghabiskan puasa gantinya sebelum arwah menghembuskan nafas terkahir. Begitu mulianya peribadi arwah..Macam tahu-tahu aje yang ajal bakal menjemput & cepat-cepat dia melangsaikan hutang puasa dengan Allah Ta'ala. Subhanallah!!

Minggu terakhir Zaila bertemu & bercakap dengan arwah adalah pada hari Isnin lepas (10/01/2011) di mana arwah pernah mengadu yang berasa tidak sedap badan & Zaila pula siap boleh buat lawak lagi yang arwah ni mentang-mentang sudah mahu kahwin, selalu aje tak sihat..Hisyyy, memang mulut tak ada insuran langsung!! Bila diingat kembali, sudah tentu berasa sangat menyesal & kalau boleh nak aje putarkan waktu untuk luangkan lebih masa dengan arwah. Hari Selasa tu, Zaila datang bekerja seperti biasa & bila berkunjung di bilik arwah di tingkat bawah office, Zaila bertanya pada bos arwah ke mana arwah & bos arwah mengatakan yang arwah mc pada hari tersebut. Haritu pula bila Zaila ambil anak-anak sekembali dari kerja, Ameera pula demam & malam tu Haziq diserang athma. Pukul 12 malam husband Zaila bawa Haziq ke klinik 24 jam untuk menyedut nebulizer & malam tu memang kami (kebanyakan en suami yang lebih berjaga dr mama dia) dok pantau turun naik nafas Haziq aje & keesokannya memang Zaila yang kena ambil Emergency Leave (EL) demi untuk menjaga anak jantan kesayangan so memang Zaila tidak tahu apa-apa perkembangan di office.

Pagi Khamis Zaila datang bekerja seperti biasa. Sebelum naik ke tempat duduk selalunya Zaila akan masuk ke surau untuk bermake up & kadang-kadang kalau arwah tak sempat bersiap di rumah, arwah akan join Zaila. Kadang-kadang Zaila suka pau make up arwah *owh banyaknya jasa arwah pada Zaila* & pagi tu keluar je dari surau Zaila perasan selipar yang selalu dipakai oleh arwah masih ada lagi bermakna arwah masih belum datang bekerja lagi so Zaila pon tanya salah seorang kawan arwah & beliau menyatakan yang arwah telah dimasukkan ke hospital DEMC. Terkejut juga bila mendengarnya tapi memang dalam hati takde terlintas pon apa-apa yang tidak baik tentang arwah & Zaila naik meneruskan kerja macam biasa.

Sambil buat kerja, Zaila sms pada arwah bertanyakan khabar macamana keadaan arwah. Tak lama kemudian dapat sms dr arwah tapi rupa-rupanya adik arwah yang balas mengatakn arwah kini berada di Hospital Serdang & berada di unit CCU menggunakan bantuan pernafasan. Terkejut Zaila dibuatnya & serta merta Zaila menelefon kawan baik Zaila yang juga teman rapat arwah & kami berbicara juga tentang arwah & berjanji untuk melawat arwah selepas waktu kerja nanti. Mujur en suami seorang yang memahami & bersetuju untuk melawat arwah selepas waktu kerja. Faham-faham jelah, kalau hospital kerajaan ni waktu melawat pon terhad & jarak dari Shah Alam ke Serdang agak jauh & dalam hati Zaila tak putus berdoa agar sempat untuk melawat arwah. Sampai di hospital Serdang, hanya Zaila aje yang diberi naik ke wad CCU, anak-anak tak boleh masuk melawat & terpaksa ditinggalkan bersama papa mereka.

Sepanjang berjalan ke wad CCU, bermacam-macam perasaan yang timbul. Tapi Alhamdulillah, sampai aje di wad tersebut (tingkat 4), kawan baik Zaila ada menunggu di samping mak arwah, adik-adik perempuan & saudara mara arwah. Mak arwah terus menemankan Zaila masuk ke dalam wad memandangkan hanya saudara mara terdekat sahaja yang boleh masuk bersama dengan arwah. Hati mana yang tak sedih bila melihat keadaan arwah yang penuh dengan wayar & wajah arwah begitu sembab sehinggakan Zaila tidak cam wajah arwah. Zaila pegang kaki arwah & saat itu Zaila perasan mata arwah seolah-olah bergerak namun Zaila diberitahu yang arwah dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana doktor sudah membekalkan ubat bius untuk merehatkan jantung arwah yang makin lama makin lemah. Kemudian bos arwah datang & Zaila keluar untuk bertemu rakan-rakan yang lain. Bermacam-macam soalan yang diajukan buat keluarga arwah & ternyata ibu arwah tabah dalam menghadapi dugaan yang maha besar ini.

Sebelum beransur pulang, kawan baik Zaila mengajak Zaila untuk masuk sekali lagi untuk bertemu dengan arwah. Mungkin kerana beliau tidak puas hati kerana tidak dapat berkata-kata dengan arwah. Masa Zaila masuk kali ni, adik-adik arwah sedang pakaikan stokin buat arwah kerana kaki arwah yang sejuk sangat-sangat. Zaila sempat bertanyakan pada jururawat yang datang menyelimutkan arwah keadaan arwah & jururawat berkata walaupon arwah dalam keadaan tidur, tapi arwah dengar & tahu akan kedatangan kita so ini yang membuatkan Zaila yakin arwah tahu Zaila ada bersama arwah tadi semasa arwah menggerakkan anak mata. Walaupon kami tidak boleh berkomunikasi, tapi cukuplah sekadar arwah tahu yang Zaila ada di sisi arwah pada saat-saat terakhir arwah *saat yang Zaila bersyukur sangat-sangat sebab terpilih untuk bertemu dengan arwah*

Zaila sempat berbual-bual dengan adik arwah & menasihatkan supaya memberitahu apa-apa perkembangan tentang kakak kesayangan mereka. Buat ibu arwah pula, Zaila berpesan agar menjaga diri & jangan lupa untuk mendoakan kesihatan arwah. Malam tu Zaila pulang ke Shah Alam dengan perasaan lega & dek kerana kepenatan, Zaila masuk tidur awal..Namun, tepat pukul 12 tengah malam, en suami mengejutkan Zaila dengan memberitahu bahawa "Kat dah tak ada". Perasaan masa tu sungguh keliru. Keliru antara mimpi atau realiti. Mungkin en suami bermimpi agaknya so Zaila tanya dari mana dia dapat tahu. Katanya dari sms yang dikirimkan oleh teman sekerja. Masa tu masih tak percaya juga & berharap yang semua ini adalah mimpi. Tapi kemudian deringan telefon mengejutkan Zaila & kedengaran sayup-sayup suara teman sekerja Zaila yang menangis mengkhabarkan berita sedih ini. Sedih, terkejut, sayu, hiba..semua bersatu menghasilkan deraian air mata yang tak dapat dikawal-kawal lagi.

Sejurus kemudian Zaila terima panggilan dari adik arwah yang mengatakan bahawa Kak Long mereka sudah pergi mengadap Ilahi..Sesungguhnya Allah begitu menyayangi arwah..Arwah pergi dalam tidur tanpa menyusahkan sesiapa. Begitu mudahnya Allah ambil nyawa arwah, nyawa seorang hamba yang beriman..Malam Jumaat arwah meninggalkan dunia yang fana ini. Pergi yang tak akan kembali lagi..

Keesokan harinya, pagi Jumaat yang mendung seakan meratapi juga pemergian arwah, Zaila kuatkan semangat untuk ke pejabat walaupon pada malam tadi tidak dapat melelapkan mata walau sekejap dek kerana teringatkan arwah. Air mata memang tak putus-putus mengalir, bukan dipaksa tapi ianya menitis tanpa sedar. Setiap saat/waktu pasti teringatkan arwah..Betapa menyesalnya tidak peluk cium arwah malam tadi..Betapa menyesalnya tidak sedekahkan yasin buat arwah malam tadi..Keadaan di office juga agak suram & ustaz ada membuat pengumuman agar diadakan bacaan yasin buat arwah. Ramai rakan sekerja yang datang & sempat lagi ustaz memberitahu bahawa kompeni telah kehilangan seorang kakitangan yang begitu berdisiplin & selayaknya digelar "best woman di Solar". Betapa tingginya kedudukan arwah di hati kami-kami. Ada beberapa kakitangan & pengarah yang turut sama mengiringi van jenazah pulang ke kampung halaman arwah. Menurut kawan Zaila yang sempat memandikan arwah, segala-galanya begitu mudah bermula dari persediaan kain kafan & wajah arwah setelah dimandi & dikafankan seolah-olah arwah sedang tidur di surau & sungguh tenang riak wajah arwah..Subhanallah!!

Alhamdulillah, jenazah arwah selamat dikebumikan selepas solat Jumaat. Semoga roh arwah ditempatkan bersama-sama dengan orang yang beriman. Amiinn..Sesungguhnya kehilangan arwah membuatkan Zaila & suami bukan sahaja berasa kehilangan yang cukup besar, namun dalam masa yang sama cukup membuatkan kami menginsafi diri. Betapa mudahnya "bahagian" arwah pergi menghadap ilahi. Arwah meninggalkan kami dalam keadaan baik, di mana semua orang merasa akan kehilangan arwah & semua mendoakan & berbicara yang baik-baik sahaja buat arwah. Macamana pula dengan "bahagian" kita untuk menghadap Allah nanti??Adakah semudah ini atau macamana??Kadang-kadang buat Zaila tertanya-tanya juga..Semoga kita semua akan mendapat "husmul khatimah" iaitu mati dalam keadaan baik seperti arwah. Sedikit petanda kematian yang baik;-

1. Mengucap kalimah syahadah ketika hampir mati. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud "Sesiapa yang akhir kalimatnya "Laailaha illaallah" nescaya masuk syurga"

2. Mati dalam keadaan percikan peluh di dahi. Satu hadis menceritakan bahawa sahabat Rasulullah iaitu Baridah Bin Khasib pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda ketika baginda melawat saudaranya sakit. Sabda Rasulullah yang bermaksud : "Mati orang yang beriman itu dengan percikan peluh di dahi".

3. Mati di malam Jumaat atau harinya, kerana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Tiada seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau malamnya melainkan Allah pelihara akan dia dari fitnah kubur".

4. Mati syahid di medan perang iaitu mereka yang berjihad menegakkan agama Allah.

5. Mati kerana sakit taun, sakit perut, ditenggelami air atau ditimpa kemalangan. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Orang yang mati syahid itu lima;orang yang mati sakit taun, mati sakit perut, mati ditenggelami air, mati ditimpa kemalangan & mati syahid di medan perang jihad pada jalan Allah".

6. Perempuan yang mati dalam keadaan nifas dengan sebab melahirkan anak, orang yang mati terbakar, mati kerana sakit paru-paru & cirit-birit. Hal ini berkaitan dengan gambaran hadis Rasulullah yang bermaksud "Orang yang terbunuh kerana berjuang di jalan Allah mati syahid, perempuan yang mati daam keadaan nifas mati syahid, orang yang mati ditenggelami air mati syahid, orang yang mati kerana cirit-birit mati syahid dan orang yang mati sakit perut mati syahid".

7. Orang yang mati kerana hendak mempertahankan hartanya yang hendak dirampas, kerana dinyatakan dalam beberapa hadis. Di antaranya sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Sesiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan hartanya (menurut satu riwayat yang lain, sesiapa yang dicerobohi hartanya dengan cara yang tidak benar lalu ia menentangnya lalu ia mati) maka dia mati syahid.

8. Mati kerana mempertahankan agama & nyawa, di antara dalilnya ialah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Sesiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan hartanya ia mati syahid, dan siapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan keluarganya ia mati syahid dan siapa yang dibunuh mempertahankan agamanya, ia mati syahid dan siapa yang mati mempertahankan darahnya ia mati syahid".

9. Mati kerana bertugas di dalam perjuangan Islam. Di antara dalilnya ialah sabda Rasulullah yang bermaksud "Setiap yang mati ditamatkan amalannya kecuali orang yang mati bertugas di medan perjuangan pada jalan Allah, maka sesungguhnya amalan bertambah-tambah sehingga hari kiamat dan ia akan diamankan dari fitnah kubur".

10. Mati kerana beramal soleh, yakni ketika melakukan amal ibadah menyembah Allah seperti berpuasa, solat dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Sesiapa yang berkata "laaailaaha illaallah" kerana Allah lalu ia mengakhiri hayatnya dengannya nescaya ia masuk syurga, sesiapa yang berpuasa satu hari kerana Allah lalu mengakhiri hayatnya dengannya nescaya ia masuk syurga".

Insya Allah. Moga kita semua akan tergolong dalam golongan tersebut.

Sepanjang hayat arwah pon, memang arwah merupakan contoh gadis/anak/pekerja & hamba yang taat pada perintah Allah. Itu yang membuatkan Allah memilih arwah untuk dijemput menghadap Ilahi sebelum arwah melakukan lebih banyak lagi kesalahan / dosa dalam kehidupan seharian. Kematian arwah memang meninggalkan kesan yang mendalam buat Zaila, membuatkan Zaila terfikir balik betapa banyaknya kelemahan Zaila sendiri sebagai seorang umat Islam, isteri, ibu, anak & pekerja yang Zaila buat. Terlalu banyak benda yang perlu Zaila perbaiki seperti tidak melengah-lengahkan solat, cuba untuk menjadi isteri yang terbaik dalam erti kata lain patuh kepada arahan en suami especially tang shopping & jaga duit en suami, cuba untuk menjadi anak yang solehah dalam erti kata Zaila tak nak melukakan hati mak ayah Zaila lagi..Sebolehnya nak menggembirakan hati mereka selalu & last sekali nak tunjukkan contoh yang terbaik buat anak-anak Zaila agar apabila Zaila tiada di dalam dunia ini, orang akan ingat Zaila sebagai seorang yang baik, ingat segala kebaikan Zaila & bukannya mengungkit benda yang tidak elok tentang Zaila.

Rasanya ini entry terpanjang pernah Zaila taip. Terima kasih pada yang sudi membaca. Entry ini hanyalah luahan perasaan Zaila terhadap arwah, rasa rindu yang tak terhingga buat arwah. Betapa terasa akan kehilangan arwah. Tapi sebagai seorang Islam, Zaila redha dengan pemergian arwah. Alhamdulillah, tiada setitis air mata pun yang jatuh tatkala menaip entry ini kerana bagi Zaila, yang pergi biarlah pergi..kita yang masih diberi kesempatan untuk hidup ini haruslah mengambil segala pengajaran di sebalik kematian tersebut. Setiapkali rindu bertandang, Zaila akan menghadiahkan surah al fatihah / bacaan Yasin & berdoa moga roh arwah akan tenang di sana bersama golongan orang-orang yang beriman.

Al-fatihah sekali lagi buat sahabatku, Siti NurulKhatijah Binti Ya'kob..

2 ulasan:

Nurul Diana@Mama=Adam + Aidil + Ayra berkata...

al fatihah buat arwah .. kita pun rabu lepas ofismates lain2 dept meninggal ketika main bola sepak .. muda lagi orgnya .. dlm 46 mcm tu .. kita baca entry ni pun sebak rasa kekurangan diri

Mag berkata...

alfatihah

Iklan Dibawakan Oleh Nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

About this blog

Segala isi kandungan di dalam blog ini adalah luahan hati tuan empunya blog sahaja, tiada kaitan dengan mereka yang masih hidup mahupun yang sudah tiada di muka bumi ini..Bahasa yang digunakan adalah sedikit rojak kerana tuan empunya blog hanya mampu mendapat Credit 4 untuk Bahasa Melayu & Credit 3 untuk Bahasa Inggeris pada SPM tahun 1999. Jadi, bimbingan ibubapa adalah diperlukan bagi menafsirkan bahasa rojak yang digunakan;)

Segala bahan, gambar & segala kandungan blog ini adalah kepunyaan peribadi tuan empunya blog (melainkan dinyatakan sumbernya) untuk tatapan generasi akan datang tuan empunya blog nanti. Setiap bahan, gambar & segala kandungan yang ingin diguna pakai, haruslah memberi kredit kepada Zailabinimdae's blog atau diletakkan link blog ini.

Di bawah AKTA 588, AKTA Komunikasi & Multimedia 1998, seseorang individu boleh didakwa sekiranya anda berniat untuk menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang atau mana-mana nombor atau alamat elektronik. Jadi, hormatilah coretan rasa tuan empunya blog agar kita semua dirahmati & berada di bawah lindungan ALLAH selalu^_^