Jumlah Pengunjung Setakat Ini

Jumaat, 5 Februari 2010

Kisah Mak Limah

Mak Limah memandang ke luar tingkap, sambil otaknya ligat berfikir "ikan apa yang bakal suamiku bawa pulang hari ni ya??"..Mak Limah teringin untuk merasa makan ikan tenggiri. Maklumlah Mak Limah tidak bekerja, hanya menjadi surirumah sepenuh masa dan hanya bergantung kepada pendapatan suaminya yang bekerja di Ban tembakau (kilang memproses daun tembakau). Walaupun suaminya menjadi pengurus di situ, tapi jarang sekali Mak Limah dapat menikmati kehidupan yang mewah. Pak Mat lebih mementingkan kebajikan orang kerjanya dari kebajikan Mak Limah dan anak-anak Mak Limah yang sedang ligat membesar. Namun Mak Limah akur..

Pelbagai kerja Mak Limah buat untuk mencari duit saku. Dari menjadi pembantu di kantin sekolah anak perempuannya sehinggalah membuat kerepek ubi kayu. Mak Limah rajin memarut dan menempek hasil parutan di tudung periuk & menjemurnya di tengah panas. Kemudian digunting menjadi empat segi dan digoreng. Kerepek ubi kayu perisa sira & asli mendapat sambutan juga di sekolah. Namun, ianya bermusim..hanya jika ada bekalan ubi kayu barulah Mak Limah dapat memprosesnya, kalau tidak Mak Limah terpaksa beralih arah mencari kerja lain.

Mak Limah juga pernah bekerja keras bersama Pak Mat mengusahakan tanaman tembakau di tanah milik mereka di sebelah rumah. Kalau musim panas, tanaman tembakau akan tumbuh dengan segar & akan menghasilkan daun yang bermutu tinggi sebaliknya kalau musim hujan, tanaman tembakau akan carok (kebanjiran air) dan seterusnya akan membuatkan Mak Limah dan Pak Mat menanggung kerugian. Beginilah nasib mereka, si penanam tembakau di bumi Kelantan. Apabila musim tembakau sudah habis, Mak Limah beralih arah menanam kacang tanah pula. Kata anak perempuan Mak Limah, tanaman kekacang dapat mengembalikan nutrient dalam tanah sekaligus dapat membuatkan tanah semakin gembur dan sesuai untuk aktiviti bercucuk tanam. Ternyata, hasilnya amat memberangsangkan. Ramai orang kampung datang meminta biji benih dengan Mak Limah. Mak Limah suka!! Mak Limah juga suka menanam sayur-sayuran di hadapan rumah mereka. Ada timun batang, petola, terung, cili, serai dan juga ubi kayu. Semua tu Mak Limah tanam dengan Pak Mat.

Mak Limah sedar, Mak Limah tidak berpelajaran. Sedari kecil lagi Mak Limah memberi ruang kepada adik perempuan bongsu Mak Limah untuk menyambung pelajaran menjadi seorang guru. Mak Limah akur Mak Limah terpaksa membanting tulang membantu ibu Mak Limah supaya dapat menyediakan duit yang cukup buat adik perempuannya. Mak Limah sabar..Sekarang ini, Mak Limah hanya berdoa agar anak-anak Mak Limah berjaya dalam hidup mereka. Mak Limah akan cuba untuk memberikan yang terbaik buat anak-anak.

Suatu hari, terdetik di hati Mak Limah untuk berniaga di pasar pula. Tapi barang apa yang sesuai untuk dijual?? Nak jual kain baju Mak Limah tidak ada modal yang tinggi..Mak Limah termenung sejenak..Kemudian lalulah seekor itik serati di depan matanya.."ahaaa, aku tahu aku mahu jual apa". Jadi Mak Limah meminta Pak Mat menyembelih beberapa ekor itik serati dan ayam kampung peliharaan mereka untuk dibawa ke pasar berdekatan dengan rumah Mak Limah. Ternyata, percubaan untuk menjual itik serati dan ayam kampung mendapat sambutan yang menggalakkan. Maklumlah orang kampung memang suka memakan daging itik serati yang kenyal tu. Setiap hari hampir dalam 6 ke 10 ekor itik & ayam kampung Mak Limah bawa ke kedai.

Kemudian, pelanggan Mak Limah meminta supaya dimasak gulai (kari) pula. Mak Limah rasa bagus juga untuk mencuba satu bidang baru. Mak Limah buat gulai itik serati dengan gulai ayam kampung & ayam bandar. Setiap hari Mak Limah akan menolak 3 periuk besar gulai menggunakan kereta sorong melalui jalan belakang rumah menuju ke pasar. Apabila hujan jalan itu akan becak dan Mak Limah terpaksa mengikut jalan yang agak jauh sedikit. Namun, Mak Limah gagahi jua demi mencari rezeki buat anak-anak Mak Limah yang sedang meningkat dewasa.

Semakin lama gulai Mak Limah semakin tersohor di pasar tersebut. Mak Limah juga sudah ada pembantu di rumah untuk membantunya memasak juadah. Menu juga sudah bertambah sedikit demi sedikit. Kalau bulan puasa, Mak Limah kena tingkatkan kuantiti disebabkan mendapat permintaan yang tinggi dari orang ramai. Namun, Mak Limah sekali lagi diduga dengan cabaran apabila pasar tempat Mak Limah berniaga akan dirobohkan untuk memberi jalan kepada pembinaan pasar baru yang lebih selesa. Sementara itu, peniaga akan ditempatkan di satu tempat yang lokasinya semakin jauh dari rumah. Sudah, Mak Limah dah tak boleh menggunakan khidmat kereta sorongnya lagi. Namun, nasib baik ada hamba Allah yang sudi mengambil dan menghantar gulai-gulai Mak Limah ke lokasi baru tu. Maklumlah, Pak Mat tak ada kereta, usahkan kereta, lesen pun Pak Mat tak ada!!

Oleh kerana Mak Limah membayar sewa van secara pukal kepada Mail, Mak Limah bercadang untuk menambahkan lagi menu Mak Limah. Kali ini, sup tulang, penyicah perut, gulai ikan, ikan percik, ayam percik, kerabu nangka, ayam masak merah dan pelbagai lagi juadah yang menarik. Sekarang ini, Mak Limah sudah tidak payah mencari barangan lagi kerana pemborong akan datang sendiri ke rumah Mak Limah dan menawarkan harga yang murah. Alhamdulillah, rezeki Mak Limah semakin murah.

Masa berganti masa, tahun berganti tahun, tempat berganti tempat..Mak Limah masih dengan gulai seratinya. Anak-anak Mak Limah semua sudah besar. Anak perempuan bongsu Mak Limah pun sudah kahwin dan yang paling bongsu sedang melanjutkan pelajaran di USM dalam bidang perubatan. Meraka dibesarkan hasil dari air tangan Mak Limah yang tidak kenal erti penat & putus asa. Setiap hari Mak Limah akan bangun seawal subuh lagi untuk menyiapkan barang jualannya. Tengahari pula Mak Limah akan bergegas ke kedai untuk mengejar trip cikgu-ciksu sekolah pulang dari sekolah. Mak Limah hanya akan balik ke rumah pada Maghrib pula. Begitulah rutin harian Mak Limah selama beberapa tahun (rasanya sudah lebih 10 tahun) dan Mak Limah hanya akan cuti pada hari Jumaat sahaja.

Tahun lepas Mak Limah dapat menunaikan haji bersama Pak Mat dengan menggunakan duit hasil dari jualan gulai itik serati Mak Limah. Alhamdulillah, Mak Limah dan Pak Mat selamat pulang ke tanah air disambut oleh anak-anak yang tercinta. Namun, hati Mak Limah sayu apabila tidak dapat berjumpa dengan arwah ibu Mak Limah yang meninggal dunia sebaik sahaja seminggu Mak Limah ke tanah suci. Al-fatihah buat arwah Mek bt Miss, ibu Mak Limah yang banyak mengajar Mak Limah erti hidup berdikari dan berusaha untuk mendapatkan sesuatu.
Mak Limah akur dengan ketentuan Ilahi.

Sekarang ini, Mak Limah masih lagi berniaga gulai serati. Namun begitu, Mak Limah juga aktif dengan aktiviti keagamaan. Balik dari kedai, Mak Limah akan ke balasoh (surau) dengan Pak Mat. Kalau anak cucu ada pulang ke kampung, Mak Limah akan meluangkan masa bermain dengan mereka. Namun kecintaan Mak Limah terhadap perniagaannya tidak dapat dihalang lagi. Mak Limah terlalu suka berniaga gulai seratinya. Mak Limah mempunyai ramai kawan-kawan di kedainya. Mereka memanggil Mak Limah dengan panggilan "wok" ataupun "Mak aji" tapi Mak Limah tak kisah. Mak Limah ibaratkan super senior di situ, sebut sahaja mana Kak Moh itik serati, rata-rata semua orang akan tahu!!

Anak-anak bukan tidak menyuruh Mak Limah berhenti berniaga. Namun, Mak Limah yang berkeras mahu berniaga. Kalau tidak membuat kerja, badan tuanya akan sakit-sakit tetapi berbeza jika dia bergulai, cergas semacam aje!! Mak Limah kata biarlah dia terus berniaga, selagi hayat dikandung badan & selagi dia cergas, dia tidak akan menagih simpati dari anak-anaknya. Namun, itu tidak bermakna yang Mak Limah sudah memutuskan hubungan dengan anak-anak, cuma Mak Limah amat suka berniaga. Cintanya terhadap gulai seratinya mengalahkan segala-galanya. Anak-anak akur, asalkan Mak Limah bahagia..

Siapakah Mak Limah itu??

Iya, insan inilah yang membesarkan Zaila sehingga Zaila berada di tempat Zaila sekarang ini. Insan yang banyak berkorban membanting keringat & tenaga demi membesarkan Zaila & adik beradik yang lain. Insan yang banyak mendapat cemuhan & cacian dek kerana tidak berpelajaran & hidup susah. Namun, insan istemewa ini sungguh cekal dalam menghadapi dugaan yang mendatang & ALLAH sentiasa bersama beliau. Insan ini bernama Halimah Binti Daud. Seorang yang sempurna di mata Zaila. Walaupun kadang-kadang kami tidak sehaluan, namun Zaila percaya apa yang mak buat adalah untuk kebaikan diri Zaila juga.

Cerita di atas adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku ke atas mak Zaila. Zaila nak kongsi ni sebagai pembakar semangat untuk Zaila. Yerlah, kadang-kadang rasa agak tension dengan kehidupan Zaila dan persekitaran sekeliling. Terlalu banyak hati yang perlu dijaga. Terlalu banyak perasaan yang harus difikirkan dan terlalu banyak perkara yang ingin dibuat. Zaila bercerita supaya ianya dapat memberi semangat kepada Zaila agar dapat meneruskan hidup ini dengan semangat waja sama seperti semangat Mak Limah & gulai seratinya;)

26 ulasan:

sisdee berkata...

zaila buat i rasa nak nangis pagi2 nie .. gitu le kan pngorbanan ibu dan ayah kat kita...mmg rasa nak balas pun tak tbalas kdg2..ngan kasi syg..ngan ksabaran dorg..

semoga zaila akan menjadi sperti mak limah zaila..

u go girl..good girl!!

zarin berkata...

wow! zaila, bagusnya :)
ini baru betul membakar semangat di pagi jumaat ni :)
thanks for sharing ye!

Tanpa Nama berkata...

terus rs nk makan gulai itik serati...

s.i.f.a.r berkata...

nyah, kali ni aku serius.
aku bangga lah!
campur terharu cerita ibu mu ni.
harus kau ikut jejak meniaga tu nyah!
terliur dengar menu2 laukpauk tu.
kau tau tak masak tu semua?
belajar deh, bukak kedai, nanti aku makan situ.

Unknown berkata...

touchingnya..mereka bertatih dari bawahkan zalia..bestke gulai serti?belum try nak jugak try

Ami berkata...

terharu!mak K.ila sgt tinggi semangatnya.Anyway kedai k.ila kat mane?Family ami sokmo jugok gi cari gulai itik serati nie especially kalu bule poso,sokmo beli kat peringat jah sebab tok jupo hok lain.

Norhayati berkata...

penah mendengar cerita ini versi lisan..dan skrg versi blog pula.. Namun, kedua2 versi tak krg hebatnya..penuh dgn iktibar dan motivasi..terutama buat anak2 mak limah sendiri...

Tie HT berkata...

owh..terharu nye baca kisah mak zaila ni..wanita yang kuat semangat..saya dari dulu sangat kagum dengan wanita dari negeri Cik Siti Wan.. ni,

kalau naik keretapi tu..peraih-peraih nya terdiri dr wanita2 dari negeri ni..sangat rajin..sanggup tidur dlm ketapi..punye semangat la nak berjual...

~Eila Nur Kaseh~ berkata...

zaila,
salute dgn mak zaila..
eila doakan zaila pun dikurniakan semangat dan azam yang kuta gitu...
ibu bapa mana nak anak diorg susah...
ni sumer leh jadi pelajaran yang baik tuk mendidik anak2 di mase depan...

Lady of Leisure berkata...

thanks for sharing zaila... lady rasa ramai yg berterima kasih pada zaila untuk entry ni.. semoga kita semua diberikan hati secekal itu..

Mag berkata...

terer nye mengarang..mcm cerita..huhuhu

kt mane kedai mak akak ni?

Zaila Mohamad berkata...

Sisdee, masa tulis entri ni pun air mata zaila bercucuran jatuh..memang entri ni penuh emosi buat zaila

Zaila Mohamad berkata...

Zarin, di kala zaila rase sedih & susah hati, zaila suka imbas kembali kenangan dulu especially apa yang telah mak zaila buat, sungguh tak terbalas!!

Zaila Mohamad berkata...

Has, kalu g Kelate, singgah rumah zaila make gulai itik serati, tak semua orang boleh makan itik serati tu kan??

Zaila Mohamad berkata...

CPI, aku baru nak belajar ni..kalo masak gulai tak lepas lagi, tapi harus aku menuntut lagi;p

Zaila Mohamad berkata...

Syahadah, biaserlah kan..tak semua dari kita dilahirkan dalam keadaan kaya & senang lenang..sedap, dagingnya sungguh lembut

Zaila Mohamad berkata...

Ami, kedai mok kak ila kecik jah..dekat pasar beris kubur besar, kalu nak try, kena menghala ke bachok cari kampung beris kubur besar

Zaila Mohamad berkata...

Yatica, tulah kan..kadang2 bila dipikir2, mak aku yg buta huruf ni buleh berjaya, takkanlah aku yang pas U ni tak buleh kan?? nak seribu daya, tak ndaaak seribu dalih kan

Zaila Mohamad berkata...

Tihara, betul tu..kalu g Kelate, atas kedai atau mana2 mesti ore tino hok jual kan;)
Arwah tok Zaila pon peniaga buah juga

Zaila Mohamad berkata...

Eila, Zaila rasa pun semua ibu bapa akan bersusah payah demi anak2 mereka kan, macam sekarang zaila bersusah payah menjaga anak2 zaila untuk berikan segala yang terbaik ntok mereka, baru tahu macam ni susahnya mak ayah menjaga kita dulu

Zaila Mohamad berkata...

Lady, yang baik dijadikan teladan yang jahat jadikan sempadan ya;)

Zaila Mohamad berkata...

Farah, haahaaa kalu ada pertandingan cerpen akak nak hantar ah..

kat kedai beris, tahu??

Tanpa Nama berkata...

salam zaila, terharu auntie baca pengorbanan dan kegigihan emak zaila tu. tahniah buat semua keluarga zaila.memang orang kelantan suka berniaga- tak termasuk auntie weh.gulai serati memang sedap tapi nak proses itik serati tu payah juga dan perlu kepakat=ran gitu. wah orang beris kubur besar... lalu binjailah kalu nak keKB. auntie selalu gi situ pada hujung minggu kedai mana eh, boleh singgah.

Tanpa Nama berkata...

salam zaila.sungguh terharu membaca tentang kegigihan dan ketabahan dan kegigihan emak zaila. sebab tu anak2 berjaya.BKB tu dekat je dengan Binjai. kedai kat mana ye boleh singgah makan gulai serati sedap auntie suka tu.

Ayu berkata...

terharu baca kisah ni. selalu singgah blog ni tapi ni kali pertama komen. sungguh tak ternilai pengorbanan mak Kak Zaila. Ayu doakan yang terbaik untuk dia. ; )

Zaila Mohamad berkata...

Uncle Mohd, dekat cabang 4 beris kubur besar tu, kedai mok zaila kat belakang lot2 kedai 2 tingkat, kalu singgah sana cuba tanya mana mok limah itik serati..heheheeee

Iklan Dibawakan Oleh Nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

About this blog

Segala isi kandungan di dalam blog ini adalah luahan hati tuan empunya blog sahaja, tiada kaitan dengan mereka yang masih hidup mahupun yang sudah tiada di muka bumi ini..Bahasa yang digunakan adalah sedikit rojak kerana tuan empunya blog hanya mampu mendapat Credit 4 untuk Bahasa Melayu & Credit 3 untuk Bahasa Inggeris pada SPM tahun 1999. Jadi, bimbingan ibubapa adalah diperlukan bagi menafsirkan bahasa rojak yang digunakan;)

Segala bahan, gambar & segala kandungan blog ini adalah kepunyaan peribadi tuan empunya blog (melainkan dinyatakan sumbernya) untuk tatapan generasi akan datang tuan empunya blog nanti. Setiap bahan, gambar & segala kandungan yang ingin diguna pakai, haruslah memberi kredit kepada Zailabinimdae's blog atau diletakkan link blog ini.

Di bawah AKTA 588, AKTA Komunikasi & Multimedia 1998, seseorang individu boleh didakwa sekiranya anda berniat untuk menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang atau mana-mana nombor atau alamat elektronik. Jadi, hormatilah coretan rasa tuan empunya blog agar kita semua dirahmati & berada di bawah lindungan ALLAH selalu^_^