Friday, November 1, 2013

Ini Kisah Benar Seorang Suri, Bukan Bohong Bukan Rekaan

Assalamualaikum,

Petikan dari entri protege kelas asas blog & fanpage kelolaanku :


Inilah asam garam berniaga ketika masih lagi bekerja. Bila terlalu sibuk terlepas pandang untuk mengemaskini blog kesayangan saya ini. Walaupun tidak pandai mencantikkan blog ini namun perkongsian saya terutama kepada para suri adalah dari hati. Saya berharap agar sebahagian entri saya dapat memberi manfaat dan membantu para suri dalam membuat keputusan, belajar berniaga, menjadi suri yang menjadi idaman suami dan dan anak-anak dan sebagainya. Perkongsian tentang perniagaan saya tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Memanglah saya dan anda semua hendak menjadi kaya, berjaya dan bahagia. Tetapi saya lebih mengutamakan mencari kepuasan diri dan keredhaan Allah swt.

Apabila bergelar wanita berniaga, banyak perkara perlu diberi tumpuan. Yalah suri inikan banyak tugasan. Keadaan masa kini menuntut para suri menjadi serba boleh, bukan lagi suri yang menanti suami sahaja. Namun syukur kepada Allah swt, berkat menceburi bidang ini, saya mendapat banyak ilmu baru, saya berkenalan dengan mereka yang tidak pernah saya kenali sebelum ini, saya semakin tabah dan kuat dengan segala asakan di dunia perniagaan. Ya, memang penat dan letih ibarat kata-kata cikgu saya, hampir setiap hari tidur lewat kerana banyak komitmen. Saya sekarang sedang menjejaki langkah sifu saya ini 4 tahun yang lepas. Mengadap komputer selepas selesai urusan rumah dan keluarga menjadi kewajipan setiap hari di rumah. Belajar asas blog dan fanpage banyak membantu saya menyusun entri tanpa perlu menulis setiap hari.

Saya ingin kongsikan suka dan duka saya dalam pengalaman berniaga yang sekelumit cuma sempena hari terakhir di bulan Oktober ini di mana hampir sebulan saya belajar berniaga secara sambilan dan secara maya. Sepanjang bulan September, saya bertungkus-lumus menambahkan ilmu, almaklumlah usia menginjak 40an baru nak belajar ilmu perniagaan dan internet. Sebelum ini skop saya hanya kerja sepenuh masa, tak pandai membuat banyak benda dalam satu masa selain menguruskan rumah dan keluarga. Alhamdulillah, Allah gerakkan hati saya belajar asas membuat blog dan fanpage dengan Cikgu Zaila Mohamad, (blognyahttp://zailabinimdae.blogspot.com) guru dedikasi yang banyak ilmunya. Cikgu yang terus membantu walaupun saya sudah menamatkan kelas. Ketika belajar membuat fanpage saya tiada produk dan cikgu telah mengesyorkan saya menjadi `dropshipper' sebagai permulaan. Di grup ini rupa-rupanya ada senarai perniagaan yang boleh memberi peluang kita berniaga tanpa modal. Inilah pertama kali saya faham maksud `dropship'. Saya menjadi dropshipper untuk produk pemakanan sunnah kerana saya percaya kebaikan produk tersebut. Wah! Saya dah mula jadi business lady. Fanpage pertama saya dinamakan Sihat Melalui Makanan Sunnah. Alhamdulillah saya mula sedikit demi sedikit mendapat tempahan. (Lihat fanpage di sini) Kami di grup ini disatukan dalamhttp://www.akademibekerjadarirumah.blogspot.com. Kami kurang mengenali tetapi ada pertautan hati, saling menyokong supaya kumpulan kami mendapat pautan internet yang tinggi dan akan terus menggalakkan para suri bekerja dari rumah. Guru besar dan pengasas grup kami ini, PuanMasayu Ahmad (blognya http://naufalsayang.blogspot.com) selalu memantau kami dari kejauhan.
Saya juga bersyukur kerana berpeluang mendapat perkongsian ilmu dari Mentor Pemasaran Nombor 1 di Asia, Dr Azizan Osman. Di sebalik kedengaran tohmahan negatif tentangnya, saya abaikan sahaja dengan niat menuntut ilmu. Selepas sangat bermotivasi dengan nasihat, teguran membina kepada para usahawan dan perkongsian ilmu serta tips yang sangat berharga itu, saya ditemukan dengan Puan Nur Hidayah, pengasas produk Miracle Refreshing Spray melalui alam maya. Produk yang baru bertapak 5 bulan di pasaran sedang hangat di pasaran. Saya memohon menjadi ejen di Shah Alam dan bermulalah  karier bisnes saya yang ke 2. Lihat facebook Miracle Refreshing Official Page di sini (baru) dan page Miracle Muslimah di sini (lama) untuk lebih mengenali produk ini dan pengasasnya. Karier ini lebih mencabar dari segi mencari dropshipper dan memasarkan sendiri produk ini. Tapi saya dah jumpa patience saya. Saya suka, gembira dan bahagia dengan perniagaan ini. Grup kami auranya sangat positif hinggakan jika ada aura negatif, kami akan saling menasihati dan digalakkan mandi garam bukit untuk meneutralkan aura tersebut. Akhirnya lahirlah fanpage baru saya yang diberi nama Miracle4U-Shah Alam. Boleh rujuk di sini.
Di samping belajar bisnes secara maya, seorang jiran yang berkongsi tentang dunia perniagaan offline yang masih boleh diterokai secara meluas walaupun hanya bermula di rumah sebab jiran saya tu surirumah. Perniagaannya mencapai lebih RM500k pada tahun 2013. Perkongsian jiran ini memang mencelikkan mata hati saya walaupun mata sebenar telah tersedia celik. Saya memberanikan diri mendaftarkan perniagaan enterprise saya yang pertama. Boleh baca entri cara membuka syarikat di SSM di sini. Saya telah menceburi bidang `trading'. Macam tak percaya rasanya. Saya memberanikan diri menelefon beberapa orang kenalan dan menawarkan perkhidmatan syarikat saya dalam apa-apa pembekalan. Alhamdulillah, Allah swt membantu hamba-hambaNya yang rajin berusaha. Dalam bulan Oktober, saya mendapat 2 projek membekalkan pakaian. Berbekalkan tiada pengalaman langsung saya ke beberapa kedai dan kilang mendapatkan sebutharga yang murah untuk jualan dalam kuantiti besar dan kecil. Namun ia tidak semudah yang disangka. Satu projek tu saya dikehendaki menyediakan dalam kuantiti yang sedikit. Kilang sudah tentu menolak, kalau yang mahupun harganya amat tinggi dan khuatir saya sendiri yang kerugian. Masa ini saya cuba bertanya dalam grup yang ada. Inilah antara lain manfaat grup tersebut. Berkat pertolongan rakan dalam grup whatsapp program IJI (Intensif Jutawan Industri) bulan September lepas telah berjaya membantu saya membekalkan pakaian tersebut. Syukur, saya masih dapat untung RM100, tolak duit minyak kereta mungkin tinggal RM80. Alhamdulillah, syukur dengan rezeki yang dapat. Projek kedua dalam proses penghantaran dan insyaallah untungnya lebih besar dalam RM1k, tetapi Allah tiba-tiba menguji saya sehinggakan untung tersebut terpaksa dikongsi dua. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Namun pengajaran utamanya ialah tidak berhenti menuntut ilmu, jangan malu dan segan dalam belajar dan sentiasa kuat semangat, yakin dengan pilihan yang dibuat dan berserah kepada Allah swt.
 
Kedukaan-kedukaan lain dirasakan tidak banyak apatah lagi apabila saya gembira dengan kerja saya maka kedukaan itu ibarat cabaran kepada saya untuk terus berusaha dan bekerja keras lagi. Kadangkala saya berasa pelik kerana ada orang yang tidak bergaji tetap tetapi boleh mensia-siakan masa tanpa mengambil beribu-ribu peluang di sekitarnya. Berubahlah, hanya diri kita yang dapat mengubah nasib kita sendiri. Secara peribadi, saya walaupun mempunyai gaji tetap yang boleh menampung saya secara sederhana setakat ini, masih lagi bersungguh-sungguh dan bersemangat meneruskan perjuangan dalam perniagaan saya.  Jujur saya katakan bisnes yang ada belum dapat menggantikan gaji yang saya perolehi. Insyaallah saya ingin menukarkan kerjaya bisnes ini menjadi kerja asasi saya pada masa akan datang. Saya percaya ia boleh dilakukan kerana banyak contoh terbentang dalam grup para suri bekerja dari rumah.

Sepanjang 2 bulan ini, dugaan kesihatanlah yang kadangkala menurunkan motivasi saya. Apabila terjadi begitu, saya cepat-cepat membaca perkongsian grup-grup saya untuk  menaikkan motivasi saya semula. Dugaan keluarga yang agak hebat ialah pengasuh anak-anak saya pulang terus ke Kemboja pada awal Oktober yang lalu. Bukan masalah kepulangan pengasuh tersebut tetapi anak bongsu yang ditempatkan di taska `melarikan diri' dari taska 2 hari berturut-turut. Akhirnya setelah berbincang dengan ketua, saya redha dipotong gaji setiap hari selama 2 jam supaya saya sempat sampai di rumah bila anak saya pulang dari Tadika.
 
Sekarang saya rasa lebih bahagia dan gembira. Allah swt telah bantu dan ajar saya sedikit demi sedikit ilmu berniaga. MasyaAllah, Allah swt masih sayang dan terus membantu saya. Siapakah saya jika tidak mahu bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Allah berikan. Baru-baru ini saya diberi tawaran untuk mengusahakan sendiri sebuah premis perniagaan. Jauh di sudut hati saya memang teringin sangat menerima tawaran tersebut tetapi saya khuatir jika terlalu mengikut nafsu dan emosi. Saya masih beristikharah kerana rasa kurang ilmu di dada dan modal yang ada untuk memikul beban yang lagi besar.  Saya berdoa kepada Allah swt agar saya tidak lupa bersyukur selalu di kala susah mahupun senang, sentiasa dipermudahkan dalam segala urusan, menjadikan saya kaya, berjaya dan bahagia, dapat membantu seramai mungkin orang dengan doa, sedekah, berkongsi ilmu yang ada dan berkongsi kebaikan produk yang saya jual. Semoga kita semua menjadi kaya, gembira dan bahagia bersama-sama. Apa sahaja yang kita usahakan, ingatlah bahawa kita akan tuai hasil yang abadi hanya di akhirat sana. Tahun baru Muharam tinggal 4 hari dan tahun baru Masehi 2014 tinggal 2 bulan lagi. Jom para suri kita merancang untuk berjaya bersama keluarga kita di dunia dan akhirat.

Jom beriklan di sini :   SOHO Directory
Baca terma iklan di sini : http://zailabinimdae.blogspot.com/2013/08/iklankan-produk-servis-di-rangkaian.html

Jom beli buku agama & motivasi di sini : Kedai Buku Online Anda
Jom beli makanan sunnah & kelengkapan solat di sini : Gedung Sunnah Online 
Jom beli kelengkapan parti harijadi pada harga borong di sini : MKS Party Solution
Jom jalan-jalan cari makan di sini : JJCM Keluarga Zaila
Jom sertai kami di Akademi Bekerja Di Rumah di sini : Akademi Bekerja Di Rumah

Untuk yang berminat mendaftar belajar kelas asas blog & fanpage, hubungi melalui :

Email : zailamohamad@yahoo.com
Sms/whats app : 012-3228651
Facebook : zaila mohamad

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

About this blog

Segala isi kandungan di dalam blog ini adalah luahan hati tuan empunya blog sahaja, tiada kaitan dengan mereka yang masih hidup mahupun yang sudah tiada di muka bumi ini..Bahasa yang digunakan adalah sedikit rojak kerana tuan empunya blog hanya mampu mendapat Credit 4 untuk Bahasa Melayu & Credit 3 untuk Bahasa Inggeris pada SPM tahun 1999. Jadi, bimbingan ibubapa adalah diperlukan bagi menafsirkan bahasa rojak yang digunakan;)

Segala bahan, gambar & segala kandungan blog ini adalah kepunyaan peribadi tuan empunya blog (melainkan dinyatakan sumbernya) untuk tatapan generasi akan datang tuan empunya blog nanti. Setiap bahan, gambar & segala kandungan yang ingin diguna pakai, haruslah memberi kredit kepada Zailabinimdae's blog atau diletakkan link blog ini.

Di bawah AKTA 588, AKTA Komunikasi & Multimedia 1998, seseorang individu boleh didakwa sekiranya anda berniat untuk menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang atau mana-mana nombor atau alamat elektronik. Jadi, hormatilah coretan rasa tuan empunya blog agar kita semua dirahmati & berada di bawah lindungan ALLAH selalu^_^



Copyright to ZAILA MOHAMAD
Designed by UMIESUEstudio 2015