Cuti merdeka yang lepas kami buat kerja "gila" untuk pergi bercuti ke Johor. Maklumlah, hampir 6 tahun sudah tidak menjejakkan kaki di bumi Johor ini. Pada yang tak tahu, aku dulu selepas berkahwin pernah mengikut en suami bekerja dan menetap di Pontian. Waktu tu en suami bekerja di Tanjung Bin Power Plant dan di situ juga aku sempat bekerja selama lebih 3 bulan sebelum berhenti kerja kerana tak tahan bekerja dengan "perokok tegar". Maklumlah kerja di dalam kawasan site, jangan haraplah nak jumpa lelaki gentleman yang tak hisap rokok. Banyak juga kenangan kami di sana, baru sahaja berkahwin pergi Johor dengan hanya bawa sebidang tikar dan segulung tilam. Oh, boleh menitis air mata bila teringat balik.
Terima kasih en suami, atas kesusahan bersabar dengan situasi kami akhirnya Allah berikan rezeki yang lebih baik (malas setiap tahun aku rasa bertambah baik). Bermula 2006 beberapa bulan sebelum Haziq (anak sulung aku dilahirkan) en suami mengambil keputusan untuk berpindah di Shah Alam dan di sinilah segalanya bermula. Alhamdulillah, orang putih kata "life is great" dari tidak punya anak sehingga sekarang sudah 5 dan akan datang 6 orang, dari tidak punya rumah sehingga kami sudah pun mempunyai rumah yang boleh kami gelarkan "home sweet home". Terima kasih Allah!
Kami bertolak ke Johor awal pagi Ahad lagi. Kami buat keputusan untuk ke sana pun pada petang Sabtu di mana en suami terus menempah hotel di Pulai Spring Resort, Skudai. Nantikan review tentang hotel ini ya. Apabila menempah hotel sudah semestinya aku akan mementingkan keselesaan anak-anak. Nanti aku kongsikan tips-tips sebelum menempah hotel :)
Sebelum berhenti kerja kami pernah ke hotel ini untuk majlis makan malam tempat en suami bekerja. Tak sangka selepas 8 tahun kami datang lagi ke sini. Aku memang sukakan persekitaran hotel ni sebab tenang aje :)
Sebelum kami check in di hotel sebenarnya kami terus ke Pontian untuk ziarah rumah kenalan en suami. Bermula di rumah pertama meleret ke menziarahi kawan en suami yang sakit dan kemudian ke rumah kedua di mana di sini aku bertemu pula dengan Bik Yam kenalan suatu masa dulu yang aku kenal di tempat kerja. Memandangkan mereka semua tinggal satu kampung dan kenal antara satu sama lain, memang terasa seperti keluarga sendiri. Layanan yang diberikan pun ya Allah tersangat-sangat baik. Sampai aje kami dihidangkan dengan nasi kerabu, jauh kami pergi ke Pontian untuk makan nasi kerabu hasil masakan menantu kak Rohaya yang bermenantukan orang Kelantan juga :)
Kalau mahu diceritakan di sini memang tak habis tapi yang pasti aku dan en suami memang terharu dan masih teringat lagi kenangan bersama mereka sewaktu tinggal di Pontian dulu. Waktu aku mengandungkan Haziq, teringin nak makan siput sedut sampaikan suami kepada Kak Kasimah yang carikan siput dan kak Kasimah siap masakkan untuk aku lagi. Lepas tu, pernah juga sewaktu aku turun darah (sebelum mengandungkan Haziq) Bik Yam yang tolong carikan tukang urut untuk aku. Ya Allah, satu satu kenangan manis menerjah kami. Syukur juga dulu tercampak jauh dari mak ayah sebab dengan cara ini membuatkan aku dan en suami tabah dan saling berusaha untuk bina kehidupan yang lebih baik.
Panjang pula aku menulis di sini, tapi sayang sangat sebab tak ada gambar untuk dikongsi. Sampai sana asyik bersembang sampaikan telefon aku kehabisan bateri pun aku tak sedar! Faktor usia pun satu hal juga, kalau dulu semua nak cerita dalam blog tapi sekarang ni rasa cukuplah sikit-sikit kongsi :P Tapi yang bestnya apabila mereka menceritakan pengalaman nampak "kami" dalam majalah Keluarga tahun lepas. Hampir tak percaya kerana en suami sudah berubah 100% kerana dulu waktu belum kahwin muka cekung aje tapi sekarang, ambik kauuu debobot yang comel :) Pandai Mek La jaga ya :P
Hari Isnin selepas check out dari hotel en suami bawa kami pusing-pusing masuk UTM tempat dia belajar suatu ketika dahulu. Hermm, masa ni excitednya nak cerita kat anak-anak tapi semua dah tertidur dek kepenatan mandi kolam di hotel. He he he
Sebelum balik kami singgah di JPO sekejap tapi ramainya orang sampai nak shopping pun takde mood (padahal takde fulus), jadi kami terus ke bandar JB pusing-pusing dan terus ke rumah kawan aku Yati di Kg Dato Sulaiman untuk tumpang solat. Kami dijamu dengan mee sup (alhamdulillah rezeki lagi). Lepas tu dalma pukul 6 petang terus bertolak balik Shah Alam dan sampai rumah hampir pukul 12 malam. Fuuuh gigih kan? Alhamdulillah penat tapi anak-anak gembira sangat, bukan sebab dapat jumpa nenek-nenek baru tapi sebab dapat tidur hotel. Sampai sekarang pun sibuk minta untuk tidur hotel. Adui anak-anak, tunggu lah nanti kita pergi lagi. Insya Allah kalau ada rezeki kita "paw" papa lagi :)
Nanti aku bagi review hotel Pulai Spring Resort ya. Hingga bertemu lagi. Bye!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan