Jumlah Pengunjung Setakat Ini

Memaparkan catatan dengan label Hotel Review. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hotel Review. Papar semua catatan

Isnin, 28 Disember 2015

Hotel Review : Seri Bayu Resort Hotel Bagan Lalang

Assalamualaikum,

Kembali bersiaran setelah bercuti selama 4 hari. Kami tak balik kampung pun cuma pergi bercuti di Seri Bayu Resort Hotel di Bagan Lalang, tak sampai sejam dari rumah. Seperti yang aku ceritakan sebelum ini, en suami tempah melalui Agoda.com dan dapat harga lebih murah dari harga sebenar. Jika tempah melalui resort ini, harga untuk apartmen 2 bilik adalah RM318 termasuk cukai tapi kami dapat pada harga tak sampai RM300.

Hari Khamis tu kami gerak dalam pukul 10 pagi lebih sebab ingat nak check in awal supaya boleh minta bilik yang bawah. Maklumlah melalui laman Agoda.com aku dapat tahu yang bangunannya tidak ada lif. Kalau tinggi-tinggi, mahu semput mak buyong nak mendaki ke puncak :P

Alhamdulillah, sampai tu terus kami daftar masuk. Sambil tayang perut aku berjaya juga meyakinkan staf supaya memberikan kami bilik yang paling dekat dan hanya kena daki satu tingkat sahaja. Ok lah kan :)


Apartmennya memang bersih dan luas. Kalau nak datang 3 famili pun boleh sebab ada banyak ruang boleh lepak. Kalau bawa tilam lebih terus bentang depan TV aje :)


Kami dapat blok B1 dan tingkat 1. Kalau tak silap bilik B1-1-4. Tapi kan, nanti aku cerita lagi. Sila baca kat bawah ya ;)


Balkoni ada dua iaitu di bilik utama dan ruang pantri. Nampak tak en suami sedang sidai baju. Masa ni lepas mandi kolam bersama anak-anak :)


Ruang pantri memang luas tapi tak dibenarkan memasak. Aku baca komen penginap yang pernah menginap pun mencadangkan supaya meletakkan langsir di bahagian ini. Kalau siang memang tak nampak tapi kalau malam, boleh intai uols tengah buat apa kat pantri ni. Oooo makan megi dalam mangkuk yaaa ;)


Bilik anak-anak ada 2 katil bujang tapi kami rapatkan aje. Muatlah 4 orang tidur. Dalam bilik ada penghawa dingin dan kipas, memang sejuklah! Walaupun cuaca kat luar panas tapi kat dalam bilik sejuk je


Ini pula ruang tamu ada TV, meja makan dan sofa. TV hanya ada siaran tak berbayar. Dah lama rasanya aku tak tengok TV3. He he he


Ini bilik tidur utama. Perabut memang tip top lah lengkap ada katil, meja sisi, ruang make up, kabinet baju tapi kat dalam tu kosong aje. Kalau hotel lain mesti ada selimut dan bantal lebih tapi kat sini cukup-cukup aje mereka sediakan. Tandas ada dalam bilik satu dan kat luar bilik satu dan memang luas tandasnya. Semua ada pemanas elektrik cuma tandas bilik aku je pemanasnya rosak.

Herm, sebenarnya nak kongsi pengalaman aku bermalam di sini. Bila dah petang, selepas solat Asar kami turun ke kolam renang bawa anak-anak mandi dan selepas itu berjalan kaki ke pantai. Balik aje dah maghrib dan Aaliyah tidur sejak masuk bilik lagi. Penat mandi kolam lah tu. Kemudian memandangkan anak-anak semua dah penat, aku suruh tidur awal dengan alasan esok nak bangun awal sebab nak mandi kolam lagi. Aku, Azzam dan Aaliyah tidur dalam bilik utama manakala en suami terlelap di sofa kat ruang tamu tu. Anak-anak yang lain masuk bilik dan terus tertidur. Dek kerana penat, memang aku terlelaplah kan.

Sampailah pukul berapa entah aku tak tahu sebab dalam bilik takde jam dan telefon pula aku cas bateri dan letak di meja solek, masa tu aku terjaga sebab bunyi macam guli bergolek. Alaaaa, macam budak main guli atas lantai. Sekali bunyi macam buat mamai lagi, kali kedua macam dah cuak sebab en suami pula tak ada di sini. Ada Azzam dan Aaliyah ke yang nyenyak dibuai mimpi. Masa tu aku baca ayat kursi dalam hati dan pejamkan mata tapi rasa tak sedap hati sebab en suami takde. Dalam fikiran ni nak keluar ke tak nak.

Tapi alhamdulillah aku ni jenis yang berani juga lah, tak lama lepas tu aku beranikan diri untuk keluar ke ruang tamu dan tak diduga sekali lagi bunyi betul-betul kat dalam dalam bilik aku (tapi macam kat bilik atas) tapi aku kuatkan semangat terus keluar dan nampak en suami juga macam terkejut dan tanya aku "mama dengar tak?" He he he Memang jelas sangatlah kan. Lega bila ada teman untuk bercakap dan aku tengok TV sudah menyiarkan berita jam 12 malam. Ooooo patutlah kan ;)

Sempat sembang sekejap dengan en suami sambil-sambil urut kaki dia, dalam masa yang sama asyik bunyi macam pintu dibuka (bunyi macam keriuk-keriuk tu), hai rajin sungguh orang atas masuk tandas ya (kata aku dalam hati). Ingatkan aku sorang je dengar tapi rupa-rupanya en suami pun dengar ;) Habis je berita aku ajak masuk bilik tidur sekali sebab sah-sahlah aku tak boleh nak lelapkan mata kalau en suami tak ada di sisi. Sebelum tidur en suami bacakan al-Quran surah Al-Waqiah dan Al-Mulk dan sebelum tu memang kami solat maghrib & Isya' jemaah dalam bilik, aku siap habis baca surah Al-Kahfi lagi, surah yasin aje tak sempat nak baca. Hu hu hu

Alhamdulillah malam tu aku terus lena tapi banyak kali juga tersedar. Tapi lega apabila anak-anak tidur nyenyak sampai pagi. Terima kasih Allah sebab lindungi anak-anak syurga kami. Risau juga Aaliyah tersedar waktu malam tapi syukur minah tu tidur nyenyak sampai pagi :)


Ini gambar esok pagi seawal jam 8 pagi sarapan dah disediakan tapi tak ada buffet cuma mereka akan siapkan nasi bungkus dan air mineral dalam satu plastik. Kalau nak makan sarapan tepi kolam pun boleh, nanti ada teh tarik dan kopi disediakan di situ. Kalau nak tambah makanan, RM10.60 dikenakan bagi setiap set sarapan. Menu pagi tu nasi minyak lauk ayam masak merah. Rasanya bolehlah tahan juga.


Yang ini ada taman permainan bersebelahan blok tempat daftar masuk. Kanak-kanak asal jumpa tempat bermain aje mesti happy :)

Ni gambar petang hari pertama baru sampai kami jalan kaki aje ke pantai. Ramai sangat orang berpiknik dan pasang khemah di tepi pantai. Eh, meriah juga ya Pantai Bagan Lalang ni dan masa ni air tengah pasang jadi ada lah ombak sikit-sikit. Tapi subhanallah, tak boleh nak lawan Pantai di belah Pantai Timur lagi. Rindunya dengan pasir putih dan ombak yang biru tu :)


Anak-anak asal jumpa air je terus eksaited. Hermmm habis basah baju tu Azzam oi!


Ashraf ni memang menjadi perhatian semua orang, tengah-tengah jalan tiba-tiba selipar putus


Di sini memang banyak pokok bunga, kadang-kadang rasa macam berada di Cameron Highland pun ada cuma cuaca jelah panas lit-lit kat sini


Dari kejauhan hanya mampu melihat sahaja Avani Resort ke hape namanya tu? Tengok dalam Agoda.com harga satu malam boleh cecah ribuan ringgit. Al tak mamfulah nak pergi lagi ;(


Kawasan parking pun senang, setiap blok ada disediakan parking berdekatan dengan bangunan. Tak payah nak berebut parking lagi


Suka betul aku tengok Aaliyah mandi kolam, bila letak dalam pelampung tu pandai je dia gerakkan kaki dia. Ada masa tu sampai nak tertidur sebab best sangat duduk dalam pelampung. Tak macam Azzam yang penakut (tengok muka pun dah tahu)


Alhamdulillah, Haziq Husna & Ashraf memang dah tak takut mandi kolam. Yerlah, kolam kanak-kanak kan. Tapi kat sini takde orang jaga atau kawal, pukul 10 malam pun masih ada lagi orang mandi (selalunya dewasa)


Aaliyah sampai kecut tangan tu tapi tak nak naik tu, nak mandi lagi


Budak penakut







Mama jadi tukang jaga selipar jelah kat tepi kolam. Cuaca memang panas betul, kalau nak mandi baik mandi waktu petang. Kalau pagi ya Allah rasa macam nak masak aje belakang ni dibakar matahari :P




Secara jujurnya Seri Bayu Resot Hotel Bagan Lalang ni memang best untuk dijadikan tempat berkumpul adik-beradik sebab kat sini bilik besar, lepas tu ada juga disediakan tempat untuk adakan aktiviti BBQ (boleh minta bilik bawah sekali di mana ada disediakan tempat BBQ kat luar pintu). Nak ke pantai pun hanya jalan kaki sahaja dalam 5 minit. Kat pantai pun ada banyak kedai makan yang sediakan masakan panas dan makanan laut. Jadi, bab makan dah tak payah nak fikir banyak, hanya pilih sahaja nak makan di mana.

Selain dari kenangan "diusik" aku rasa aku ok je dan ada rezeki boleh datang lagi sebab anak-anak suka. Lagipun lokasi dekat je dengan rumah. Bagi kawan-kawan yang berminat boleh google je nama hotel ini. Bilik jenis studio suite juga ada disediakan bagi pasangan yang baru berkahwin :)

Ok. Bye!

Jumaat, 25 Disember 2015

Jom Check In Seri Bayu Resort Bagan Lalang


Assalamualaikum,

Ini adalah entri "scheduled" ya sebab waktu ini aku dan keluarga sedang bercuti di Seri Bayu Resort Bagan Lalang. Biasalah kami ni, walaupun tak pergi bercuti jauh-jauh, tak tahan godaan apabila anak-anak sibuk ajak pergi bercuti sebab nak mandi kolam. Siap tiup pelampung percuma bila beli susu Friso lagi untuk tunjuk betapa mereka mahu mandi kolam. Jadi, minggu lepas sempatlah aku ke Bagan Lalang untuk tinjau-tinjau resort ini, saje je cuba nasib dan kebetulan sampai di muka depan tempat daftar tu dah ada kolam renang. Apalagi anak-anak happy lah sebab diorang ingatkan nak bermalam di situ tapi sebenarnya aku dan en suami hanya pergi tinjau harga je :P

Nampak gaya macam penuh je pada 24hb, memang frust juga lah kan. Sudah lah harga bilik apartment (ada 2 bilik) RM300. Jadi, aku buka laman Agoda.com dan tengok bilik yang ada pun pada 26hb pada harga RM300 lebih. Hermm, takpe lah kalau lebih mahal dari harga asal, terpaksalah lupakan aje.

Sekali pagi Isnin tu saje je aku buka balik dalam Agoda dan tengok pada tarikh 24hb Disember 2015. Eh ada lah pula dan yang bestnya harga selepas dikenakan cukai pun tak sampai RM300. Apalagi terus Whats App en suami dan alhamdulillah terus tempah melalui Agoda.com. Memnag kami setia dengan Agoda sebab kat situ en suami dapat mata dan bila dikumpul-kumpul boleh tebus balik bila nak tempah hotel yang lain. Walaupun iklan di TV ada Trivago, booking.com & macam-macam lagi, kami masih setia dengan Agoda tapi dengan syarat kena rajin buat perbandingan harga juga lah. Kalau lebih mahal janganlah tempah tau :P

Oklah, nanti dah balik aku buat review resort ni. Gambar pun takde sangat. Nanti Mekla buat ulasan sendiri ya. Bye!

Khamis, 3 September 2015

Hotel Review : Pulai Spring Resort Johor

 Assalamualaikum,

Hari ini aku akan kongsikan review hotel yang kami menginap di Johor Ahad yang lepas. Kami tempah melalui laman kesukaan kami iaitu Agoda.com. Memang en suami mempunyai akaun dengan Agoda dan selalunya jika bercuti memang kami akan pilih untuk tempah melalui Agoda. Kenapa? Kerana di situ kami boleh menapis (filter) hotel yang macamana kami nak dan sudah pastinya harga terendah yang kami cari. Apabila en suami bagitahu nak bercuti di Johor terus aku buka laman Agoda dan taip hotel di sekitar Johor Bharu. Selalunya aku sukakan hotel jenis resort sebab bagi aku suasana resort yang tenang dan bilik juga agak luas berbanding dengan hotel biasa. Apa-apa pun sebelum membuat tempahan sila baca dulu pengalaman orang yang pernah tinggal di hotel tersebut ya, baru buat perbandingan.

Sekarang ni memandangkan jumlah famili dalam keluarga pun sudah bertambah, nak tak nak kami kena cari bilik ala service apertment atau yang mempunyai 2 bilik. Jika di hotel rasanya dipanggil "connecting room" tapi kalau resort ni lagi best sebab selalunya akan ada ruang tamu dan ruang makan untuk famili juga. Harga? Yang tu memang tak dinafikan agak mahal jika dibandingkan dengan bilik biasa tapi untuk hotel kali ini aku rasa puas hati sebab kami mendapat diskaun RM100 lebih tolak dari jumlah mata yang terkumpul dalam akaun Agoda. Ikutkan jumlah sebenar dalam RM400+ tapi kami bayar dalam RM300+ untuk 2 bilik dan sarapan untuk 4 orang. Sudahlah hotel taraf 5 bintang, jangan nak banyak komplen ya kerana bagi aku berbaloi-baloi sudah :)

Boleh tempah bilik di sini ya :Agoda.com

Oleh kerana kami dari Shah Alam terus ke Pontian pada pagi Sabtu 30hb Ogos 2015, perjalanan dari Pontian ke hotel memakan masa dalam 40 minit juga. Kami check in dalam pukul 6 petang dan sampai-sampai je memang tak keluar dah memandangkan aku pening dan tertidur sampai pukul 12 malam. Tapi anak-anak memanglah teruja bila dapat masuk bilik sampaikan si kecil Aaliyah pun tak reti duduk diam nak explore bilik ke bilik. Ternyata memang puas hati dengan keadaan bilik yang luas dan selesa. Ada juga komen pengunjung yang lain di dalam laman Agoda mengatakan bilik berbau, bagi aku biasalah sebab hotel jenis resort ni kebanyakannya terdiri dari kayu, perabut pun nampak sudah lama tapi benda ni tak menjadi masalah bagi kami orang jakun ni :)


Bangun pagi tengok suasana hijau macam ni. Best kan? Sila berangan untuk bina rumah di kampung mengadap sawah padi nan hijau. Kalau kampung aku mana ada sawah padi, pokok jagung adalah! Dulu-dulu tembakau tapi sejak penanaman tembakau diharamkan di Kelantan petani dah berpindah tanam jagung, kacang atau roselle.


Kami dapat bilik paling atas sekali iaitu tingkat 7. Gayat juga dan aku memang pastikan pintu sliding sentiasa berkunci. Memang anak-anak tak dibenarkan bermain sekitarnya sebab tak nak perkara yang tak elok berlaku. Iyalah, ada anak-anak kecil ni memang kena beri perhatian sket bab-bab keselamatan.


Ini bilik utama ada katil besar. Memang puas hati lah Aaliyah tidur. Dalam bilik pun lantai dah tukar pada kayu laminate jadi takde lah sejuk sangat bila nak berjalan tu. Bilik ni juga dilengkapi televisyen juga. Memang luas!


Ada ruang untuk bilik bersolek. Tapi memandangkan aku ni jenis tak berhias maka takde lah nak guna. Ambil gambar jelah untuk tatapan uols kan


Ada ruang dapur (kitchennette) dilengkapi dengan peti ais 2 pintu dan set meja makan. Rugi sebab tak usung acik Noxxa sekali kalau tak dah boleh jimat tang makan:P Tapi sepanjang kami berada di Johor memang murah rezeki sangat-sangat sebab kami hanya membelanjakan RM35 sahaja untuk makan tengahari dan selebihnya kami dijamu di rumah acik-acik di Pontian. Bukan sekali makan tapi berkali-kali. Rezeki anak-anak juga bila dapat duit raya dari nenek-nenek yang aku tak tahu nak describe macamana terlalu baiknya mereka. Ya Allah semoga hubungan yang terjalin ni kekal sehingga kami tua. Moga lepas ini boleh berkunjung lagi ke bumi Pontian.


Ruang tamu ada set sofa dan televisyen. Walaupun bukan TV flat screen tapi anak-anak enjoy je. Syukur mereka bukan jenis yang suka komplen, apa yang mereka tahu adalah "best duduk hotel ni" Maklumlah duduk rumah kan bersepah-sepah aje :P


Ni kat ruang solekan ada almari tinggi dan kat depan tu adalah tandas yang super besar dan kalah tandas rumah aku. Hu hu hu Bukan jakun tapi itu hakikat:P


Rasanya kalau datang 2 famili pun boleh pakat berkumpul tidur kat ruang tamu ni. Tapi sudah tentulah kad keselamatan hanya diberikan 2 keping sahaja. Kalau nak masuk lif pun kena cucuk guna kad keselamatan yang diberikan. Sebenarnya aku yang jakun, ha ha ha Selama ni pergi hotel tak pernah pula jumpa lif yang bila nak naik kena cucuk kad dulu *jangan gelak ya* Nasib baik en suami yang dah biasa travel sana sini yang bagitahu. Ini kelebihan sentiasa bermusafir mengenal negara orang, bukan nak berlagak tapi boleh nampak tak kita akan belajar sesuatu yang baru di situ. Sebab itu aku suka kongsi di blog supaya kalian yang membacanya juga tahu jadi aku takde lah jakun seorang diri HAHA :P


Ini pula tandas dalam bilik anak-anak. Ada 2 bilik dan 2 tandas


Ruang dalam bilik tidur utama kami jadikan tempat solat. Sejadah tu aku bawa dari rumah ya, mana ada hotel yangs ediakan sejada kecuali Tabung Haji Hotel yang kami tinggal di Kota Kinabalu dulu. Semoga lepas ini lebih ramai rakyat Malaysia yang muslim yang akan menyediakan hotel berkonsepkan islamik seperti Tabung Haji Hotel. Memang patuh syariah betul!


Dalam bilik anak-anak ada 2 katil bujang. Memang muatlah bagi mereka untuk tidur. Kelakar pula bila aku tengok masing-masing tidur berselimut sebab sejuk sangat. Kalau di rumah jangan haraplah nak guna selimut waktu tidur. Siap basahkan baju adalah!


Yang ini tandas bilik utama. Rugi tak gunakan sepenuh masa berdating dengan en suami :P Ahaksss

Ok esoknya sarapan disediakan seawal pukul 6.30 pagi lagi. Kalau nak makan secara tenang seeloknya turun awal lah kan. Kami turun dalam pukul 7 pagi dan memang tak ramai pun pengunjung lain kecuali ada beberapa pasangan orang cina sedang menikmati sarapan. Pilihan makanan memang banyak tapi tak semua pun aku makan.


Kalau anak-anak antara 2 hingga 12 tahun dikenakan harga dalam RM16 seorang. Aaliyah dengan muka baru bangun tidurnya dah dibawa untuk sarapan. Makan bubur nasi aje

Ini antara makanan yang aku makan, eh tak banyak pun sekadar untuk rasa aje. Maklumlah bukan selalu boleh makan hotel tau. Apa-apa pun masakan sendiri juga yang terbaik!


Salad dia makan dengan mayones, thousand island dan vinaigrette. Semua aku bantai campur. eh sedaplah pula. Kalau anak-anak jangan haraplah nak makan sayur ni


Budak Husna hanya makan bubur nasi dan bijirin aje, memang rugi lah kalau bawa anak-anak sarapan di hotel sebab mereka ni bukan tahu makan banyak pun. He he he Sebab selalu bayangkan bayar mahal-mahal untuk buffet tapi makan sikit, rugi tak?


Isy isy siapalah makan banyak ni. Sedap sosej dimasak dalam sos lada hitam. Nanti boleh cuba buat sendiri di rumah. Sarapan ala mat salleh pastu menggelupur cari nasi. Aku ingatkan ada lah juga nasi lemak tapi takde, yang ada hanyalah nasi beriani (tak makan pun) dan mee goreng. Bila balik ni terkenang-kenangkan segala makanan yang ada. Patutlah orang kata best bila duduk hotel sebab iyalah kau tak payah nak masak segala!


Muka anak jantan ambo makin hari makin montel :)


Bubur nasi dia memang sedap. Bukan sebab hotel yang buat tapi aku rasa ini antara satu kegemaran aku. Kalau pergi hotel mesti nak makan bubur nasi. Bukan semangkuk tapi bermangkuk-mangkuklah boleh dihabiskan.


Lepas sarapan terus naik ke bilik tapi budak-budak ni sibuk ajak mandi. Bab jaga anak mandi kolam aku serahkan pada en suami sebab aku nak membuta. Eh! Bukan nak membuta tapi dah penat makan:P


Ramai juga budak-budak lain yang dah turun mandi, maklumlah hari cuti jadi memang akan penuhlah hotel dengan famili yang bawa anak-anak bercuti bersama. Tapi kan, satu benda yang aku dan en suami cukup tak berkenan iaitu bapak-bapak yang mandi atau teman anak-anak mandi, ada ke patut merokok di tempat terbuka dan dipenuhi kanak-kanak macam ni, tak kisahlah rokok betul atau hisap vape tolonglah hormati ibubapa lain yang ada kat situ. Yang paling menyedihkan adalah rata-rata yang merokok tu Melayu. Nampak gaya otak masih lagi dijajah rokok! Maaf ya, teremosi sket sebab bagi aku adalah sedikit kurang ajar merokok depan orang terutamanya kanak-kanak yang sedang mandi di situ.


Ingatkan hari tu 31hb Ogos negaraku Malaysia dah merdeka tapi rupa-rupanya masih ramai lagi yang masih di takuk lama menjadi hamba kepada rokok. En suami juga dulu seorang perokok tegar sewaktu bekerja di Tanjung Bin Power Plant, maklumlah persekitaran bekerja dengan lelaki rata-rata perokok malah sewaktu aku awal-awal kenal masa zaman belajar dulu pun dia seorang perokok tegar. Tapi alhamdulillah, sejak "bercinta" dengan aku dia berhenti merokok dan sehingga kini en suami sudah bebas rokok. Malah en suami juga bagitahu "Agaknya inilah keadaan abang dulu masa hisap rokok ya, tak reti dan dibenci orang sekeliling". Iya, kami rasa sungguh geram dengan perokok yang merupakan bapak kepada anak kecil yang sedang mandi kolam tu, sambil hisap rokok sambil dukung anak. Ya Allah, ceteknya pemikiran. Kalau dah gian sangat nak merokok sila lah pergi hujung-hujung dan merokok jauh-jauh. Ok sekian. Marah betul aku ya!

Sekian sahaja ulasan aku untuk hotel ini. Secara keseluruhan kami memang berpuas hati dan sangat rekemenkan kepada keluarga yang mempunyai ramai anak. Lokasi juga strategik terletak di Skudai, nak ke JPO pun dalam lebih kurang 30 minit sahaja. Kalau tak nak bersesak-sesak dengan trafik jem bolehlah menginap di sini ya.

Bagi pengusaha homestay jom iklankan homestay kalian di sini :


Lebih dari 1000 pautan blog alumni ABDR akan menyiarkan iklan anda. Carian akan terus naik ke dalam carian Google. Berminat? Hubungi aku melalui :

Email : zailamohamad@gmail.com
Whats App : 012-970 6828
Facebook : Zaila Mohamad

Sehingga bertemu lagi :)

Selasa, 3 Februari 2015

Hotel Review : The Palace, Kota Kinabalu Sabah

Assalamualaikum,

Kali ini aku ingin kongsikan tentang review hotel yang kami bermalam di Kota Kinabalu iaitu Hotel The Palace. En suami menempah bilik di dalam laman Agoda.com dan jujurnya kami sangat berpuas hati dengan servis hotel ini. Kebetulan hotel ini terletak berdekatan dengan Balai Polis yang kami pergi untuk membuat laporan kerana tercicir My Kid Haziq, jadi ianya mudah sangat untuk dicari. Kami tiba untuk check in pada waktu petang dan selepas check in kami diberikan kupon untuk mendapatkan "refreshment drinks" di lobi Hotel. Sewaktu kami ke sini iaitu pada bulan Disember tahun lepas, masih dalam mood krismas. Jadi banyak dekorasi krismas yang sudah semestinya cantik-cantik belaka.

Lagi satu hotel ini mesra alam tau. Banyak menggunakan bahan-bahan terpakai dalam dekorasi mereka. Aku kongsikan gambar-gambar kami sepanjang menginap di The Palace, Kota Kinabalu.








Kami tempah extra bed satu sebab kami kan anak ramai. he he Tips sebelum membuat tempahan hotel di Agoda.com, pastikan baca dahulu terma & syarat yang ditetapkan hotel. Ada setengah hotel tu biliknya terlalu kecil sehingga tidak dapat memuatkan katil tambahan atau ada juga hotel yang tidak membenarkan kanak-kanak seusia 9 tahun menginap secara percuma. Cuba cari hotel yang mesra kanak-kanak ya.


Bilik hotel ini macam baru diubah suai. Aku suka sebab nampak seperti berada di rumah aje :)






Salah satu ciri yang kami pilih adalah hotel yang mempunyai kolam renang. Anak-anak sibuklah nak mandi kolam tapi aku pula yang malas nak temankan. Jadinya kita pandang sahaja kolam tersebut :P


Pilihan makanan untuk sarapan memang banyak tapi macam biasalah tak boleh buat "daghak" aka jakun sangat. Nak ambil gambar pun macam malu sebab orangtak ramai lepas tu chef-chef masakan semua ada dok tersengih-sengih melayan kami. Naik segan ahkak ya.

Ini adalah ruang makan. Kalau nak bersarapan di luar koridor pun boleh ada pemandangan kolam di bawah dan taman bunga. Tapi tak suka sebab ada geng-geng yang hisap rokok duduk situ. Jadi, untuk selamat dari pencemaran udara kami bersarapan di dalam sahaja. Selesai sarapan, kami naik ke bilik dan berkemas-kemas untuk balik. Urusan check out sekejap sahaja tanpa perlu menunggu untuk melihat ada barang rosak ke apa. Setengah hotel mereka akan pastikan semua barang mereka ada dahulu baru dilepaskan tapi hotel ini tak. Baguslah kan ;)


Bagi yang ingin berkunjung ke Kota Kinabalu, aku cadangkan juga The Palace Hotel ini. Kalau di Agoda.com, hotel ini bertaraf 4 bintang. Boleh tempah di sini : The Palace Hotel Kota Kinabalu.

Apa yang penting buat dulu survey sebelum menempah. Hotel ini agak jauh dengan Pasar Filipina dan pasar ikan masin. Jadi sesuai bagi mereka yang mempunyai kenderaan. Tapi kalau rajin berjalan kaki, kena turun bukit (hotel ini atas bukit) dan ada shopping mall berdekatan dengannya (lupa pula namanya).

Selamat bercuti ke Sabah!

Iklan Dibawakan Oleh Nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

About this blog

Segala isi kandungan di dalam blog ini adalah luahan hati tuan empunya blog sahaja, tiada kaitan dengan mereka yang masih hidup mahupun yang sudah tiada di muka bumi ini..Bahasa yang digunakan adalah sedikit rojak kerana tuan empunya blog hanya mampu mendapat Credit 4 untuk Bahasa Melayu & Credit 3 untuk Bahasa Inggeris pada SPM tahun 1999. Jadi, bimbingan ibubapa adalah diperlukan bagi menafsirkan bahasa rojak yang digunakan;)

Segala bahan, gambar & segala kandungan blog ini adalah kepunyaan peribadi tuan empunya blog (melainkan dinyatakan sumbernya) untuk tatapan generasi akan datang tuan empunya blog nanti. Setiap bahan, gambar & segala kandungan yang ingin diguna pakai, haruslah memberi kredit kepada Zailabinimdae's blog atau diletakkan link blog ini.

Di bawah AKTA 588, AKTA Komunikasi & Multimedia 1998, seseorang individu boleh didakwa sekiranya anda berniat untuk menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang atau mana-mana nombor atau alamat elektronik. Jadi, hormatilah coretan rasa tuan empunya blog agar kita semua dirahmati & berada di bawah lindungan ALLAH selalu^_^