Jumlah Pengunjung Setakat Ini

Selasa, 17 Disember 2013

Kembara Bumi Hat Yai & Krabi : Perjalanan Bermula, Tips Bagi Yang Memandu Sendiri

Assalamualaikum,

Hari ini aku ingin teruskan dengan entri pengembaraan ke Hat Yai & Krabi melalui jalan darat tu. Kalau tunggu lama-lama nanti basi pula ceritanya kan:P

Kami merancang untuk masuk Thailand melalui Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam di Kedah. Rata-rata tips yang aku baca di blog memberitahu supaya masuk ke sana awal pagi supaya tidak bertembung dengan penumpang bas-bas pelancongan yang menuju ke sana juga. Jadinya, malam itu kami bertolak dari Shah Alam menuju ke Kedah menggunakan lebuhraya PLUS. Perjalanan memang lancar dan banyak kali juga en suami berhenti untuk tidur.

Kami sampai di Pekan Changlun pada pukul 5 pagi dan berhenti tidur di masjid sebelum solat subuh di situ. Aku pernah terbaca di sebuah blog di sini (http://sawanila.com/v10/2013/04/jom-tomyam-trip-hatyai-krabi-31-may-05-jun-2013/) yang insuran boleh dibeli di kedai NZ Enterprise yang terletak betul-betul sebelah masjid ini. Tapi rupa-rupanya pagi itu en suami tidak perasankan akan masjid ini dan jalan terus aje. Kami pula ingatkan ada kedai-kedai lain di sepanjang jalan rupanya tidak! Pekan Changlun ini terletak dalam 7km juga untuk sampai ke Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam. Sudahlah jalannya lurus aje, kalau nak buat pusingan U (nak patah balik) memang menangislah T_____T

Jadi tips bila berada di sini :

- Apabila sampai sahaja di Pekan Changlun, terus cari masjid dan kedai NZ Enterperise tu terletak sebelah masjid. Jalan kaki dari masjid pun boleh. Kedai ni dibuka pada pukul 7 pagi. Di sini kami membeli insuran kereta yang berharga RM25 untuk kenderaan MPV dan borang putih untuk masuk ke Thailand yang berharga RM1 bagi setiap orang. Hanya bagi passport dan mereka akan tolong isikan borang putih itu kepada kita.

- Selepas masjid ini akan ada Petronas, jadi terus berhenti dan isi penuh tangki minyak tu. Kalau tak silap aku sepanjang jalan untuk ke Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam, hanya inilah satu-satunya stesen minyak yang ada. Bukan tak ada stesen lain cumanya stesen lain terletak di seberang jalan dan untuk ke sana perlu U-turn jauh sangat. Bagi kami yang pertama kali sampai di sini, memang merasalah buat pusingan yang jauh tu. HAHA

- Ada satu kedai makan cina iaitu yang bernama Kedai makan 555 ke (yang pasti ada perkataan 555) selepas stesen minyak. Kami tukar duit RM ke THB di sini. Rupa-rupanya insuran juga boleh dibuat di sini.

- Apabila sampai di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam memang tak ada masalah kerana rakyat Malaysia hanya lalu aje dan akan berhenti di kaunter di mana pegawai imigresen kita akan scan passport kita, cumanya bila sampai aje di Imigresen Thailand kami terus masuk ke sebelah kiri untuk parking. Pemandu dan penumpang semua KENA keluar beratur di kaunter yang dikhaskan untuk mereka yang memandu kenderaan sendiri. Kalau ikutkan prosedurnya, pemandu kena cop passport dan kemudian kena beratur untuk mengambil surat di kaunter 9 (kalau tak silap aku lah) untuk isytiharkan yang kita bawa kenderaan nak masuk negara Thailand ni). Tapi yang jadi salah faham bila ramai penumpang bas beratur ikut suka di kaunter-kaunter.

- Kiranya memang salah percaturanlah kami sampai awal pagi di sini kerana masa itu bertembung dengan penumpang bas pelancongan yang nak masuk ke Thailand. Bayangkan kalau satu bas ada 40 orang, bukan hanya 1,2 bas tapi berpuluh-puluh ok! Semuanya memang sampai pada waktu yang sama jadi memang ramai gila manusia beratur di situ. Aku pula tersalah beratur di kaunter penumpang bas, sudahlah penat berdukung Azzam, Ashraf pula menangis sebab panas & bila sampai giliran, pegawai tu tanya "You come by bus or by car?" Aku ni lurus bendul tak tahu apa cakaplah datang "By car". Pastu dia macam marah sebab situ kaunter untuk penumpang bas. Masa tu aku cakaplah anak-anak semua dah menangis ni dan minta tolong buat juga. Tapi dia suruh masuk ke pejabat yang terletak di sebelah kiri kaunter. Alhamdulillah di sini pun boleh scan passport dan gambar kita akan diambil juga. Rupa-rupanya bagi mereka yang mempunyai anak kecil boleh terus masuk ke pejabat ini untuk memudahkan proses. Hai, manalah ahkak tahu kan? Kira ini satu pengalaman juga lah bagi aku.

- Tak habis lagi satu cerita, aku ni ingatkan en suami masih belum cop passportnya jadi aku telefonlah dia supaya masuk ke pejabat untuk cop passport. Masa tu dia tengah beratur untuk siapkan dokumen pengisytiharan bawa kereta tu, ingatkan di pejabat itu boleh buat juga. Sekali tak boleh kau...hambek! Merasalah aku kena marah dengan en suami sebab dia terpaksa beratur balik untuk lakukan proses pengisytiharan tu. Tapi lepas tu en suami mengelat dengan membayar kepada runner yang bertugas dan sekejap sahaja en suami dapat siapkan borang tu. Ces! memang diorang ni semua nak kena bayar tau, masa letak passport tu pon kena selit RM1, masa balik aku cuba untuk tidak letak tapi dia minta juga T___T"

Bayangkan kami berada hampir 3 jam di situ. Anak-anak dah mengadu lapar dan Ashraf dah berapa kali mengamuk dah, nasib baiklah Haziq & Husna memang jenis yang memahami dan banyak menolong aku. Azzam pula senyap aje (agaknya pelik kenapa ramai sangat manusia kat situ). Jadinya, dalam pukul 10 pagi jugalah kami melepasi kompleks Imigresen Thailand dan menuju ke Hat Yai.


Gambar ini diambil di kawasan parking kereta. Akak Siam ni selamba aje parking motornya di sini dan mula berniaga. Aku tengok macam akak ni jual ayam goreng, memang terliur tapi kat sini berdebu sangatlah. Tak terjamin kebersihannya.

Kami meneruskan perjalanan terus ke Hat Yai menggunakan GPS. Jalan di sana memang lengang dan hanya mengambil masa dalam 40 minit untuk sampai di Hat Yai. Kami berhenti makan di Wilayah Sadao di mana terdapat banyak kedai makan halal di tepi jalan. Alhamdulillah, selepas pekena nasi sepinggan barulah rasa bertenaga sedikit:) Di kedai makan ni apa yang bestnya adalah ulam pucuk ketereh dan sambal belacan akan dihidangkan bagi setiap meja yang makan di sini. Lauk-pauk pun boleh dikatakan sedap juga. Ada ramai rakyat Malaysia yang berhenti makan di sini. Kami mengambil lauk ikan masak merah, sayur, belut masak paprik dan ayam halia. Air pula milo air, teh ais dan Ashraf mengamuk nak minum air oren dalam botol yang diletakkan di atas meja tu. Aduiiii, Ashraf ni memanglah suka sangat mengamuk dekat kedai makan tau!

Kami bayar dalam THB380 (RM38) untuk makan di situ. Kemudian perjalanan diteruskan ke hotel dengan berpandukan kepada GPS dari Agoda.com. Kami terus check in tapi kena tunggu dalam beberapa minit juga sebelum bilik siap. Masa tu jumpa seorang pakcik dari Malaysia dan pakcik itu nasihatkan supaya masuk Thailand pada waktu petang di mana orang agak kurang sedikit di Kompleks Imigresen tu. Kalau masuk waktu pagi, memang ramai sebab akan terserempak dengan penumpan-penumpang bas. Oklah pakcik, lesson learned! Setiap orang pengalamannya adalah berbeza-beza kan?


Inilah rupa hotel yang ditempah oleh en suami melalui Agoda.com. Harga sekiranya walk in agak murah iaitu THB900 semalaman (RM90) tetapi kami membayar pada harga RM160 (tanpa sarapan pagi). Lain kali memang tak akan tempah dah hotel ini, sudahlah jauh dari bandar! HAHA

Dapat je bilik masing-masing terus pengsan (aku & en suami je), anak-anak sambung main dalam bilik. Diorang ni memang teruja lebih! Maklumlah bukan selalu kan dapat keluar dari rumah:)

Petang tu dalam pukul 3 petang waktu Thailand (lewat sejam dari Malaysia) kami keluar jalan-jalan. Agaknya penat sangat sampai aku lupa dah itenari yang aku rancang tu, main redah je keluar hotel terus nampak tuk-tuk. En suami cakap mahu ke Floating Market tapi driver tu tak faham, dia hanya boleh hantar ke pusat bandar sahaja. Kami dikenakan THB100 (RM10) untuk ke pusat bandar yang hanya beberapa minit sahaja dari hotel T____T


budak Husna & Haziq ni memang gembira sokmo kalau bab berjalan


Inilah tuk-tuk yang kami naik tu, tips aku jika mahu menginap di Hat Yai pilihlah hotel yang terletak di pusat bandar sahaja. Boleh jalan kaki keluar mengelilingi sekitar hotel sahaja. Tuk-tuk ini menghantar kami betul-betul di hadapan Lee Garden Plaza. Di situ, barulah ada tuk-tuk lain yang mempelawa kami untuk membawa ke Floating Market. Di sini kami dikenakan cas THB400 (RM40) untuk perjalanan pergi dan balik pula. Menyesal tak bawa kereta sendiri sebabnya kalau bawa kereta sudah pasti lebih menjimatkan!


Muka gembira dapat naik tuk-tuk! Memang berani lah Ashraf ni. Anak-anak yang lain pun sama, cukup teruja. Husna pula sampai tertidur di atas tuk-tuk ni. Maklumlah dekat hotel tak nak tidur, dalam tuk-tuk juga dia mahu terlentok:)

Oklah nanti sambung sekejap lagi ya! Pengalaman ke Pasar Terapung Khlong Hae. Banyak juga kami berhabis untuk makan di sana. Sila tunggu ya.

Gambar dalam kamera masih belum dipindahkan lagi masuk ke komputer sebab aku terlupa mana aku letak kabel penyambung antara kamera dan komputer. Jadi gambar-gambar ini semua adalah dari kamera aku yang dimuat turun ke dalam akaun Instagram aku.

Bye!

3 ulasan:

Iela Fazielah berkata...

wah...bestnyer.... eceli sepatutnya ila pun join jiran depan rmh gi krabi pada 8 - 10hb aritu, tp sbb ila ada kursus bulan sabit, kami xjadi join... best ye.. xsabar nak tau citer lanjut.. insyaallah satu hari boleh pergi kot suami ila nak..haha

NrlAidaHml berkata...

nak jadikan blog akak ni sebagai panduan..memang teringin nak ke Krabi..tapi naik flight kot..hihihi

Eliss berkata...

seronok jugak tengok2 negara orang ni. tu laa aku ni nak cuti2..merajuk2 br boleh cuti :p susah nau laki workhaholic ni

Iklan Dibawakan Oleh Nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

About this blog

Segala isi kandungan di dalam blog ini adalah luahan hati tuan empunya blog sahaja, tiada kaitan dengan mereka yang masih hidup mahupun yang sudah tiada di muka bumi ini..Bahasa yang digunakan adalah sedikit rojak kerana tuan empunya blog hanya mampu mendapat Credit 4 untuk Bahasa Melayu & Credit 3 untuk Bahasa Inggeris pada SPM tahun 1999. Jadi, bimbingan ibubapa adalah diperlukan bagi menafsirkan bahasa rojak yang digunakan;)

Segala bahan, gambar & segala kandungan blog ini adalah kepunyaan peribadi tuan empunya blog (melainkan dinyatakan sumbernya) untuk tatapan generasi akan datang tuan empunya blog nanti. Setiap bahan, gambar & segala kandungan yang ingin diguna pakai, haruslah memberi kredit kepada Zailabinimdae's blog atau diletakkan link blog ini.

Di bawah AKTA 588, AKTA Komunikasi & Multimedia 1998, seseorang individu boleh didakwa sekiranya anda berniat untuk menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang atau mana-mana nombor atau alamat elektronik. Jadi, hormatilah coretan rasa tuan empunya blog agar kita semua dirahmati & berada di bawah lindungan ALLAH selalu^_^