Jumlah Pengunjung Setakat Ini

Jumaat, 5 Oktober 2012

Berkorban Kerjaya Demi Keluarga - WAHM, SAHM, SOHO

Tajuk : Korban Kerjaya Demi Keluarga

Assalamu'alaikum,

Alhamdulillah, hampir dua bulan setengah sudah saya berada di rumah menguruskan segala keperluan keluarga. Tiada yang lebih menggembirakan hati & perasaan ini melainkan melihat anak membesar di depan mata & dapat memantau setiap pergerakan mereka. Syukur juga apabila ibubapa, adik beradik dan ahli keluarga dapat menerima keputusan saya dengan baik dan begitu positif sekali.

Namun saya akui, tidak mudah untuk melepaskan kerjaya demi anak-anak. Terlalu banyak dugaan & halangan yang harus diatasi. Perkara pertama yang paling menjadi kebimbangan adalah pandangan ibu bapa saya sendiri. Tentulah restu mereka yang paling saya harapkan memandangkan mereka telah membesarkan saya selama 23 tahun (ssebelum tanggungjawab dilepaskan kepada en suami) dan telah memberikan pendidikan yang terbaik buat saya. Dengan ijazah kejuruteraan di dalam tangan, sudah pasti mereka mengharapkan saya berjaya sebagai seorang jurutera ataupun memegang jawatan tinggi di mana-mana institusi. Namun, maafkan diriku mak ayah..jawatan yang paling tinggi yang sedang disandang sekarang ini tidak boleh diukur dengan harta dunia tetapi hanya keikhlasan hati yang menjadi ukurun titik kejayaan anakmu ini.

Alhamdulillah, mak ayah saya sudah mula menerima keadaan, bahkan sentiasa mendoakan kebahagiaan saya dunia akhirat. Terima kasih kepada kakak saya yang banyak memberikan kata-kata nasihat kepada mak. Bukan mudah untuk menukar persepsi "orang tua" terhadap kerjaya surirumah ini. Rata-rata mereka mengharapkan anak-anak perempuan mereka menjadi cikgu ataupun penjawat awam yang akan menyumbang kepada ekonomi negara sedangkan mereka tidak tahu, surirumah sekarang juga banyak menyumbang kepada ekonomi negara dengan menjalankan perniagaan dari rumah secara kecil-kecilan yang kadang-kadang berubah menjadi sumber pendapatan utama keluarga.

Selain dari pandangan ibu bapa, saya juga harus mengawal nafsu diri sendiri yang sudah biasa memegang duit sendiri. Kalau dulu nak beli apa-apa keperluan diri boleh gunakan duit gaji tapi sekarang ini harus berjimat-cermat & begitu berhati-hati dalam merancang budget sendiri. Tapi Alhamdulillah, selagi niat kita ikhlas berkorban segala-galanya untuk suami dan anak-anak, saya percaya Allah juga tak pernah tutup pintu rezeki NYA buat kami.

Sekarang ini, walaupun sudah tidak bekerja dan tidak perlu bangun pagi untuk bergegas menghantar anak ke taska, saya masih lagi mengamalkan rutin dulu iaitu bangun pagi menyiapkan keperluan anak-anak & melakukan kerja rumah seperti biasa kerana selepas itu mahu fokus kepada kedai alam maya yang saya usahakan sudah hampir 3 tahun (http://www.facebook.com/MariKelih-Store) bermula dari saya bekerja lagi. Pelbagai perit jenih pengalaman berniaga telah saya lalui dan Alhamdulillah sekarang saya bersyukur sebab dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada perniagaan ini. Harapan saya supaya suatu hari nanti saya dapat merealisasikan kedai alam maya ini kepada sebuah kedai realiti & dapat membuktikan kepada mak ayah saya yang saya juga boleh berjaya!

Selain itu, saya juga suka berkongsi segala pengalaman pahit manis kehidupan saya sebagai seorang ibu dan sekarang sebagai seorang yang bekerja dari rumah di dalam blog peribadi yang telah saya coretkan sejak 3 tahun yang lepas juga (http://zailabinimdae.blogspot.com). Dunia blog banyak membantu memberikan saya semangat dan inspirasi untuk meneruskan niat saya mengorbankan kerjaya demi keluarga. Selain itu, saya juga merasa amat bersyukur kerana dengan dunia blog juga saya dapat berjumpa dan berkenalan dengan ramai wanita-wanita hebat yang telah lama meninggalkan alam kerjaya demi berbakti kepada keluraga. Siapa sangka, kami tidak pernah berjumpa di luar tapi kemesraan yang terjalin seperti sudah kenal begitu lama.

Saya berharap selepas ini akan lebih ramai lagi para wanita yang sanggup berkorban kerjaya demi keluarga masing-masing. Tiada apa yang lebih bernilai dari harta melainkan dapat melihat dan membesarkan anak-anak di depan mata. Dengan keadaan dunia sekarang yang makin mencabar, semoga wanita di luar sana dapat membuat keputusan yang lebih bijak dengan lebih mementingkan keluarga dari kerjaya dan pangkat semata.

Terima kasih pada yang sudi membaca!

Note : Sorry ya kawan-kawan, ayat adalah sedikit skema kerana ini adalah artikel yang akan aku hantar kepada wartawan majalah Mingguan Wanita..Harap-harap terpilih..hehehe

Dapatkan pelbagai makanan sunnah di MKS Gedung Serbanika Online 
Dapatkan pelbagai buku agama & motivasi di MKS Kedai Buku Online
Dapatkan produk kecantikan AS Beauty di sini
Dapatkan pelbagai barangan untuk majlis harijadi di MKS Party Solutions

5 ulasan:

yatie chomeyl berkata...

patut ayat skema pung...hope terpilih la deh hehe

Hada Masayu berkata...

hehe...ernie nye artikel pn msk mag wanita...

amalina berkata...

Bertuah anak2 awk... Tapi bukan semua org ada 'luxury' utk pilih tidak bekerja... Ada suami yang mmg x boleh afford, ada parents yang mmg x boleh terima ank x kerja sbb dialah yg jadi harapan keluarga wlpn dia sendiri dah ada keluarga sendiri, dan macam-macam lagi situasi...

mummY daniSha berkata...

heeee...patutla cam pelik ayat akak hehe

hasyimahshe berkata...

seronok nya bekerja dari rumah

Iklan Dibawakan Oleh Nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

About this blog

Segala isi kandungan di dalam blog ini adalah luahan hati tuan empunya blog sahaja, tiada kaitan dengan mereka yang masih hidup mahupun yang sudah tiada di muka bumi ini..Bahasa yang digunakan adalah sedikit rojak kerana tuan empunya blog hanya mampu mendapat Credit 4 untuk Bahasa Melayu & Credit 3 untuk Bahasa Inggeris pada SPM tahun 1999. Jadi, bimbingan ibubapa adalah diperlukan bagi menafsirkan bahasa rojak yang digunakan;)

Segala bahan, gambar & segala kandungan blog ini adalah kepunyaan peribadi tuan empunya blog (melainkan dinyatakan sumbernya) untuk tatapan generasi akan datang tuan empunya blog nanti. Setiap bahan, gambar & segala kandungan yang ingin diguna pakai, haruslah memberi kredit kepada Zailabinimdae's blog atau diletakkan link blog ini.

Di bawah AKTA 588, AKTA Komunikasi & Multimedia 1998, seseorang individu boleh didakwa sekiranya anda berniat untuk menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang atau mana-mana nombor atau alamat elektronik. Jadi, hormatilah coretan rasa tuan empunya blog agar kita semua dirahmati & berada di bawah lindungan ALLAH selalu^_^