Friday, December 13, 2013

Kembara Bumi Hat Yai & Krabi : Persediaan Sebelum Memulakan Perjalanan

Assalamualaikum,

Ramai yang sedang ternanti-nantikan entri tentang percutian kami ke Hat Yai & Krabi yang bermula pada Sabtu lepas. Alhamdulillah, percutian keluarga pertama 4 hari 3 malam di luar negara (walaupun hanya negara jiran) semuanya selamat. Kami balik ke Malaysia pada hari Selasa yang lepas. Lega sungguh bila balik negara sendiri ni, walaupun best berada di negara orang tapi tiada apa yang dapat menandingi kehebatan berada di tanah air sendiri kan?

Oklah, bagi yang bertanya, meh sini aku ceritakan dulu persediaan sebelum memulakan perjalanan. Memandangkan kami pergi melalui jalan darat tanpa menggunakan khidmat pemandu pelancong mahupun ejen pelancungan, sudah tentulah ada banyak perkara baru yang aku pelajari. Alhamdulillah, percutian yang dirancang secara tiba-tiba berjaya juga. Kenapa tiba-tiba? Kerana passport siap pun 3 hari sebelum perjalanan dan hotel pun ditempah sehari selepas passport siap. Jangan tiru macam kami ya :P

1) Dokumentasi :

Antara perkara penting yang perlu disediakan untuk mengembara bersama kenderaan sendiri adalah :
- geran kereta (bawa yang asli tetapi hanya serahkan yang fotostat) : boleh diambil dari bank yang memberikan pinjaman kereta kita, sekiranya kereta bukan atas nama kita, kena sediakan surat pelepasan dari tuan asal kereta (sila google sahaja macamana contoh suratnya)
- insuran Thailand : boleh beli di kedai sekitar Pekan Changlun (nanti aku akan kongsikan di mana)
- kebenaran membawa kenderaan ke Thailand (boleh didapati di kaunter Imigresen Thailand)
- passport yang sah : 6 bulan sebelum tamat tempoh
- resit tempahan hotel sekiranya membuat tempahan melalui internet : kami tempah melalui Agoda.com jadi cetak sahaja slip tempahan dan tunjukkan kepada pihak hotel nanti.

2) Pakaian :

Oleh kerana kami akan pergi ke 2 tempat jadi aku telah asingkan siap-siap baju untuk dipakai di Hat Yai & Krabi dalam beg yang berlainan. Rancang siap-siap baju apa yang ingin dipakai dan berapa helai yang mahu dibawa. Selalunya baju anak-anak aku tak bawa banyak sangat kerana memang target sampai di sana akan belikan mereka baju sebagai tanda kenangan sudah sampai di situ. Di Krabi pula kami berada di sana selama 2 malam jadi memang sempatlah aku basuh dan sidaikan pakaian anak-anak juga:)

Jadi tidak perlu untuk bawa satu almari pakaian anak-anak ya! Kalau baju tidur tu pakai aje untuk 2 malam kerana di hotel ada disediakan almari untuk gantung pakaian. Pandai-pandailah budget kerana kita tak mahu juga bawa terlampau banyak beg. Selain itu, aku memang bawa siap-siap selimut & toto untuk kes seperti bilik hotel yang kecil, boleh aje bentangkan toto untuk anak-anak tidur di atasnya.

Oh! jangan lupa juga bawa sekali pakaian renang anak-anak ya! Kami pergi beli di Krabi kerana di sana harganya jauh lebih murah berbanding Malaysia:)


Aku membawa satu beg pakaian untuk di Hat Yai & 2 beg pakaian untuk di Krabi


Semasa di Hat Yai, kami menginap di hotel ini iaitu Ido Boutique Hotel. Hotelnya baru tetapi terletak agak jauh dari bandar (dalam 6 minit juga jika menaiki kereta). Semasa check in kami dikehendaki membayar deposit sebanyak THB300 (RM30). Biliknya memang kecil tetapi sangat bersih. Bahagian kaunter depan tidak pandai bercakap Bahasa Inggeris dan semasa check out kami bergaduh juga kerana mereka tidak mahu memulangkan duit deposit atas alasan cadar katil bilik kami kotor. Memang ada terdapat kesan kotoran pun tapi selalunya di Malaysia mereka tidak akan cas apa-apa melainkan terdapat kehilangan barangan ataupun kami pecahkan barangan mereka. Nasib baiklah skill "bergaduh" en suami tinggi. HAHAHA Lagipun masa tu ada beberapa lagi rakyat Malaysia yang sedang menunggu giliran untuk check out. Jadi mereka juga turut menyumbangkan pendapat sama. Akhirnya dapat balik duit tersebut. Walaupun rasa agak bersalah tetapi aku harap aku melakukan keputusan yang betul:)


Semasa di Krabi, en suami menempah hotel ini iaitu SriSuksant Resort yang terletak di Pantai Ao Nang (betul-betul berhadapan dengan pantai). Semasa Check in juga kami dikehendaki meletakkan wang deposit sebanyak THB500 (RM50) dan dikenakan bayaran tambahan untuk anak-anak sebanyak THB800 (RM80) untuk 2 malam. Nasib baiklah semua ini termasuk dengan sarapan. Jika di Malaysia, kena bayar untuk sarapan tetapi di sini sudha termasuk dalam harga bilik. Bilik hotel ini memang besar dan ada kolam renang lagi. Staf di sini juga sangat ramah dan boleh dikatakan kami berpuas hati dengan layanan mereka:) Duit deposit itu kami dapat balik tanpa perlu bergaduh pun ya!

3) Makanan :

Oleh kerana kami berjalan dengan anak-anak, jadi memang kena bawa makanan dan bekalan susu mereka. Aku bawa satu raga untuk diisikan dengan air masak, roti, jem, thermos kecil, biskut, minuman segera seperti Nestum & Nescafe, maggie (hihi ini untuk mama & papa ya) & bekas (jika mahu gunakan untuk makan). Lain kali aku kena bawa pisau lah untuk buat makan buah-buahan yang dibeli :)

Kat sini memang terliur bila melihatkan buah-buahan mereka yang gemuk-gemuk dan cukup sifat tu. Harga lebih kurang dengan Malaysia juga tetapi barangan mereka lebih berkualiti lah sedikit!

4) Duit Thai Baht :

Mata wang Thailand adalah Thai Bhat (THB). Kalau THB10 bersamaan dengan RM1 duit Malaysia. Kalau boleh tukar siap-siap di Malaysia kerana kadar pertukaran tidaklah merugikan sangat. Semasa di Pekan Changlun, kami menukar RM500 dapatlah dalam THB4900 (lebih kuranglah). Bila di Hat Yai, sekali lagi aku tukar duit RM200 tetapi agak rugi sedikit iaitu dapat dalam THB1800. Petua dia, jika berada di Thailand, jangan tukar duit ringgit tetapi tukar dengan USD. Di Krabi, en suami tukar USD100 untuk mendapat dalam TBH3000. Ini kerana mata wang USD lebih tinggi berbanding dengan mata wang Thailand.

Tipsnya : sentiasa bawa USD jika mengembara ke negara-negara Asia :)

5) Ubat-ubatan : 

Oleh kerana kami membawa anak-anak, jadi ubat-ubatan yang asas memang WAJIB dibawa seperti minyak angin, ubat demam kanak-kanak, sirap Ventolin untuk Haziq, minyak gamat dan nebulizer untuk Haziq. Memang kena pastikan yang Haziq mengambil "gas" setiap hari (yang ni untuk pencegahan bukan yang athma tu). Satu lagi aku terlupa bawa pil chi kit teck aun kerana di sana perut kami laki bini kena serangan cirit-birit! HAHAHA

6) Gadget :

Oleh kerana kami memandu sendiri, jadi sangat penting untuk mempunyai GPS sendiri. Kami hanya menggunakan telefon en suami dan menggunakan panduan dari aplikasi Google Map sahaja. Untuk ke hotel pula, kami masuk terus melalui aplikasi Agoda di mana mereka akan tunjukkan jalan terus untuk ke hotel. Pendek kata memang mudah!

Selain itu, jangan lupa juga untuk membawa charger yang boleh dipakai di dalam kereta kerana jika menggunakan aplikasi Google Map, telefon akan cepat kehabisan bateri. Untuk hotel pula, jangan lupa untuk bawa plug antarabangsa kerana plug di hotel mereka tidak sama dengan negara kita.


Oklah, sebenarnya ada banyak lagi tips dan cerita kenangan bercuti ini yang aku mahu coretkan di dalam blog ini. Ini bertujuan untuk memberikan sedikit panduan bagi mereka yang ingin bercuti di sana juga. Sebelum memulakan perjalan, seharusnya banyakkan mencari maklumat dan tips-tips yang boleh digunakan apabila berada di sana nanti. Tetapi bukan semua situasi akan sama dengan kita alami tetapi sekurang-kurangnya ada juga panduan kan?

Alhamdulillah, perjalanan kami ada juga berlaku banyak kesilapan dan nanti akan aku kongsikan apa kesilapan kami. Sebelum itu, kita layan dahulu beberapa gambar yang sempat aku muat turun dalam akaun Instagram aku, ada berpuluh-puluh lagi gambar di dalam kamera. Entah bila angin kerajinan akan menyerap masuk di dalam diri ini:P


Pemandangan di Pantai Ao Nang. Jika mahu ke Krabi, pastikan menempah hotel di kawasan sekitar Ao Nang ya, kalau tinggal di Krabi macam bandar sunyi takde apa yang menarik. Di sini, tempat makan halal pun berderet tepi jalan dan restoran Halal pun banyak sepanjang jalan.


Suasana di Bandar Krabi. Trafik di sini tidak penuh sangat dengan kereta. Yang bagusnya, jalan dari Hat Yai ke Krabi adalah seperti lebuhraya tetapi tidak dikenakan tol. Jalan pun cantik cuma ada satu tempat tu dalam urusan pembaikan. Kereta pun tak banyak sangat kecuali jika melalui kawasan bandar. Tetapi tidaklah mengalami jem seperti yang kami alami bila masuk sahaja Lebuhraya PLUS di Malasyia (sudahlah berbayar tetapi tidak bergerak kerana tersangkut dalam "jem")


Tanda peringatan sekiranya berlaku tsunami. Sepanjang jalan ada tanda seperti ini yang menyuruh supaya berkumpul di tempat yang lebih tinggi


Gerai-gerai jualan yang dipanggil Street Market di sepanjang Pantai Ao Nang. Di sini terdapat deretan kedai-kedai yang menjual pakaian renang, cenderamata dari Krabi, ejen-ejen pelancungan yang menawarkan khidmat "island hopping" dan terdapat juga bank & kedai makan. Harga pakaian renang di sini agak mahal jika dibandingkan dengan Pekan Krabi. Tetapi ada satu kedai tempat aku belikan baju renang untuk Husna pada harga THB300 (RM30) sahaja. Baju renang Haziq & Ashraf kami beli di Pekan Krabi pada harga THB400 (RM40) sehelai.


Ada kejadian mencemaskan sebenarnya di kolam ini. Ya Allah, Ashraf hampir lemas kerana dia terbalik semasa berada di dalam kolam ini. Nasib baik en suami cepat-cepat pergi selamatkan dia. Mula-mula tu macam fobia juga nak turun balik tapi lama-lama masuk sambung mandi lagi. Insya Allah tahun hadapan aku nak masukkan mereka ke kelas renang pula. Haziq macam dah tak takut air, siap buat macam-macam aksi lagi dalam kolam tu:)


Gambar pemandangan ketika mahu ke Pekan Krabi. subhanallah cantik bukan!


pemandangan di Pantai Ao Nang lagi. Bot-bot ini yang akan membawa pelancong melawat pulau-pulau di sekitarnya. Kami tidak mengambil sebarang pakej ke ulau kerana tidak mahu bersusah-susah dengan anak-anak yang kecil ini. Insya Allah, tahun hadapan jika diberikan kesempatan boleh datang lagi:)


Di Pantai Ao Nang ini ada perkhidmatan untuk menyewa skuter atau motor. Bagi mereka yang bujang (atau berdua) bolehlah sewa skuter untuk ronda-ronda sekitar Ao Nang atau ke Pekan Krabi. Tuk-tuk juga ada di sepanjang jalan tapi kami selesa bergerak dengan En Tim kami sahaja:) Kawasan ini parking agak susah untuk dapat sekiranya kita datang pada waktu tengahari atau petang. Kalau pagi, suasana masih lengang kerana ramai yang masih belum keluar lagi.


Gambar ini diambil semasa mahu pulang dah. Selepas sarapan kami terus check out dan bergerak ke Hat Yai balik untuk membeli sedikit buah tangan. Kemudian terus bertolak ke Malaysia. Kami sampai di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam pada pukul 6 petang.


Kebanyakan hotel di Ao Nang ada kolam renang. Tetapi jika menginap di hotel budget, lokasi lebih kurang 10 minit dari pantai dan tidak terdapat kolam renang. Di sebelah kanan tu tempat untuk sarapan pagi. Pilihan menu memang banyak tetapi kami hanya makan yang terpilih sahaja memandangkan di sini tidak halal. Tetapi aku tengok produk seperti marjerin, kicap dan yoghurt mereka gunakan yang halal tau :)


Bawa anak-anak main air di pantai berhadapan hotel.


Ini pula semasa kami singgah solat Zohor di sebuah masjid yang terletak antara perjalanan ke Krabi. Jika mahu mencari kedai makan halal, carilah masjid dahulu kerana jika ada masjid bermakna kita berada di kawasan muslim :)


Ashraf dan tuk tuk. Semasa di Hat Yai merasa juga peluang untuk menaiki tuk-tuk untuk ke Pasar Terapung. Nantikan entri seterusnya:)


Bila membawa anak-anak ni, pastikan tinggal di hotel yang ada kolam renang tau!

Oklah, nantikan sambungannya! Aku nak masak jap:P

1 comment:

~MommyAqilMedina~ said...

wahh bestnyaa!!memang teringin nak pergi sini..dan wajib baca semua panduan ini sebelum ke sana..thank u kak!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

About this blog

Segala isi kandungan di dalam blog ini adalah luahan hati tuan empunya blog sahaja, tiada kaitan dengan mereka yang masih hidup mahupun yang sudah tiada di muka bumi ini..Bahasa yang digunakan adalah sedikit rojak kerana tuan empunya blog hanya mampu mendapat Credit 4 untuk Bahasa Melayu & Credit 3 untuk Bahasa Inggeris pada SPM tahun 1999. Jadi, bimbingan ibubapa adalah diperlukan bagi menafsirkan bahasa rojak yang digunakan;)

Segala bahan, gambar & segala kandungan blog ini adalah kepunyaan peribadi tuan empunya blog (melainkan dinyatakan sumbernya) untuk tatapan generasi akan datang tuan empunya blog nanti. Setiap bahan, gambar & segala kandungan yang ingin diguna pakai, haruslah memberi kredit kepada Zailabinimdae's blog atau diletakkan link blog ini.

Di bawah AKTA 588, AKTA Komunikasi & Multimedia 1998, seseorang individu boleh didakwa sekiranya anda berniat untuk menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang atau mana-mana nombor atau alamat elektronik. Jadi, hormatilah coretan rasa tuan empunya blog agar kita semua dirahmati & berada di bawah lindungan ALLAH selalu^_^



Copyright to ZAILA MOHAMAD
Designed by UMIESUEstudio 2015