Jumlah Pengunjung Setakat Ini

Khamis, 15 Mac 2012

Tips Mendidik Anak Solat

Assalamu'alaikum,

Hari ni aku nak kongsikan beberapa tips untuk mendidik anak solat. Kebanyakan info aku dapat dari internet..Moh kita kongsi bersama-sama agar kita dapat melahirkan generasi yang mendirikan solat:) *Insya Allah*

Sumber pertama aku ambil dari sini (http://alamonline.net/blog/18-tips-cara-mendidik-anak-mengerjakan-solat/)

1. Fokuskan minda anak pada ibadat solat sebulan dua bulan sebelum kita mula mengajar dia solat. Beritahu anak baik-baik yang solat itu orang Islam wajib kerjakan. Sebagai kanak-kanak mereka kena berlatih supaya mudah bila sampai masanya nanti.

2. Jangan paksa anak, tapi dorong dan tanamkan dalam jiwa dan mindanya.

3. Hantar ke sekolah tadika atau KAFA untuk anak fasih membaca bacaan solat seperti niat, tahiyyat, iktidal, ruku’ dan lain-lain. Kalau banyak masa, mengajar sendiri lebih afdhal.

4. Ajar dan perhatikan cara anak berwudhu’. Begitu juga lafaz niat.

5. Beritahu anak kita bahawa Nabi suruh anak-anak berlatih solat dari umur 7 tahun, dan pada umur 10 tahun anak-anak boleh dirotan (sekadar untuk mengajar) jika ingkar dan malas.

6. Belikan anak telekung atau songkok, jubah, baju melayu yang dia suka.

7. Pada awal latihan solat, biar anak baca kuat-kuat. Kita boleh menegur dan memperbetulkan bacaannya pada waktu itu. Perhatikan pergerakan tubuh anak, ajar cara duduk, qiam, takbir, ruku’, sujud dan lain-lain.

8. Jangan hadkan tempat untuk anak berlatih memperbaiki bacaan solatnya. Uji kelancaran dan kefasihan anak pada bila-bila masa saja, misalnya ketika sambil sikat rambut anak, sambil jalan-jalan dalam kereta, minta anak baca niat solat, surah ayat lazim, tahiyyat dan lain-lain.

9. Dorong anak dengan pujian jika anak semakin fasih membaca dan semakin rajin solat. Beritahu Allah sayang dan mak ayah pun sayang.

10. Ajak anak dan adik-beradik yang lain untuk solat berjemaah bersama-sama apabila ada kelapangan masa di rumah.

11. Bersabar melihat kerenah anak semasa peringkat awal mengajar mereka bersolat. Bermacam ragam mungkin akan terjadi. Maka bersabarlah menghadapinya.

12. Berdoa kepada Allah agar ditiupkan roh Islam, Iman dan Amal dalam jiwa anak kita.

13. Atur jadual harian anak, ada waktu untuk tonton TV, main bersama kawan, belajar, buat kerja rumah dan solat.

14. Beritahu anak sifat Allah adalah Maha Melihat dan Maha Mendengar. Jadi nasihat anak agar sentiasa bercakap perkara yang benar mengenai solat yang dia lakukan.

15. 2-3 bulan selepas anak semakin mahir membaca bacaan dalam solat, ajar anak untuk baca dengan nada perlahan. Kerap awasi mereka ketika bersolat kerana ada kanak-kanak yang mudah lupa tentang rukun dalam solat dan rakaat bagi setiap waktu.

16. Mula bawa bersama telekung (untuk anak perempuan) apabila pergi ke mana-mana. Semasa dalam perjalanan jauh, kita boleh ajak anak solat bersama di R&R, masjid atau surau tempat kita berhenti.

17. Jangan paksa anak untuk jadi cepat pandai dalam sekelip mata. Perlu banyak bersabar. Nabi beri tempoh yang cukup dari umur 7 tahun ke 10 tahun untuk belajar dan mahir. Jadi, 3-4 tahun adalah satu tempoh yang cukup untuk pengisian latihan dan didikan yang berpanjangan. “Practice Makes Perfect”.

18. Ibu bapa adalah contoh terbaik untuk anak-anak. Jangan suruh anak solat, tapi kita seronok dan leka menonton TV atau melayari Internet.

Sumber kedua dari sini (www.iloveislam.com)
Membiasakan anak-anak dengan solat
Umur 0-2 tahun

Ketika anak masih kecil, letakkan anak berhampiran dengan tempat kita solat supaya dia melihatkan kita solat sejak kecil
Katakan kepadanya : "Sekejap ya sayang, ibu/ayah nak solat sebentar"

umur 2-4 tahun

Selalu mengajak mereka untuk solat bersama : "Sekarang dah masuk waktu maghrib, Jom kita solat!" Ajak saja, dia mahu mengikut atau tidak itu perkara kedua, yang penting biar mereka terbiasa dengan ajakan kita.

Sediakan tudung kecil untuk anak perempuan, kopiah atau songkok untuk anak lelaki. Pakaikan mereka dengannya dan katakan kepadanya "Wah! Cantiknya adik pakai tudung untuk solat." Mungkin mereka hanya memakainya tidak sampai satu minit, tapi tidak mengapa, senyum sahaja kepada mereka. Ulangi perbuatan ini sehinggalah mereka sendiri yang meminta tudung/kopiah/songkok apabila kita mengajak mereka untuk solat

Berikan pelukan dan ciuman yang paling hangat kepada mereka jika mereka mngikut kita solat. Tidak kisahlah walau berapa rakat sekali pun. Kadang kala, mereka hanya mengangkat takbir kemudian melompat dan pergi bermain, walau sekecil mana perbuatan mereka mengikut kita solat, berikan kata penghargaan seperti : "Solehnya anak ibu hari ni, adik ikut ibu solat!"

Jika anak-anak memanjat kita semasa kita solat, janganlah dimarahi mereka kerana Saidina Hassan dan Hussin juga pernah melakukan perkara yang sama kepada Rasulullah s.a.w sehingga memaksa Rasulullah untuk sujud lebih lama daripada biasa. Apabila ditanya oleh para sahabat, Rasulullah mengatakan bahawa baginda tidak mahu cucu baginda terjatuh andai terus bangun. Namun, pastikan anak-anak kita suci dari najis sebelum kita solat supaya tidak terbatal solat kita terkena najis mereka. Nasihatilah mereka dari hari ke hari dengan penuh hikmah dan lemah lembut.

Jangan sesekali berkata kepada anak : "Pergi main jauh-jauh, ibu/ayah nak solat." Kata-kata demikian dibimbangi akan menjadikan anak-anak menganggap bahawa solat itu mengganggu hubungan mereka dengan ibu bapa mereka.

Mengajar anak solat

Umur 5-6 tahun

· Ajarkan mereka bacaan dan pergerakan solat yang betul. Jika ibu bapa tidak mampu, hantarlah mereka ke Tadika/tempat pengajian yang mengajar anak-anak solat. Solat secara praktikal di sekolah sangat membantu anak-anak belajar solat dengan lebih bersemangat dan gembira.
Praktikal solat yang dibuat di Tadika Nursyifa, sangat membantu anak-anak belajar solat. Yang paling melucukan, anak-anak ini akan berebut untuk menjadi imam, bukti keyakinan mereka untuk menjadi ketua!
· Sesekali ajaklah mereka ke masjid atau surau untuk solat berjemaah, namun ingatkan mereka selalu untuk menjaga adab-adab di rumah Allah.
· Terangkan kepada mereka tentang kefardhuan dan kepentingan solat bagi setiap orang Islam supaya dia solat bukan hanya ikut-ikutan tetapi kerana kefahaman yang betul.
· Ceritakan juga kelebihan dan ganjaran bagi orang-orang yang solat.
· Boleh galakkan mereka solat dengan menonton video-video yang bersesuaian.
· Sediakan carta solat, dan berikan mereka sticker setiap kali mereka berjaya melaksanakan solat. Sentiasa galakkan mereka untuk solat pada setiap waktu.
Contoh carta solat yang boleh dibuat untuk anak-anak, stiker-stiker comel diberikan setiap kali anak-anak berjaya solat.
Kad ucapan tahniah yang pernah saya berikan kepada anak kerana bangun solat subuh di pagi yang dingin.
· Sekali sekala, kejutlah mereka untuk solat subuh, walaupun mungkin mereka akan sujud dan terus tertidur, tidak mengapa, bukankah ini hanya masa untuk mendidik mereka.
· Jika mereka tidak mampu solat subuh pada waktunya, suruhlah mereka solat sebaik sahaja bangun tidur, tidak kisahlah jam berapa, yang penting solat.
· Bagi ibubapa yang bekerja, biasakan bertanya anak : "Adik dah solat?" selain dari pertanyaan kita berkenaan dengan makan, kerja sekolah dan sebagainya sebaik sahaja kita pulang ke rumah. Biar mereka biasa dengan soalan itu dan mereka dapat merasakan betapa pentingnya solat dalam diari kehidupan seorang muslim.
· Jika ibubapa menelefon anak, selain bertanya khabar, tanyakan juga tentang solat mereka.

Bersama memupuk istiqamah

Umur 7-10 tahun

Sebaik sahaja anak menginjak usia tujuh tahun, katakan kepadanya : "Bermula tahun ini, adik sudah tujuh tahun, jadi adik mestilah solat lima kali sehari. Tidak boleh tinggalkan solat lagi, tujuh tahun hingga sembilan tahun merupakan tahun latihan solat untuk adik. Jika adik meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun nanti, ayah dah boleh rotan adik. Jadi adik kena berlatih bersungguh-sungguh ok?"
Pastikan anak-anak solat 5 waktu sehari semalam walau apa jua masalah yang melanda. Jika kita biarkan dia meninggalkan solat walaupun sekali, anak-anak akan merasakan tidak bersalah jika meninggalkan solat.

Nyatakan kepada mereka tentang realiti masyarakat sekarang yang meringan-ringankan solat, tetapi kita tak mahu jadi seperti mereka. Ceritakan tentang kisah-kisah para sahabat dan orang-orang yang hebat kerana menjaga solat mereka.

Sentiasa bercerita tentang ganjaran syurga yang dikurniakan kepada orang-orang yang menjaga solat
Ceritakan juga kepada mereka tentang peranan syaitan yang akan mendatangkan rasa malas untuk solat. Jadi kita kena lawan!

Jika anak bertanya kepada ibu kenapa tidak solat semasa haid, beritahu perkara sebenar, jangan pula katakana kepadanya anda sakit perut. Nanti dia fikir, kalau sakit perut tak payah solat.. Haru dibuatnya!

Mantapkan solat anak-anak dengan mengajar hukum-hukum berkaitan dengan solat seperti rukun-rukun solat, syarat sah solat dan sebagainya, termasuk juga hukum bersuci

Solat tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya maka dia meruntuhkan agama. Sama-sama kita mendidik anak-anak dengan panduan yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan anak-anak akan menjadi saham yang terbaik buat kita di akhirat kelak.

Sumber ketiga aku ambil dari sini (http://www.tengkuasmadi.com/1/post/2011/08/bagaimana-merangsang-anak-solat.html)

1) Ibu bapa mesti menjadi contoh dahulu. Mudah sahaja, ibu bapa yang bersolat pasti mampu merangsang anak-anak rajin bersolat. Sebaliknya ibu bapa yang liat atau tidak solat maka anak-anak berkemungkinan akan mengikuti jejak langkah yang sama. Bagi anak-anak yang kecil, iaitu usianya antara 1 hingga 6 tahun maka cukuplah kalau mereka sekadar memerhatikan kita bersolat atau ikut sama solat tetapi main-main. Kita baru rukuk dia sudah pun sujud. Kita belum habis lagi dia sudah pun beri salam dan bermain. Tidak perlu bertegas atau berkeras. Usah sampai dia rasakan solat itu satu hukuman. Biarkan sahaja dia begitu sebab yang penting dia nampak kita bersolat. Anak-anak lebih percaya apa yang dia lihat daripada apa yang kita cakap. Malah 80% didikan adalah melalui tauladan bukannya melalui perkataan. Tauladan maknanya apa yang anak kita nampak dilakukan oleh kita setiap hari.

2) Ajak anak-anak anak-anak berjemaah. Usah jadikan sibuk sebagai alasan tidak mampu mendirikan solat secara berjemaah di rumah. Kalau tidak sempat berjemaah pada waktu Subuh, boleh berjemaah di waktu Maghrib. Apabila masuk waktu solat, hamparkan sejadah di ruangan yang sesuai, panggil semua anak-anak dan suruh mereka berwuduk. Suruh anak lelaki yang sulong azan dan kemudian iqamat. Lazimkan solat secara berjemaah dan anak-anak akan terbiasa dengannya. Selepas solat, zikir dan doa, ambillah masa lima minit untuk berikan tazkirah pendek pada anak-anak tentang agamanya.

3) Tegas dan berdisiplin. Diriwayatkan daripada Amr bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). (Hadis riwayat Abu Daud). Hadis ini menunjukkan betapa tegasnya Nabi SAW apabila berhadapan dengan masalah solat. Sebab solat itu tiang agama. Orang yang tidak menjaga solatnya tidak layak dijadikan imam, pemimpin dan suami. Memukul anak seawal usia 10 tahun bukanlah bermakna menderanya. Cukup sekadar ia tahu bahawa kita serius dalam bab solat ini. Kegagalan ibu bapa dalam bertegas adalah punca anak-anak malas solat terutamanya apabila mereka dewasa. Malah ramai ibu bapa yang rasa kesian nak kejutkan anak mereka yang lena tidur di waktu subuh atas alasan tidak apalah anak belum akil baligh lagi. Kalau waktu rebung tidak dilentur tidak akan mungkin mampu dilentur ketika sudah separa buluh.

4) Nasihatkannya dengan baik. Apabila anak-anak tidak solat cubalah nasihakan mereka dengan cara yang baik. Terutamanya bagi anak-anak yang sudah masuk usia remaja iaitu 15 hingga 21 tahun. Ceritakan hukuman Allah yang menantinya apabila tidak solat. Ceritakan ganjaran syurga dan seksa neraka. Ceritakan kesan dan akibat yang akan menimpa mereka yang tidak solat baik balas dunia atau akhirat. Bawakan kepadanya kisah-kisah Nabi SAW dan para sahabat tentang solat. Sampaikan padanya bagaimana Nabi SAW pernah solat malam hingga bengkak-bengkak kakinya. Usah berputus asa. Nasihatlah anak-anak dengan sabar dan berterusan. Kalau bukan kita, ibu bapanya, menasihatkan maka siapa lagi?
5) Doakan anak. Banyakkanlah berdoa agar anak-anak lembut hati dan mendengar kata. Buatlah solat hajar agar anak lembut hati bagi mendirikan solat. Bacakan ayat 21 dalam surah Al-Hasrh (59) dan sapukan pada ubun-ubun anak. 

Picture
Doakan anak setiap kali kita teringat akan dia meski pun ketika itu kita sedang bekerja, memasak, memandu dan sebagainya. Sebab ketika kita teringat akan anak maka ketika itu insya Allah dia juga teringat akan kita. Oleh itu manfaatkan hubungan yang unik ini. Usah merasa putus asa jika doa belum makbul sebab berputus asa dari rahmat Allah itu tanda-tanda kekufuran. Yakinlah Allah pasti makbulkan doa kita cuma masanya sahaja yang belum tiba.

6) Berikan masa bagi anak melakukan perubahan. Ada ketikanya kita tidak sabar. Sesuatu tabiat memakan masa bagi mendarah daging. Sebab itulah mendidik anak solat perlu bermula seawal usia 7 tahun iaitu beberapa tahun sebelum anak-anak akil baligh. Setiap kali menegur anak solat, ucapkanlah begini, "Aiman, sekarang dah pukul 6.30 petang tapi Aiman masih belum solat. Aiman kan anak yang baik kenapa mesti begini. Sekarang tak apalah juga Aiman baru 11 tahun. Tahun depan Aiman dah masuk usia 12 tahun, mak tidak mahu lihat Aiman begini lagi tau. Ok, sekarang pergi tunaikan solat Asar itu." Ada beberapa perkara yang menarik dalam teguran ibu ini. Pertama, dia ingatkan anaknya tentang solat. Kedua, dia wujudkan jambatan emosi dengan mengatakan yang anaknya itu budak baik. Ketiga, dia letakkan jangkaan bahawa anaknya mesti berubah pada usia 12 tahun. Keempat, dia minata anaknya solat sekaran. Ucapan sebegini membuatkan anak lebih senang berubah. Bayangkan pada hari lahirnya 12 tahun nanti apabila kita berikan Aiman hadiah sejadah dan baju sembahyang. Otaknya terus faham bahawa masanya untuk berubah dan menjaga solat sudah pun tiba.

7) Bisikkan di telinganya sewaktu dia tidur. Minda akan memproses maklumat yang disampaikan padanya berulang kali dalam gelombang theta. Oleh itu, hampiri anak yang sedang tidur lalu usap kepalanya, atau tepuk-tepuk badannya sambil berulang kali menyebut, "Aiman, rajin solat yer nak." Terus menyebut kata-kata tersebut sehingga anak memberikan respon seperti mengangguk, mengalih badan atau seumpamanya. Kemudian, sebut beberapa kali lagi lalu tinggalkanlah anak itu. Lakukan perkara ini setiap malam selama 1 hingga 3 minggu dan insya Allah berhasil. Yang penting yakin dan positif.

8) Bawa anak-anak ke surau dan masjid. Biasakan anak-anak ke surau atau masjid bermula dari mereka masih kecil. Anak-anak yang sudah terbiasa dengan suasana beribadah tidak akan kekok melakukannya apabila sudah akil baligh. Tambahan pula, apabila dia ke masjid, potensi bagi dia berkawan dengan mereka yang kaki solat juga tinggi. Kalau dia melepak maka potensi untuk dia jadi kaki rempit pula yang tinggi. Pilihan ditangan kita sebagai ibu bapanya. Usah nanti nasi sudah menjadi bubur barulah mahu disesalkan. Masalahnya, orang tua pun sekarang liat ke masjid.

9) Lakukan Rawatan Islam. Ya betul, saya memang serius. Lakukan rawatan Islam. Mengikut pengalaman saya ramai anak-anak yang mals, degil, tidak solat dan tidak suka membaca al-quran disebabkan adanya gangguan syaitan dan iblis yang berbisik-bisik di kalbunya. Tetapi bukanlah semua kes tidak solat disebabkan oleh gangguan. Ada juga yang memang sudah jenis pemalas. Cuma tidak salah melakukan rawatan jika semua perkara yang disarankan di atas telah pun dilakukan. 

Itu sahaja yang sempat aku sharekan di sini..Kalau kawan-kawan ada lagi tips mendidik anak solat, bolehlah kongsi link . website..Moga sama-sama kita mendapat ilmu & perbaiki diri dalam mendidik anak-anak nanti:)

Aku akui, bukan mudah untuk mendidik anak solat..sebab itu, kita sebagai ibubapa kena berubah supaya anak-anak dapat mencontohi kita..Semoga dipermudahkan oleh Yang Esa..Alhamdulillah, Haziq memang sudah boleh solat (dengan bantuan & pemantauan dari aku)..Berbaloi juga kami hantar ke Genius Aulad di mana memang anak-anak akan di ajar tentang solat & bacaan dalam solat. Jangan salah faham, bukan GA yang terbaik, KAFA, PASTI / mana-mana tadika yang ajar anak-anak solat pon bagus cuma sebagai ibubapa kita tak boleh harapkan tugas mendidik anak-anak solat pada cikgu sahaja..Kita pon kena ambil peranan juga..Insya Allah..moga diberikan kekuatan untuk berterusan mendidik & mengajar mereka tentang kepentingan solat.

Sekarang ni, waktu selepas solat Maghrib memang aku khaskan untuk melatih Haziq solat..Kalau suruh dia ikut solat sekali, memang tak bolehlah sebab lepas je kita angkat takbir, dia follow sekejap je lepas tu dok main gelak-gelak dengan HUsna..Kalau si Ashraf ada lagi best, siap guling-guling depan tempat aku sujud..Dalam hati memang rasa nak marah *sampai tak khusyuk solat* tapi bila baca dalam petikan-petikan di atas, aku rasa aku kena banyakkan bersabar & jangan mudah marah anak-anak..Mungkin dari situ, lama-lama mereka akan dekat dengan solat *Insya Allah*

Haziq sekarang pon kalau suruh solar Maghrib laju je..masa mula-mula suruh dia solat tu adalah juga mengamuk sikit sebab nak tengok TV (selalunya kartun) tapi bila dah setiap hari aku suruh, lama-lama dah jadi amalan..Kadang-kadang kalau sampai rumah lambat (selalunya ke pasar malam ke apa) & kita tengah rushing nak solat, dia pon sibuk nak solat sekali..Memang kadang-kadang aku marahkan dia juga sebab masa tu aku rasa macam mengganggu aku nak solat (semestinya dah nak hujung-hujung Maghrib) tapi bila fikir balik..tak betul apa yang aku buat tu..Ya Allah, memang banyak benda yang harus aku & en suami perbaiki lagi:(

Apa-apa pon, Alhamdulillah Haziq dah boleh solat..semoga abang Amirul Haziq dapat menjadi contoh yang terbaik buat adik-adik nanti..Insya Allah..Jom solat dengan Haziq;-



solat Maghrib dulu sebagai permulaan ..



Alhamdulillah, bacaan fatihah pun dah lancar



bab rukuk selalu tertukar bacaan dengan bacaan sujud..Kalau mama tak betulkan konpem silap sokmo


dek kerana teacher kat sekolah ajar masa sujud kena buka ketiak, tengoklah..sampai macam tu sekali sujudnya..kelakar!

lepas tu ada makhluk comel datang merayap kacau abang solat:)



bacaan duduk antara 2 sujud pon masih banyak yang perlu diperbaiki lagi..


bacaan tahiyyat dah ok..alhamdulillah..tiada apa yang lebih menggembirakan hati seorang ibu bila melihat anak solat *moga berterusan sampai ke besar*

lepas solat, sambung baca muqaddam pula..Haziq ni kadang-kadang sebutan dia tak betul so kena sentiasa baca ulang-ulang sampai dia ingat..At the same time mama pon boleh tumpang hafal juga..hahahaha banyak dah surah-surah lazim yang terlupa:P

adik pon sibuk nak mengaji sekali..takpe Ashraf..dah sampai masa nanti memang Ashraf kena belajar mengaji macam abang & kakak juga:)

Husna masih dalam peringkat mengenal alif ba ta lagi..Haisyyy..hari-hari baca pon masih lupa:P Tahun depan memang kena daftar sekolah Genius Aulad juga..baru cepat sikit boleh mengenal huruf:)

lepas tu sambung hafal nombor-nombor yang Haziq belajar di sekolah..Itupon kalau mama rajin nak menunggu..selalunya lepas siap baca muqaddam terus masuk dapur sediakan makan malam pula:P

 
Kata orang tua "Melentur buluh biarlah dari rebungnya" memang tepat..Anak-anak kecil ni selalunya mudah hafal & ingat apa yang kita ajar so aku rasa rugi sangat-sangat kalau aku sia-siakan waktu kecil diorang dengan bagi tengok benda-benda tak berfaedah..Tapi itulah, kadang-kadang kita sebagai ibu ni pon selalu lalai dalam mendidik anak..sibuk melayan facebooklah, update bloglah (hehehe), masaklah, buat extra $$ dengan meniagalah..macam-macam! So kalau mahu anak yang soleh & mendirikan solat, kita sendiri pon kena berubah sama..Jangan marahkan anak tak solat sedangkan diri sendiri solat pon entah ke mana..huhuhu

Aku selalu amalkan doa dari ayat 40 Surah Ibrahim yang bermaksud ;

"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikian jugalah zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku."

Semoga kita sama-sama dapat menjadi ibubapa yang cemerlang dalam mendidik anak-anak yang soleh & solehah..Amin!

6 ulasan:

sisdee berkata...

mmg kena byk sabar n focus wktu ajar anak2 solat..bukan solat jek..ajar apapun mmg kena byk sabar hehehehe

cute tul si kecik bulat tu ;)

Iela Fazielah berkata...

bagusnyer tips2 ni...ila minta izin nak print ye.... comel haziq solat

Fiza Rahman berkata...

Tips yg bagus. Alhamdulillah..abg haziq dah boleh solat.

mummY daniSha berkata...

a very gud tips.alhamdulillah sejak skool danisha dah rajin nak solat...melentur buluh biarla dr rebungnya...totally agreed!

Zaila Mohamad berkata...

sisdee,

sangat-sangat setuju..kadang2 ada masa saya hilang sabar tapi cepat2 istighfar..biasalah..kita manusia biasa..

Iela,

zaila pon ambil dari sumber orang juga..sangat bagus tips2 ni..harus kongsi sama-sama:)

Fiza,

Alhamdulillah tapi nak kn selalu suruh & tengok..kalau tak banyak main

mummy danisha,

mari kita doakan moga anak2 kita tergolong dalam golongan yg mendirikan solat..amin!

Tanpa Nama berkata...

salam sis

sy berminat dgn card alif ba ta beserta nombor
izinkan sy dptkan softcopynye boleh?
boleh email sy di masrurah.hairudin@gmail.com

-mas-

Iklan Dibawakan Oleh Nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

About this blog

Segala isi kandungan di dalam blog ini adalah luahan hati tuan empunya blog sahaja, tiada kaitan dengan mereka yang masih hidup mahupun yang sudah tiada di muka bumi ini..Bahasa yang digunakan adalah sedikit rojak kerana tuan empunya blog hanya mampu mendapat Credit 4 untuk Bahasa Melayu & Credit 3 untuk Bahasa Inggeris pada SPM tahun 1999. Jadi, bimbingan ibubapa adalah diperlukan bagi menafsirkan bahasa rojak yang digunakan;)

Segala bahan, gambar & segala kandungan blog ini adalah kepunyaan peribadi tuan empunya blog (melainkan dinyatakan sumbernya) untuk tatapan generasi akan datang tuan empunya blog nanti. Setiap bahan, gambar & segala kandungan yang ingin diguna pakai, haruslah memberi kredit kepada Zailabinimdae's blog atau diletakkan link blog ini.

Di bawah AKTA 588, AKTA Komunikasi & Multimedia 1998, seseorang individu boleh didakwa sekiranya anda berniat untuk menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang atau mana-mana nombor atau alamat elektronik. Jadi, hormatilah coretan rasa tuan empunya blog agar kita semua dirahmati & berada di bawah lindungan ALLAH selalu^_^