Alhamdulillah, semalam dah selamat sampai dari bercuti di Sabah. Kali ini kami sekeluarga kembara ke sana selama 5 hari 4 malam. Kami ke sana awal pagi Sabtu lagi. Pukul 5 pagi lagi dah keluar ke KLIA dan tiket penerbangan kami ke Kota Kinabalu pada pukul 8.30 pagi dan mendarat di sana dalam pukul 11 pagi. Tapi nak dijadikan cerita sampai-sampai je di kaunter Imigresen baru en suami perasan yang IC Haziq tercicir entah di mana. Puas dah cari sepanjang jalan dari kapal terbang ke pintu masuk terminal tapi tak jumpa. Hermmm, agaknya jatuh semasa beratur nak masuk kapal terbang di KLIA kot. Maklumlah masa tu semua orang sedang beratur nak masuk dan kebetulan sebelum kami ada pasangan yang tengah kalut mencari IC anak mereka. Tak sangka pula rupa-rupanya di tengah kekalutan tu IC Haziq pun tercicir sama (aku syak mungkin pekerja MAS tu tersalah bagi IC pada pasangan yang sebelum ini). Tak pasal-pasal acara kami yang pertama di bumi Sabah adalah melawat Balai Polis untuk membuat laporan tentang kehilangan IC tersebut ;(
Sempat jugalah merasa 3 jam lebih menunggu dalam balai polis Karamunsing tu. Oh ya! Sepanjang di sana kami menyewa kereta saga. Nanti aku berikan maklumat lebih lanjut dalam entri yang lain. Jadi, sepanjang berada di sana memang en suami yang memandu ke semua tempat. Tengok tajuklah! Banyak tempat juga kami sempat singgah dan alhamdulillah memang niat sebenar pun nak bawa anak-anak merasai kecantikan bumi Sabah. Mula-mula tu kami ke Balai Polis Kota Kinabalu tapi kat situ tak boleh nak buat report kehilangan IC jadinya pusing-pusing jumpalah Balai Polis Karamunsing! Ya Allah mencabar betul sepanjang berada di situ, anak-anak semua dah lapar dan penat. Bayangkanlah sedar dalam pukul 5 pagi lagi untuk bersiap-siap ke KLIA kemudian makan sedikit dalam kapal terbang. Nasib badanlah menunggu dari pukul 12.30 tengahari sampai pukul 2.30 petang untuk dapatkan laporan polis mengatakan IC anak tercicir di KLIA :(
Kesian Azzam & Ashraf dah menangis-nangis nak pergi hotel. Nasib baiklah dalam beg aku ada bawa makanan jadi buka biskut masing-masing berebut nak makan. Dah kebulur tahap apa dah tu! Macam biasalah, mula-mula tu rasa nak marah juga sebab lemb*bnya lah nak buat satu-satu laporan tapi dah tak boleh nak buat apa juga. Jadinya, duduk diam-diam sambil istighfar banyak-banyak. Anak-anak pun alhamdulillah memahami dan nasib baik mereka juga boleh bersabar dan menunggu. Yang aku perasan, setiapkali bercuti bersama keluarga mesti akan ada insiden yang mendebarkan dan membuang masa kami hampir berjam-jam. Sama juga kes bercuti ke Krabi tahun lepas di mana kami salah masuk daftar kaunter bas. Hadoiiiiii, sempatlah buang masa hampir 2 jam di situ :(
Suasana krismas di Balai Polis Karamunsing. Kenangan manis yang kami akan ingat sampai bila-bila
Alhamdulillah dalam pukul 3 lebih siap buat laporan polis kami pergi makan isi perut dahulu. Lepas tu terus check in di hotel TH Hotel Kota Kinabalu. Nanti aku kongsikan review tentang hotel ini ya. Best juga hotel ni.
Dah masuk hotel, muka yang masam berpeluh-peluh pun bertukar jadi senyum. Tengoklah Husna tu!
Aaliyah pun suka aje dapat golek-golek atas katil. Kemudian kami rehat sekejap sebelum keluar ke Perdana Park sebab nak jumpa dengan salah seorang geng ABDR. Nanti cerita entri lain. Ni baru nak intro aje dulu nih.
Esoknya selepas check out kami ke Muzium Sabah. Tak jauh pun dari hotel. Bayaran tiket pun takde lah mahal jadi mari kita masuk ke Muzium dulu. Hermmm, untuk mereka yang ada anak-anak kecil macam aku ni sebenarnya tak berbaloi masuk tapi bolehlah kan bawa mereka tengok. Dalam ni ada rangka ikan paus besar sangat kemudian ada juga patung-patung binatang. Bahagian ini memang anak-anak aku suka lah! Nasib baik tak masuk bahagian tengkorak-tengkorak :P
Selepas itu kami ke Kundasang. Selepas check in hotel di sana kami terus ke Mesilau nak pergi Desa Dairy Farm. Kalau dulu pergi tahun 2012 tak dapat masuk sebab dah tutup tapi kali ini alhamdulillah sempat masuk dan tengok bagaimana susu diperah oleh lembu dan merasai susu segar (dalam kotak).
Lembu-lembu kat sini pun dah macam faham kalau ada pengunjung datang nak ambil gambar di tepi pagar, lembu-lembu tu pun akan datang lebih dekat. Eh! nak selpie sekali kot
Balik dari ladang lembu kami pergi makan kemudian balik hotel. Masa tu aku migrain sangat-sangat sampai nak makan pun tak lalu. Alhamdulillah en suami banyak bantu tolong picitkan kepala dan jaga anak-anak. Tak suka kalau sakit tapi nak buat macamana cuaca di Kota Kinabalu panas sangat pastu ditambah pula dengan jalan menuju ke Kundasang berliku-liku lepas itu atas ladang lembu pun cuaca sejuk sangat sampai nak bernafas pun semput. Adoiiii dah tua ya *uhuk*uhuk*
Hari ketiga alhamdulillah kepala dah ok, pagi tu lepas sarapan jalan-jalan sekejap sekitar hotel dan balik bersiap untuk ke Ranau. Kali ini target nak ke Ladang Teh dan sungai tempat orang bagi ikan kelah makan tu. Alhamdulillah, rupa-rupanya berdekatan aje 2 tempat ni.
En suami yang turun masuk dalam air. Tengoklah ikan-ikan tu. Mula-mula aku masuk juga dalam air tapi lepas tu keluar balik sebab geli geleman aih. He he Oh ya! Sebelum kami terserempak dengan Alifsyukriterlajaklaris tu. Tapi tak sempat nak bergambar dengan rombongan abang terlajak larisssss
Balik dari Ranau kami singgah sebentar ke rumah teman maya ABDR juga. Nantikan entri lain lah ya. Memang best sangat kembara Sabah ni sebab kebanyakan masa kami bergerak dan singgah ke tempat-tempat menarik dan berjumpa dengan geng ABDR.
Hari ke 4 selepas meninggalkan Kundasang, en suami ajak ke Kota Belud sekejap untuk jalan-jalan kenal tempat orang tapi sebenarnya tak sampai pun bandar Kota Belud kami berjumpa dengan satu tempat yang best. Ingatkan tempat main ikan tapi rupa-rupanya tempat mandi. Sempatlah meluangkan masa sejam layan anak-anak mandi sungai. En suami pun berendam sama dengan anak-anak. Aku tak lah sebab nanti siapa yang pegang Aaliyah *alasan orang tak suka berendam air sejuk*
Lepas berendam singgah makan durian kampung di gerai sini. He he he Tak sangka anak-anak aku pun hantu durian juga.
Kemudian kami patah balik meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu. Sampai di situ dalam pukul 2 petang dan terus pergi makan dulu. Selepas siap makan terus ke hotel dan petang pula keluar makan malam di Pasar Filipina dan cari sedikit ole-ole di Pasar Malam Sinsuran (eh betul ke ejaannya ni?)
Kat sini setiap bulatan mesti ada tugu (ke apa benda tu). Ada ikan lah, nenaslah, penyu lah dan macam-macam lagi. Bukan apa, cantiklah kan :)
Kat sini walaupun boleh makan makanan laut yang segar-segar dan murah tapi sangatlah panas dan berasap dan tidak selesa. Nasib baiklah anak-anak tidak meragam. Alhamdulillah, aku bersyukur sangat-sangat sebab anak-anak aku ni memang bukan kaki Mall. Makan pun tak memilih dan ikut sahaja kami walau ke mana kami bawa. Masa ni hujan rintik-rintik dan bayangkan Aaliyah berdukung dengan en suami dan kena rintikan hujan. Alhamdulillah esoknya bersin juga tapi tak meleret ke demam. Syukur sangat-sangat!
Herm, esoknya hari ke 5 sempat pusing-pusing Jesselton Point sekejap sebelum terbang pulang ke Kuala Lumpur. Tapi kami transit sekejap ke bumi Labuan jadinya saje gatal letak kembara ke Labuan juga. Eh!
Oklah, more updates coming soon. Insya Allah! Siap sedia untuk kembara ke bumi Sabah bersama kami semua. Terima kasih Allah sebab beri kami peluang untuk mengembara bersama. Walaupun sepanjang berada di sana selalu bergaduh-gaduh manja dengan en suami dan anak-anak. It's not easy nak travel dengan anak kecil ni tapi syukur sangat-sangat anak-anak memang berikan kerjasama dan tidak sakit atau buat "perangai" di sana. Dalam gambar semua senyum aje kan. He he he
Insya Allah ada rezeki kita pergi ke luar negara pula. Sabah ini hanya permulaan sahaja. Ya Allah Kau permudahkanlah segala urusan kami :) Aamin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan