Kembali bersiaran setelah bercuti selama 4 hari. Kami tak balik kampung pun cuma pergi bercuti di Seri Bayu Resort Hotel di Bagan Lalang, tak sampai sejam dari rumah. Seperti yang aku ceritakan sebelum ini, en suami tempah melalui Agoda.com dan dapat harga lebih murah dari harga sebenar. Jika tempah melalui resort ini, harga untuk apartmen 2 bilik adalah RM318 termasuk cukai tapi kami dapat pada harga tak sampai RM300.
Hari Khamis tu kami gerak dalam pukul 10 pagi lebih sebab ingat nak check in awal supaya boleh minta bilik yang bawah. Maklumlah melalui laman Agoda.com aku dapat tahu yang bangunannya tidak ada lif. Kalau tinggi-tinggi, mahu semput mak buyong nak mendaki ke puncak :P
Alhamdulillah, sampai tu terus kami daftar masuk. Sambil tayang perut aku berjaya juga meyakinkan staf supaya memberikan kami bilik yang paling dekat dan hanya kena daki satu tingkat sahaja. Ok lah kan :)
Apartmennya memang bersih dan luas. Kalau nak datang 3 famili pun boleh sebab ada banyak ruang boleh lepak. Kalau bawa tilam lebih terus bentang depan TV aje :)
Kami dapat blok B1 dan tingkat 1. Kalau tak silap bilik B1-1-4. Tapi kan, nanti aku cerita lagi. Sila baca kat bawah ya ;)
Balkoni ada dua iaitu di bilik utama dan ruang pantri. Nampak tak en suami sedang sidai baju. Masa ni lepas mandi kolam bersama anak-anak :)
Ruang pantri memang luas tapi tak dibenarkan memasak. Aku baca komen penginap yang pernah menginap pun mencadangkan supaya meletakkan langsir di bahagian ini. Kalau siang memang tak nampak tapi kalau malam, boleh intai uols tengah buat apa kat pantri ni. Oooo makan megi dalam mangkuk yaaa ;)
Bilik anak-anak ada 2 katil bujang tapi kami rapatkan aje. Muatlah 4 orang tidur. Dalam bilik ada penghawa dingin dan kipas, memang sejuklah! Walaupun cuaca kat luar panas tapi kat dalam bilik sejuk je
Ini pula ruang tamu ada TV, meja makan dan sofa. TV hanya ada siaran tak berbayar. Dah lama rasanya aku tak tengok TV3. He he he
Ini bilik tidur utama. Perabut memang tip top lah lengkap ada katil, meja sisi, ruang make up, kabinet baju tapi kat dalam tu kosong aje. Kalau hotel lain mesti ada selimut dan bantal lebih tapi kat sini cukup-cukup aje mereka sediakan. Tandas ada dalam bilik satu dan kat luar bilik satu dan memang luas tandasnya. Semua ada pemanas elektrik cuma tandas bilik aku je pemanasnya rosak.
Herm, sebenarnya nak kongsi pengalaman aku bermalam di sini. Bila dah petang, selepas solat Asar kami turun ke kolam renang bawa anak-anak mandi dan selepas itu berjalan kaki ke pantai. Balik aje dah maghrib dan Aaliyah tidur sejak masuk bilik lagi. Penat mandi kolam lah tu. Kemudian memandangkan anak-anak semua dah penat, aku suruh tidur awal dengan alasan esok nak bangun awal sebab nak mandi kolam lagi. Aku, Azzam dan Aaliyah tidur dalam bilik utama manakala en suami terlelap di sofa kat ruang tamu tu. Anak-anak yang lain masuk bilik dan terus tertidur. Dek kerana penat, memang aku terlelaplah kan.
Sampailah pukul berapa entah aku tak tahu sebab dalam bilik takde jam dan telefon pula aku cas bateri dan letak di meja solek, masa tu aku terjaga sebab bunyi macam guli bergolek. Alaaaa, macam budak main guli atas lantai. Sekali bunyi macam buat mamai lagi, kali kedua macam dah cuak sebab en suami pula tak ada di sini. Ada Azzam dan Aaliyah ke yang nyenyak dibuai mimpi. Masa tu aku baca ayat kursi dalam hati dan pejamkan mata tapi rasa tak sedap hati sebab en suami takde. Dalam fikiran ni nak keluar ke tak nak.
Tapi alhamdulillah aku ni jenis yang berani juga lah, tak lama lepas tu aku beranikan diri untuk keluar ke ruang tamu dan tak diduga sekali lagi bunyi betul-betul kat dalam dalam bilik aku (tapi macam kat bilik atas) tapi aku kuatkan semangat terus keluar dan nampak en suami juga macam terkejut dan tanya aku "mama dengar tak?" He he he Memang jelas sangatlah kan. Lega bila ada teman untuk bercakap dan aku tengok TV sudah menyiarkan berita jam 12 malam. Ooooo patutlah kan ;)
Sempat sembang sekejap dengan en suami sambil-sambil urut kaki dia, dalam masa yang sama asyik bunyi macam pintu dibuka (bunyi macam keriuk-keriuk tu), hai rajin sungguh orang atas masuk tandas ya (kata aku dalam hati). Ingatkan aku sorang je dengar tapi rupa-rupanya en suami pun dengar ;) Habis je berita aku ajak masuk bilik tidur sekali sebab sah-sahlah aku tak boleh nak lelapkan mata kalau en suami tak ada di sisi. Sebelum tidur en suami bacakan al-Quran surah Al-Waqiah dan Al-Mulk dan sebelum tu memang kami solat maghrib & Isya' jemaah dalam bilik, aku siap habis baca surah Al-Kahfi lagi, surah yasin aje tak sempat nak baca. Hu hu hu
Alhamdulillah malam tu aku terus lena tapi banyak kali juga tersedar. Tapi lega apabila anak-anak tidur nyenyak sampai pagi. Terima kasih Allah sebab lindungi anak-anak syurga kami. Risau juga Aaliyah tersedar waktu malam tapi syukur minah tu tidur nyenyak sampai pagi :)
Ini gambar esok pagi seawal jam 8 pagi sarapan dah disediakan tapi tak ada buffet cuma mereka akan siapkan nasi bungkus dan air mineral dalam satu plastik. Kalau nak makan sarapan tepi kolam pun boleh, nanti ada teh tarik dan kopi disediakan di situ. Kalau nak tambah makanan, RM10.60 dikenakan bagi setiap set sarapan. Menu pagi tu nasi minyak lauk ayam masak merah. Rasanya bolehlah tahan juga.
Yang ini ada taman permainan bersebelahan blok tempat daftar masuk. Kanak-kanak asal jumpa tempat bermain aje mesti happy :)
Ni gambar petang hari pertama baru sampai kami jalan kaki aje ke pantai. Ramai sangat orang berpiknik dan pasang khemah di tepi pantai. Eh, meriah juga ya Pantai Bagan Lalang ni dan masa ni air tengah pasang jadi ada lah ombak sikit-sikit. Tapi subhanallah, tak boleh nak lawan Pantai di belah Pantai Timur lagi. Rindunya dengan pasir putih dan ombak yang biru tu :)
Anak-anak asal jumpa air je terus eksaited. Hermmm habis basah baju tu Azzam oi!
Ashraf ni memang menjadi perhatian semua orang, tengah-tengah jalan tiba-tiba selipar putus
Di sini memang banyak pokok bunga, kadang-kadang rasa macam berada di Cameron Highland pun ada cuma cuaca jelah panas lit-lit kat sini
Dari kejauhan hanya mampu melihat sahaja Avani Resort ke hape namanya tu? Tengok dalam Agoda.com harga satu malam boleh cecah ribuan ringgit. Al tak mamfulah nak pergi lagi ;(
Kawasan parking pun senang, setiap blok ada disediakan parking berdekatan dengan bangunan. Tak payah nak berebut parking lagi
Suka betul aku tengok Aaliyah mandi kolam, bila letak dalam pelampung tu pandai je dia gerakkan kaki dia. Ada masa tu sampai nak tertidur sebab best sangat duduk dalam pelampung. Tak macam Azzam yang penakut (tengok muka pun dah tahu)
Alhamdulillah, Haziq Husna & Ashraf memang dah tak takut mandi kolam. Yerlah, kolam kanak-kanak kan. Tapi kat sini takde orang jaga atau kawal, pukul 10 malam pun masih ada lagi orang mandi (selalunya dewasa)
Aaliyah sampai kecut tangan tu tapi tak nak naik tu, nak mandi lagi
Budak penakut
Mama jadi tukang jaga selipar jelah kat tepi kolam. Cuaca memang panas betul, kalau nak mandi baik mandi waktu petang. Kalau pagi ya Allah rasa macam nak masak aje belakang ni dibakar matahari :P
Secara jujurnya Seri Bayu Resot Hotel Bagan Lalang ni memang best untuk dijadikan tempat berkumpul adik-beradik sebab kat sini bilik besar, lepas tu ada juga disediakan tempat untuk adakan aktiviti BBQ (boleh minta bilik bawah sekali di mana ada disediakan tempat BBQ kat luar pintu). Nak ke pantai pun hanya jalan kaki sahaja dalam 5 minit. Kat pantai pun ada banyak kedai makan yang sediakan masakan panas dan makanan laut. Jadi, bab makan dah tak payah nak fikir banyak, hanya pilih sahaja nak makan di mana.
Selain dari kenangan "diusik" aku rasa aku ok je dan ada rezeki boleh datang lagi sebab anak-anak suka. Lagipun lokasi dekat je dengan rumah. Bagi kawan-kawan yang berminat boleh google je nama hotel ini. Bilik jenis studio suite juga ada disediakan bagi pasangan yang baru berkahwin :)
Ok. Bye!
2 ulasan:
Biasa kalau main guli tengah2 malam tu, main pintu, main sorong tarik kerusi... haaa sapa yek... pernah jugak kena macam nie... sampai ke sibuh dok main guli ngan sorong tarik kerusi...
wah menarik gak tempat ni..budak2 ni dapat kolam pantai mmg suka la.. bilik pun okay besar dan nampak selesa. hehe part main guli tak menahan tu.. dulu aku pun selalu dgr masa pindah umah kat kd ni. nak plak zaf mmg selalu takde so layan sorang2 je la bunyi tu hahaha..terganggu pun sbb bunyi tu je bukan dtg depan mata kita pun..
Catat Ulasan