Jumlah Pengunjung Setakat Ini

Selasa, 6 Januari 2015

Balik Kampung & Pascabanjir 2014

Assalamualaikum,

Hari ini sudah menginjak masuk hari ke 6 bulan Januari 2015. Azam tahun baru mahu lebih rajin menulis dan mengemaskini blog tapi nampaknya sudah kecundang awal-awal lagi. Nak menulis pun rasa macam masih belum ada kekuatan lagi memandangkan ramai saudara-mara mahupun teman satu negeri masih lagi berduka kerana musibah banjir yang melanda. Sedihnya rasa hati ini kerana tidak dapat turun padang sendiri menghulurkan keringat bagi membantu mereka yang memerlukan. Nak buat macamana, keadaan tidak mengizinkan lagi. Insya Allah doa dan derma seikhlas hati sahaja yang mampu kami hulurkan buat masa sekarang ;(

Hari pertama tahun baru aku pulang ke kampung dengan Aaliyah sahaja untuk menghantar mak mertua balik. Tempohari mak mertua datang untuk majlis perkahwinan anak bongsu dan cucu perempuan pertamanya dan bila aje berita banjir di Kelantan melanda Manek Urai Baru tempat anak kakak en suami tinggal, boleh nampak mak mertua gundah gulana teringatkan anak dan saudara mara sekampung yang terkena musibah. Boleh dikatakan kampung en suami ni ada saudara mara terdekat dan besan mak mertua hampir semuanya terkena tempias banjir (kecuali mak ayah aku). Besar sungguh musibah banjir tahun 2014. Walau menangis air mata darah pun, keadaan tidak akan kembali sama lagi ;((

Alhamdulillah kakak ipar kami sekeluarga selamat dan adik en suami sudah pun menghantar misi bantuan menghantar bekalan makanan, tilam dan pakaian kepada mereka. Syukur sangat-sangat kerana ramai yang menghulurkan derma dan memberikan bantuan kepada mereka. Bukan setakat kaum keluarga kami aje malah adik en suami ada juga memberikan bantuan kepada orang kampung dan saudara mara yang lain. Rasa macam nak menangis aje sebabnya kami di sini memang tak boleh nak balik membantu sama. Hanya doa sahaja yang mampu kami titipkan buat masa sekarang :(( (nak menulis entri ini pun rasa macam tak cukup kuat semangat). Malu pun ada pada sukarelawan yang kebanyakannya bukan rakyat Kelantan sendiri. Ya Allah Kau kurniakanlah setinggi-tinggi balasan pahala kepada mereka yang banyak bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa banjir ini. Semoga mereka senantiasa selamat dan dilindungi Allah selalu.

Adik ipar mengirimkan gambar ini kepada kami. Ini lah rumah kakak ipar di Manek Urai Baru. Walaupun rumah kakak ipar masih kukuh tapi hampir ditenggelami air juga. Barang-barang di dalam rumah memang banyak yang rosak dan pecah. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya kan? Tapi sekurang-kurangnya kakak ipar masih ada lagi rumah. Ada teman sekampung yang rumahnya hanyut dibawa arus. Lagi lah sedih. Ya Allah, semoga Allah gantikan dengan yang lebih baik dari sebelum ini.

Aku balik tempoh hari menaiki MAS kerana memikirkan mak mertua yang tak boleh nak berjalan jauh sangat. Kalau dulu mak mertua suka naik AA tapi sekarang ini sejak Air Asia dah pindah ke KLIA2, mak mertua dah tak berapa nak suka sangat dah. Lenguh berjalan katanya. Betul juga, hari tu pernah hantar adik ipar kat situ, mak aih tertanya-tanya juga ini lapangan terbang ke gedung beli belah :P

Selalunya kalau naik kapal terbang aku tak pernah berpeluang duduk sebelah tingkap tapi kali ni kebetulan tiket sebelah tingkap. Walaupun sedikit gayat (sebab dok fikir macam-macamlah dalam kepala otak ni) tapi sempat keluarkan telefon dan ambil gambar dari pandangan atas. Bukan aku seorang sahaja yang ambil gambar tapi rasanya hampir semua yang duduk sebelah tingkap pun ambil gambar. Bunyi klik klik klik ibarat polis yangs edang merekod gambar kawasan jenayah. Sungguh kali ini kepulangan kami ke Kelantan tak sama seperti dulu lagi. Kalau dulu pemandangannya hijau di bawah tapi kali ini yangku nampak hanyalah kuning dan sungai-sungai yang berwarna seperti teh tarik kesukaanku. Kasihan duhai Kelantanku;(












Alhamdulillah sempat balik 2 malam juga bermalam di rumah mak. Mak ayah aku sihat-sihat aje, kampung kami di Bachok memang tak kena banjir tapi ada lah juga musibah lain yang melanda. Biasalah kat sini ramai betul mat-mat dadah yang berpeleseran. Pantang terleka ada sahaja barang yang hilang. Terbaru adalah selipar anak buah aku dirembatnya. Isy, ikutkan hati nak aje doa biar Allah hantar banjir besar "sapu" segala mat pit yang ada di kampung aku tu tapi kan, tak baiklah kalau nanti kena semua yang tak bersalah macamana? Jadi, berhati-hati dalam berdoa. Kata kakak aku kampung kami ni dugaannya lain pula. T_____T"

Mak cakap balasoh (surau kampung kami) penuh dengan barang-barang bantuan banjir. Lepas itu datang sukarelawan pula iaitu dari ABIM negeri Kelantan. Walaupun kampung kami tak kena banjir tapi di sini jadi pusat pengumpulan bantuan banjir. Sukarelawan juga tinggal di homestay-homestay sekitar kampung ini. Ya Allah. ramai betul dermawan-dermawan dan sukarelawan yang turun memberikan bantuan. Pendek kata, memang tak tahu nak ucap terima kasih macamana. Bantuan-bantuan tu mereka akan agihkan ke Kuala Krai. Setiap hari rutin yang sama iaitu bangun solat subuh dan selepas makan mereka akan bergerak ke kawasan yang teruk dilanda banjir. Allahu akbar!

Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke rumah, boleh nampak pekerja-pekerja kedai sedang membuang barangan yang rosak, boleh nampak ahli-ahli rumah yangs edang bergotong royong mengeluarkan sofa, tilam dan membersihkan rumah. Sampah-sampah berlonggok-longgok di tepi jalan, ada banyak kereta 4WD di jalanan dan tak lupa juga trak-trak askar. Penerbangan yang aku naiki juga dipenuhi dengan sukarelawan dan pak menteri (yang aku tak tahu namanya) dan mereka sama-sama turun padang meninjau kawasan. Jalan-jalan dipenuhi selut dan warna kuning. Sungguh tak sama seperti dulu lagi :(

Aku nampak musibah ini membawa penyatuan hati dan semua rakyat terutamanya yang di bandar banyak memberikan bantuan. Tak terucap dan terluah dek kata-kata. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas segala jasa baik mereka. Oklah, nanti sambung semula.

Tiada ulasan:

Iklan Dibawakan Oleh Nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

About this blog

Segala isi kandungan di dalam blog ini adalah luahan hati tuan empunya blog sahaja, tiada kaitan dengan mereka yang masih hidup mahupun yang sudah tiada di muka bumi ini..Bahasa yang digunakan adalah sedikit rojak kerana tuan empunya blog hanya mampu mendapat Credit 4 untuk Bahasa Melayu & Credit 3 untuk Bahasa Inggeris pada SPM tahun 1999. Jadi, bimbingan ibubapa adalah diperlukan bagi menafsirkan bahasa rojak yang digunakan;)

Segala bahan, gambar & segala kandungan blog ini adalah kepunyaan peribadi tuan empunya blog (melainkan dinyatakan sumbernya) untuk tatapan generasi akan datang tuan empunya blog nanti. Setiap bahan, gambar & segala kandungan yang ingin diguna pakai, haruslah memberi kredit kepada Zailabinimdae's blog atau diletakkan link blog ini.

Di bawah AKTA 588, AKTA Komunikasi & Multimedia 1998, seseorang individu boleh didakwa sekiranya anda berniat untuk menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang atau mana-mana nombor atau alamat elektronik. Jadi, hormatilah coretan rasa tuan empunya blog agar kita semua dirahmati & berada di bawah lindungan ALLAH selalu^_^