Jumlah Pengunjung Setakat Ini

Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan

Rabu, 21 Januari 2015

Kembara Bumi Sabah Day 4 : Pasar Filipina

Assalamualaikum,

Kita sambung balik kembara bumi Sabah yang entah berapa kali tergendala siarannya. Aku gagahkan diri juga update sebab nanti ianya adalah kenangan dan juga mana tahu boleh jadikan rujukan pada sesiapa yang mahu ke Kota Kinabalu, Sabah.

Sambungan dari Hari ke 4 : Mandi Sungai Di Wilayah Pelancungan Tagal, Kota Belud

Selepas mandi sungai kami kembali ke Kota Kinabalu dan kali ini menginap di The Palace Hotel. Selepas check in, masuk bilik sekejap dan petang itu keluar pula untuk makan malam dan beli sedikit ole-ole di pasar malam yang berdekatan Hote Le Meredian itu. Kat depan mengadap pasar malam ada Pasar Ikan Masin dan juga Pasar Filipina. Memandangkan malam itu hujan, kami berhenti untuk makan dahulu di Pasar Filipina. Suasana di sini janganlah harap seperti di dalam sebuah restoran tetapi lebih kepada gerai-gerai dan banyak asap. Sudahlah selepas hujan tu rasa panas pula, berpeluh-peluh kami semua di situ.

Tapi makanan di sini memang superb! Makanan laut semuanya segar-segar belaka dan boleh siap masakkan terus di situ. Kami memang tak tahu nak pilih gerai yang mana satu tapi apabila jumpa dengan penjual yang ramah atau pandai menarik perhatian kami, maka di situlah kami berhenti :)


Ada yang sudah siap dibakar dan kita boleh terus pilih dan makan. Kami pilih yang segar dan lama juga menunggu untuk siap dimasak


Harga di sini boleh tahan murah (tapi kalau ambil banyak-banyak boleh tahan juga bila membayarnya). Malam itu kami berhabis dalam RM125 untuk semua makan dan minum termasuk air yang bergelas-gelas. Ya Allah memang panas dan dahaga sepanjang berada di sini. Kami makan 2 ekor ikan saiz besar, udang dan sotong. Lepas itu nasi, air kelapa dan beberapa gelas air. En suami cakap harga dah murah tapi iyalah bila rasa ratus-ratus tu terus fikir macam mahal je :P


Tengok lobster tu. Besar-besar dan segar. Tapi aku tak beli pun sebab susahlah nak makan dengan anak-anak kecil ni. Tunggulah kalau ada rezeki datang lagi bolehlah cuba makan lobster


Ada pelbagai pilihan makanan laut ada di sini. Pilih pilih mana yang berkenan di hati


Anak-anak berebut minum kelapa. Di sini suasananya agak bising dan panas memandangkan sebelah dengan laut.


Udang masak mentega. Tak boleh lawan rasa di restoran chinese muslim yang aku makan di Shah Alam. Tapi udangnya segar


Aaliyah waktu ini masih 5 bulan. Tengok jelah ya dik. Masa ini awak hanya minum susu mama sahaja. Terbaik dari ladang. Mama dia pula makan macam-macam :)


Sotong ni RM10 secucuk. Bagi aku rasanya tak sedap. Mungkin dibakar sampai kering atau dibiarkan terlalu lama sehingga rasa kering. Kalau makan dengan sos bolehlah tapi kalau datang lagi tak nak dah ambil yang ni


Lupa pula apa nama ikan ini ta[i rasanya segar. Sos pencicah juga sedap.


Terima kasih en suami kerana rajin pegang Aaliyah. Terima kasih kerana menaja percutian keluarga dan terima kasih kerana selalu memarahi aku. Maklumlah aku ni jenis #orangyanghuruhara juga. Hehe Kami ni biasalah, gaduh-gaduh sayang balik :)


Selepas makan kami ke pasar malam sekejap cari baju-baju T-shirt untuk anak-anak. Tapi tak boleh nak duduk lama sangat sebab hujan turun. Kasihan Aaliyah dan anak-anak yang lain, kena berlari-lari dalam hujan.

Sampai hotel, selepas mandi dan solat kami terus tertidur dengan jayanya. Maklumlah kepenatan selepas seharian bergerak dari Kundasang ke Kota Belud ke Kota Kinabalu. Percutian dengan anak-anak baya mereka memanglah memenatkan sebab kita yang kena bagi tumpuan pada mereka. Semua nak kena jaga, bab makan bab pakaian baba keselamatan.

Tapi bila diingatkan balik, walaupun ada beberapa perkara yang mencacatkan percutian tapi ianya sedikit pun tidak melemahkan semangat kami untuk bawa anak-anak bercuti lagi. Semoga tahun ini kami boleh bawa anak-anak bercuti lagi. Insya Allah. Ke mana tak penting yang penting adalah hubungan kekeluargaan tu, banyak mengajar mereka untuk berdikari dan mendengar arahan. Ashraf sampai sekarang asyiklah sibuk ajak naik kapal terbang lagi. Hu hu

Oklah, hingga berjumpa lagi. Esok hari terakhir dah. Lepas ni takde dah cerita Sabah :)

Selasa, 13 Januari 2015

Kembara Bumi Sabah Day 4 : Mandi Sungai Di Wilayah Pelancungan Tagal, Kota Belud

Assalamualaikum,

Baru berpeluang untuk sambung balik kembara bumi Sabah pada tahun lepas. He he Padahal baru aje sebulan yang lepas. Boleh klik link di bawah ini untuk kisah-kisah pengembaraan sebelum ini :

Day 1 : TH Hotel
Day 2 : Muzium Sabah & Desa Cattle Mesilau, Kundasang
Day 3 : Ladang Teh Sabah & Sungai Moroli Ranau

Hari ke 4 selepas bersarapan, kami meninggalkan bumi Kundasang dengan seribu memori (cewah! seribu tu macamlah boleh kira) dan menuju ke Kota Kinabalu semula. Dalam perjalanan en suami mencadangkan agar ke Kota Belud untuk melihat bandar Kota Belud memandangkan terdapat simpang untuk ke sana. Kami cuba gunakan Wayze tapi kawasan itu talian internet tak berapa nak "kuat" mana jadi tawakal je lah. Mula-mula tu cuak juga kerana sepanjang jalan tiada satu pun kereta melainkan kereta 4WD sesekali melintasi kami. Sudahlah jalannya berliku-liku mendaki bukit dan tiada penempatan sepanjang jalan. Nak patah balik dah terlajak jauh masuk ke dalam. Jadinya teruskan sahaja. Mana tahu akan jumpa sebuah pekan yang menarik :)

Akhirnya kami berjumpa juga dengan penempatan manusia dan kami tertarik dengan satu papan tanda Pusat Pelancongan Tagal. Ingatkan kat sini ada ikan kelah, jadinya kami berhentilah juga. Rupa-rupanya ada sungai dan kawasan untuk perkelahan. Sebelum masuk, kami dikenakan bayaran ikut kepala yang ada di dalam kereta. Jangan risau, bayaran dikenakan tidak mahal mana dan kanak-kanak yang kecil memang diberi masuk secara percuma. Waktu itu masih pagi lagi jadi masih tak ramai orang yang datang.


Kat sini ada pondok menjual pelampung dan perkakas mandi. Makanan ringan pun ada disediakan juga


Apa-apa hal ambil gambar dulu sebagai bukti dah sampai di sini. Tapi kasihan mama, asyik jadi tukang ambil gambar sahaja. Gambar diri sendiri tak lulus untuk tatapan pembaca blog jadinya memang tak akan ada lah gambar mama nya :)


Apabila turun sedikit ke bawah, masya Allah cantiknya sungai dan bersihnya kawasan ini. Tak dapat nak gambarkan melalui kata-kata. Yang penting ianya cukup tenang dan mendamaikan bila berada di sini. Anak-anak dan en suami turunlah juga mandi. Aku pula hanya duduk di wakaf yang disediakan menjaga Aaliyah. Nasib lah ada anak kecil ni, nak turun mandi sama pun susah (sebenarnya malas nak basah-basahkan diri) HAHA


Bersih kan airnya.








Semasa mandi tu adalahs eorang duduk ambil gambar orang mandi. Mula-mula peliklah juga tapi rupa-rupanya nanti dia akan cetak gambar tersebut dan jual di kaunter yang jual makanan ringan tu. Adalah 2 keping gambar en suami tak berbaju sedang mandi dengan anak-anak aku beli pada harga RM2 sekeping. Pandai uols berniaga ya. Teringat kenangan di Phuket, memang sama juga kaedahnya. Demi menjaga sebuah memori, kami belikan aje :)

Kami duduk sini dalam sejam juga. Selepas keluar dari situ singgah sebentar di gerai menjual durian. Nak juga makan durian Sabah bah.







Harga durian kampung RM6 sekilo. Kalau nak yang sedap sedikit durian kacukan ke apa namanya. Tak sangka anak-anak sukakan durian. He he Mama dia dapat makan seulas dua dah puas hati :)


Kemudian kami batalkan niat nak pergi Kota Belud memandangkan sudah tengahari. Jadinya patah balik jalan yang sebelum ini dan menghala ke Kota Kinabalu kembali. Langit cerah dan boleh tahan panas juga cuacanya!




Simpang ini lah yang kami masuk tu. Kalau ke kiri terus ke Kundasang balik dan ke kanan ke Tamparuli dan Kota Kinabalu. Kalau jalan sepanjang Kota Kinabalu ke Kundasang aku dah boleh ingat dah sebab jalannya lurus sahaja :)

Sampai Kota Kinabalu terus check in Hotel Palace dan rehatkan diri sekejap sebelum keluar ke Pasar Filipina untuk makan dan membeli cenderamata di Pasar Malam berdekatan Hotel Le Meredian tu. Tunggukan sambungannya ya :)

Rabu, 24 Disember 2014

Penginapan Kami Di Kundasang : Mile 36 Lodge

Assalamualaikum,

Kali ini aku nak kongsikan penginapan kami sepanjang berada di Kundasang. Seriously, memang best tinggal di Kundasang berbanding Kota Kinabalu. Mungkin kerana lokasi dan cuacanya yang sejuk membuatkan aku memang jatuh cinta dengan tempat itu. Kalau tahun 2012 kami menginap di Strawberry Garden Hotel di mana aku tempah bilik untuk famili. Boleh baca review tentang hotel itu di sini :Hotel Strawberry Garden Kundasang

Memandangkan kami pergi sekeluarga dan kalau nak tempah hotel pun sudah tak boleh nak ambil satu bilik (memandangkan kami ramai), maka kena lah cari bilik famili yang harganya berpatutan dan boleh memuatkan semua ahli keluarga dalam satu masa. Kami memang cari melalui Agoda.com dan semua bilik ditempah pada hari yang sama juga termasuk hotel di Kota Kinabalu. Lagipun harga yang ditawarkan sangat berpatutan dan disertai dengan sarapan (walaupun aku baca ulasan di laman Agoda.com yang sarapan hanya roti dan telur dadar sahaja) Tak mengapalah! Yang penting ada juga makanan yang tersedia kan :)

Secara keseluruhannya tempat yang dinamakan Mile 36 Lodge ini bolehlah tahan ok juga. Alhamdulillah, bilik kami pun di hadapan tempat parking dan dekat dengan tempat sarapan. Bilik kami di bawah dewan makan jadi part yang tak best adalah apabila ada orang berjalan di bahagian atas, kami di bawah pun akan mendengarnya. Tapi tak mengapa sebab malam selalunya kami tertidur awal sebab tak ada aktiviti sangat untuk dilakukan di situ.

Macam biasalah bilik di sini semua dibina dengan kayu dan setengah orang mesti akan rasa macam kekampungan tapi bagi kami yang sudah biasa tinggal di dalam rumah kayu memang tidak menjadi masalah sangat. Bilik kami tidak dilengkapi dengan kipas pun (malah semua bilik hotel di sana pun mana ada kipas sebab cuaca yang sejuk). Tapi tandas mereka biasa-biasa sahaja dan sangat-sangat basic. Mandian air panas ada cuma kena tunggu sedikit dan kena pandai adjustkan paip sejuk dan paip air panas, kalau tak nanti air yang keluar terpanas sangatlah atau sebaliknya.

Bilik bersih dan untuk bilik famili disediakan 2 katil bujang (kami rapatkan) dan 1 katil berkembar. Anak-anak terutamanya Haziq, Husna & Ashraf mestilah suka sebab dapat main panjat-panjat katil (JAKUN sebenarnya). Kalau malam memang akan bunyi segala cengkerik dan boleh tahan juga kesejukannya. Aku suka waktu pagi di mana boleh jalan-jalan sekitar bilik dan melihat pemandangan yang ada.


Gambar dekat ni rumah yang sedang dalam pembinaan. Mungkin tak lama lagi mereka akan berpindah di sini sebagai tempat untuk check in atau dewan makan. Rumah yang jauh tu adalah rumah banglo bagi mereka yang datang ramai. Sewaktu kami datang ada pengunjung dari Brunei iaitu famili besar yang datang dengan 2 buah MPV tinggal di sana.


Dalam gambar ni yang belah kiri adalah pondok tempat check in. He he he


Uniknya pondok ini dibina dengan buluh dan batu-batu. Baguslah kan sekurang-kurangnya masih menjaga warisan alam. Sebab itu aku cakap tinggal kat sini tak best mana tapi very close to nature. Udara bersih dan paling best berlatarbelakangkan pemandangan Gunung Kinabalu. Mat salleh ramai yang menginap di sini sebab mereka sukakan keunikan tempat ini.


Kat bawah ni ada tanaman sayur-sayuran tapi aku takde lah nak turun tengok sebab susah bawa budak-budak ni, kang tergelincir kang mama juga yang dipersalahkan


Kat sini pula ada bilik-bilik yang mengadap Gunung Kinabalu. Ada disediakan kerusi di beranda untuk melihat matahari naik. Tapi bilik kami bukan di sini, ini tumpang bergambar aje ni


Pada yang menginap di banglo pula kena menapak lah sikit untuk ke sana. Tapi takpe, boleh je nak guna kereta kalau tak nak berjalan.


Kalau yang ada anak-anak kecil susah juga kalau dapat bilik yang jauh dari tempat check in dan tempat makan. Nak berangkut beg pun susah kalau dapat bilik yang di bahagian bawah-bawah ni


Hero kecil kami sudah tentulah si Azzam Haneef. Memang berdikari betul sepanjang bercuti. Siapa sangka umurnya tak sampai 2 tahun pun tapi lagak dah macam budak besar. Maklumlah, kecil-kecil lagi mama dah bagi adik kat dia jadinya nak tak nak kena lah berdikari :)


Di sebelah banglo tu ada di sediakan pondok kecil sebagai tempat melihat pemandangan gunung. Best bah sebab sejuk!




Susah betul nak tangkap gambar dalam keadaan bersedia. Lima anak pelbagai ragam. Azzam tu geram aje sebab tak nak pandang kamera pastu dok lompat-lompat atas kayu tu. Risau aku kot-kot terjatuh ke bawah (sudahlah tinggi tempat ni). Jadinya memang tak dapatlah nak duduk lama-lama di sini



Pemandangan menggunakan henset cabuk Samsung S5. Kalau ada kamera pun susah juga nak ambil sebab sibuk pegang anak. Huhuhu


Tengoklah Husna tu. Macam-macamlah gayanya. 

Kat sini maghrib awal jadi lepas tengok pemandangan tu terus balik bilik solat dan bersiap-siap untuk tidur. HAHA Yerlah kan, bilik ni tak ada TV jadi apa lagi aktiviti yang sesuai di kala cuaca sejuk dingin. Membuta lah jawapannya :P


Nampak gaya macam kena belikan katil berkembar macam ini lah buat anak-anak bujang. Suka betul diorang main panjat-panjat


Esoknya hari terakhir kami di sini. Keluar sarapan pun lewat sedikit tapi tak mengapa kerana di sini tak ramai orang. Memang tak payah nak berebut dengan siapa-siapa pun. Yang ada hanyalah kami sekeluarga dan keluarga dari Brunei tu. Hampir setiap hari berjumpa di sini tapi takde lah nak bertegur sapa ke apa. Kalau tak, mesti dah dapat kenalan dari Brunei dah ;)


Ini gambar sebelum keluar sarapan. Harta aku dan en suami. Alhamdulillah sudah ada 5 orang anak soleh dan solehah, insya Allah


Yang ini pula selepas sarapan. Tengoklah Haziq tu sambil makan pun boleh lagi buat peace!


Sempatlah masuk pondok tempat nak check in dan check out ni tengok-tengok apa yang ada. Staf di sini rasanya bukan beragama Islam sebab nampak gaya mereka menyambut krismas (penuh dekorasi krismas di mana-mana) tapi semuanya ramah dan bersedia memberikan bantuan apabila diperlukan.


Bagi pengunjung yang mahu meminjam permainan (games) seperti Sahibba, catur atau seangkatan dengannya boleh datang pinjam di sini. Kat sini ada wifi tapi di bilik tiada ya


Rasa sayu je nak meninggalkan kehidupan di sini. Hermmm, nampak gaya kena cari menantu orang sini lah bolehlah datang selalu :) HAHA *masin mulut akak nanti*


Pokok-pokok kat sini semuanya segar-segar, bunga-bunga pun banyak. Kalaulah aku ni jenis "rajin" tanam bunga, sudah pasti rumah aku pun cantik macam ni





Oklah, bye bye Mile 36 Lodge. Nanti kalau ada rezeki kami nak datang lagi tapi tak nak dahlah duduk sini. Mungkin nak cari area Mesilau pula, lagi tinggi lagi sejuk;P

Bagi yang berminat untuk menempah bilik di sini, boleh ke sini : Mile 36 Lodge Kundasang

Selepas aje check out kami meninggalkan Kundasang dengan seribu memori yang rasanya tak tahu bila lagi boleh datang ke sini. Insya Allah kalau diizinkan Allah pasti kami akan kembali lagi. Perjalanan kembara diteruskan ke Kota Belud sebab en suami cakap masih awal lagi untuk check in hotel di Kota Kinabalu. Nantikan entri seterusnya pula ya :)

Bye!


Iklan Dibawakan Oleh Nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

About this blog

Segala isi kandungan di dalam blog ini adalah luahan hati tuan empunya blog sahaja, tiada kaitan dengan mereka yang masih hidup mahupun yang sudah tiada di muka bumi ini..Bahasa yang digunakan adalah sedikit rojak kerana tuan empunya blog hanya mampu mendapat Credit 4 untuk Bahasa Melayu & Credit 3 untuk Bahasa Inggeris pada SPM tahun 1999. Jadi, bimbingan ibubapa adalah diperlukan bagi menafsirkan bahasa rojak yang digunakan;)

Segala bahan, gambar & segala kandungan blog ini adalah kepunyaan peribadi tuan empunya blog (melainkan dinyatakan sumbernya) untuk tatapan generasi akan datang tuan empunya blog nanti. Setiap bahan, gambar & segala kandungan yang ingin diguna pakai, haruslah memberi kredit kepada Zailabinimdae's blog atau diletakkan link blog ini.

Di bawah AKTA 588, AKTA Komunikasi & Multimedia 1998, seseorang individu boleh didakwa sekiranya anda berniat untuk menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang atau mana-mana nombor atau alamat elektronik. Jadi, hormatilah coretan rasa tuan empunya blog agar kita semua dirahmati & berada di bawah lindungan ALLAH selalu^_^