Jumlah Pengunjung Setakat Ini

Memaparkan catatan dengan label surau al hijrah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label surau al hijrah. Papar semua catatan

Khamis, 30 Mac 2017

Kuliah Perdana Surau Al-Hijrah Bersama Ustaz Ebit Lew

Assalamualaikum,

Sudah lama kejadian ini iaitu pada 17hb Mac yang lepas. Baru berpeluang untuk bercerita di blog. Itupun selepas berkongsikan resepi mee kari seafood (sebab petang tu aku buat mee kari sebelum ke surau untuk dengar kuliah Ustaz Ebit). Alhamdulillah, Allah permudahkan untuk kami sekeluarga berada dalam majlis ilmu di Surau Al-Hijrah. Jujurnya, sejak kehilangan pembantu rumah, aku memang sudah jarang ke surau (tapi syukur diri masih diingati oleh AJK surau), ada lah sesekali akan ke surau apabila ada kuliah dari ustaz yang best-best :P (Nampak sangat buruk perangai ya) Tapi bukan niat diri untuk memilih ustaz cuma keadaan sekarang masih belum mengizinkan. Insya Allah, mana tahu selepas Arman sudah besar aku dapat kembali ke surau.

Alhamdulillah rezeki juga apabila kediaman berada dalam komuniti surau yang aktif. Setiaphari pasti ada kuliah dari ustaz-ustaz terpilih tapi sesekali akan ada kuliah dari ustaz jemputan yang boleh tahan "femesnya" juga. Apabila dapat tahu aje Ustaz Ebit Lew akan memberikan kuliah di surau, apalagi terus bagitahu anak-anak supaya mengingatkan mama untuk bersiap-sedia untuk ke surau.

Memang aku minat sangat dengan penulisan dan perkongsian Ustaz Ebit di facebook, hinggalah ada peluang untuk mendengar sendiri kuliahnya, haruslah tak lepaskan peluang kan :) Kuliah bermula selepas solat maghrib dan tajuknya "DI SEBALIK KESULITAN ADA RAHMATNYA"


Memang seronok sangat dengar kuliah Ustaz, adalah sesekali menguap juga tapi kebanyakannya memang ralit mendengar pengalaman ustaz dan memang jatuh juga airmata ni. Rata-rata kaum wanita mesti menangis. Aku tak banyak menulis nota tapi apa yang aku ingat aku tulis di sini ya sedikit perkongsian dari apa yang ustaz bagitahu :

1. Jika kita datang ke majlis ilmu, itu maknanya Allah sayang kita. Allah gerakkan hati kita untuk melakukan apa yang Allah suka. Dalam hidup ini berusahalah untuk melakukan apa yang Allah suka. Paling bagus apabila kita buat apa yang Allah suka tetapi semua manusia tak suka. Insya Allah pada pengakhiran semua orang yang tak suka pada kita akan suka apa yang kita buat.

2. Pandangan orang atau diri sendiri (syok sendiri) tidak penting, yang penting adalah pandangan Allah kepada kita.

3. Apabila diuji dengan musibah, sentiasa bersangka baik dengan Allah. Orang yang sabar akan tenang dalam menghadapi ujian. Contohi Rasulullah SAW baginda merupakan manusia yang Allah sentiasa uji dari kecil hingga lah sebelum wafat tetapi baginda adalah manusia yang paling tenang dan bahagia dalam hidup. Apabila diuji, banyakkan istighfar dan sebut zikir "Laaa ilaahaillaanta subhanakainni kuntu minazzolimin" atau membaca "Innalillahiwainnailaihirajiun".

4. Sentiasa gunakan senjata DOA untuk meminta sesuatu kepada Allah. Aku pernah melihat video perkongsian dari ustaz yang mengatakan waktu mustajab untuk berdoa pada hari Jumaat adalah antara 2 khutbah dan selepas solat Asar sebelum masuk Maghrib. Ibu-ibu sepatutnya waktu ini sibuk bentang sejadah dan mendoakan anak-anak. Bukan dia secara umum tetapi mengadu domba kepada Allah dan meminta lah secara terperinci. Tersentap juga sebab kita kalau berdoa mesti sebut "kurniakan aku anak-anak yang soleh" tetapi pernah tak kita berdoa dengan bercerita kepada Allah bagaimana kita mahu anak-anak kita seperti apa yang kita fikirkan. Contohnya "Ya Allah, anak aku Haziq ni garang sangat dengan adik-adik, boleh tak kau kurangkan sikit perangai garang Haziq itu ya Allah"

5. Ustaz ada 12 orang adik beradik dan hanya 6 orang Islam manakala 6 orang masih Budha. Ustaz pesan supaya sentiasa mendoakan mereka yang bukan Islam agar nampak (diberikan hidayah) dan mengakui yang tuhan itu satu (ALLAH) manakala ada seorang lelaki bernama Muhamad yang diutus agar menjadi utusan kepada semua manusia. Ustaz cerita saat paling indah dalam hidupnya adalah apabila ayah beliau memeluk Islam. Ustaz cerita ayah ustaz garang sampaikan kalau mahu bercakap kena buat skrip dahulu sebab takut tersalah cakap. Alhamdulillah, arwah ibu ustaz meninggal dalam Islam.

6. Orang yang bahagia hatinya akan tenang dan akan terpancar di mukanya. Kalau tengok pun mesti akan terasa tenang (tidak mahu marah) Tengok sahaja muka ustaz kan rasa tenang sebab selalu senyum :)

7. Dalam dunia kalau kita rasa mulia sebenarnya belum capai apa-apa lagi tetapi dalam akhirat sekiranya kita berjaya itulah kejayaan sebenarnya sebab itu adalah kehidupan yang abadi.

OKlah banyak sebenarnya dan Mekla malas nak taip, apakata uols lihat sahaja video yang surau Al Hijrah rakamkan di sini :



Habis kuliah baru kami solat Isyak dan selepas itu ada sesi jualan buku, apalagi aku pun sibuklah suruh anak-anak pergi minta autograf dari Ustaz. Rezeki anak-anak dapat bergambar dengan ustaz :)




Aku beli buku Isteriku Bidadari & Menelusuri Cinta tapi hanya satu buku je ustaz sign :)
Itupun sudah membuatkan kembang kempis lubang hidung aku ni


Terima kasih Allah kerana tanpa ihsan kasih sayangmu pasti aku tak akan dapat kata-kata semangat dari ustaz "ALLAH SAYANG ZAILA" Maksudnya Allah mahu aku untuk sentiasa pergi majlis ilmu lah tu :)

Insya Allah kalau dah habis baca buku-buku nanti aku kongsikan di sini juga ya :) Doakan moga aku diberikan kekuatan untuk terus menulis dan berkongsi ilmu dan perkara-perkara yang baik-baik sahaja :)

bye!

Khamis, 19 November 2015

Kem Smart Solat Anjuran HALUAN & Surau Al Hijrah

Assalamualaikum,

Lagi kisah #throwback yang dah berminggu-minggu kejadiannya. Masa ni kalau tak silap 7hb November 2015 yang lepas di mana aku daftarkan anak-anak Haziq & Husna ke kem smart solat anjuran HALUANSiswa & Surau Al Hijrah. Apabila dapat tahu ada kem solat, aku pula yang terlebih excited sebabnya nak hantar anak-anak tapi sekali syarat-syarat penyertaan 10 tahun ke atas. Nasib baiklah tak malu bertanya dengan AJK Surau jadi mereka suruh masukkan aje nama anak-anak dan nanti bila dah dekat dengan hari acara mesti yang ada tarik diri. Memang betul pun, ada banyak juga yang terpaksa tarik diri atas macam-macam alasan jadi dapatlah selit nama budak-budak tu, bayaran pun tak mahal hanya RM30 seorang. Bolehlah kan daripada sakit mata duduk tengok anak-anak aku ni kalau hari cuti mesti nak tengok kartun aje sepanjang hari. Apabila aku bagitahu Husna yang hari Sabtu ada kem Smart Solat, terus anak dara tu macam suka terlampau (kompius mama dia).

Awal-awal pagi lagi aku hantar ke Surau Al-Hijrah. Sebab dah bagitahu awal-awal jadi memang mudahlah Haziq & Husna bangun awal pagi bersiap. En suami memang dah ada di surau sebab solat subuh jemaah kat situ dan dia WA aku tak payah sarapan sebab dah ada sediakan makanan. Alhamdulillah, senang kerja mama dia. Terus hantar, daftar dan lepaskan anak-anak. Haziq terus dapat kawan sebab dia memang ada ramai kawan di surau, Husna nampak macam malu-malu juga. Kasihan anak mama takde kawan (itu fikiran seorang ibu yang naif)

Sebenarnya tak pun!

Masa solat zuhur aku pergi solat di surau (semata-mata nak intai mereka) nampak Husna dah ada kawan dan yang paling mengejutkan dia buat tak nampak mama dia ni. Omai Allah! (tukar dari sebutan Omaigod) anak dara aku sudah eksyen ya :P Masa solat Asar pun dia buat-buat tak nampak Ashraf & Azzam yang ikut kami ke surau semata-mata rindukan kakak mereka. Sampaikan Ashraf cakap "Sombongnya Husna ni". Nak tergelak pun ada dengan karenah anak-anak aku oi. Haziq pula bagus, nampak adik terus berlari panggil dan bagi gula-gula :)

Sedikit gambar yang sempat diambil waktu pagi tu. Program sampai petang aje dan ternyata anak-anak aku memang "enjoy" lah program ni. Siap dapat hamper dan sijil lagi tapi sebenarnya balik rumah pun tetap macam biasa juga T_____T" (kalau tak suruh solat maka tak bergeraklah jawab dia). Takpe lah, sekurang-kurangnya mereka didedahkan dengan aktiviti begini bagus juga untuk tambahkan ilmu dan keyakinan diri dalam bergaul bersama kawan-kawan lain.


Suasana dalam surau waktu awal pagi. Ramai juga yang tak datang, makanan pun banyak lebih jadi kami ibu-ibu yang ada dipelawa makan sekali. Alhamdulillah rezeki Mekla makan nasi lemak :)



Haziq siap pakai baju melayu dan kopiah. Seronok tengok anak-anak pakai macam ni tapi kalau ke sekolah kopiah tu asyik lupa aje nak pakai T___T"


Husna dengan muncungnya. Mula-mula tu risau aku sebab nampak dia takde kawan, lepas tu risaukan dia nak pergi tandas tak tahu ke mana lah. Macam-macam yang dirisaukan tapi sebenarnya ok aje. Masa aku solat mereka semua solat juga, Husna tu siap lipat lagi telekung solat dan simpan dalam beg. Wow! Mama terkejut sebab berjuruhnya anak mama. HAHA Padahallllll kalau di rumah, ko baling aje mana-mana ko suka ya nak :P


Terjumpa Dr. Siti Mariam (3 dari kanan) iaitu Gynae di hospital SALAM Specialist. Alhamdulillah dah 3 kali sambut baby kami. Alang-alang dah jumpa tu bagitahulah yang aku mengandung lagi. He he he NAsib baik dia tak marah, siap tanya anak yang kecil tu umur berapa. Insya Allah jika panjang usia diberikan rezeki yang ke 6 pun sudah semestinya bersalin dengan dia juga. Sebenarnya Dr Siti memang aktif dengan aktiviti Haluan sejak dia masih di Universiti lagi. Sekarang pun walau sibuk dengan tugasan masih sempat luangkan masa dengan aktiviti macam ni. Aku tanya juga takde orang nak bersalin ke doktor hari tu? Dia jawab "Ada, baru 3cm, petang nanti kot" He he he Terus teringat kenangan nak bersalinkan Ashraf, masa tu dia balik rumah dia sebab ingatkan aku lambat lagi nak bersalin sekali pukul 6 petang tu dah tak tahan, ya Allah seksanya "menahan" Ashraf dari keluar, lepas sedut gas pun doktor tak datang-datang lagi. Sekali doktor sampai terus teran dan alhamdulillah Ashraf selamat melihat dunia :) Kenangan sungguh!


Oh tertinggal gambar kat bawah ni :

Ashraf belum apa-apa lagi dah rindukan abang dia. Pagi-pagi dah mandi siap pakai baju lawa-lawa dan pakai kopiah sebab nak pergi surau katanya. Anak-anak aku ni kalau jauh mereka rindu-rinduan tapi kalau dekat mereka cakar-cakaran. Mama jugak yang pening kepala nak melayan -____-


Cuti sekolah dah dekat ni, pening juga memikirkan aktiviti apa yang harus dibuat bersama anak-anak. Nak balik kampung pun tak boleh lama-lama sebab sekarang ini aku kan sibuk berniaga dan pergi kelas. Adoilah, harap-harap ada kem seperti ini lagi yang boleh dihantar anak-anak. Ini kalau cuti kompomlah asyik tengok TV dan sepahkan rumah aje, pastu lapar. Oh Mama! Bertabahlah!

Sehingga bertemu lagi di entri lain. Nanti nak kongsikan kelas memasak Nasi Bukhori yang dianjurkan jemaah surau ini juga. Insya Allah jika ada kerajinan. Bye!

Rabu, 12 Ogos 2015

Tolong Jangan Lakukan Aksi Ini Semasa Menghadiri Jamuan Raya

Assalamualaikum,

Ahad yang lepas kami ke jamuan raya Surau Al-Hijrah Kota Kemuning. Majlis bermula pukul 11 pagi tapi biasalah bagi aku yang ada anak ramai ni (ehem ehem salahkan anak pula) pukul 12 baru sampai, itupun bila perut dah berbunyi-bunyi. He he he

Wah! Boleh tahan juga ramai orang dan makanan pun banyak cuma ada juga yang dah habis awal-awal lagi. Ada kambing golek, ayam golek, keropok lekor (yang digoreng di situ), nasi berlauk, nasi tomato, laksa penang, apam balik, sate, nasi impit, burger dan macam-macam lagi lah. Puas hati juga dapat makan 2 mangkuk laksa penang. Amboi, melepaskan gian sebab dah lama teringin kan :P Hari tu aku tak jamah pun nasi, hanya makan laksa penang dan air cendol bersama sate dan kambing golek. Rasa perut pun bergolek-golek kenyang :)


Bagus semua beratur masa nak ambil makanan ni. En suami & Haziq yang rajin beratur, sudahlah panas sampaikan Haziq cakap "Berasap kaki Haziq ni mama" :)


Ada juga Otak-otak tapi aku tak makan sebab bukan kegemaran. En suami ambil untuk Husna sebab semalam sebelum jamuan raya ni kami makan di kedai Siam dekat rumah ni, adalah benda ni atas meja makan. Husna siap makan 3 cucuk lagi, eh suka rupanya budak ni ya tapi haritu tak nak makan lah pula. Biasalah manusia, kalau dapat percuma jadi tak bestlah pula :P


Ni mamat brader Keropok Lekor Khalifah, laris betul jualannya. Abang ni dulu jiran kami di Berjaya Park dan sekarang maju dah bisnes keropok lekornya ni. Memang sedap sangat sebab keropok yang abang ni jual didatangkan segar dari kilang. Memang guna isi ikan yang segar dan bukannya keropok kanji semata-mata. Promote baik punya. Boleh add brader ni di facebook : Kepok Lekor Khalifah. Tengok gambar kepok tu tetiba perutku lapauuuuuuu


Ashraf dan Husna kongsi makan laksa. Pedas pun layan. Emmm sedapnyaaa lah laksa penang ni. Nak buat sendiri al malaslah fulaksss


Azzam pun kuat makan juga. Macam-macam dia makan dan kali ni perut dia dah ok takde dah kena cirit-birit mahupun muntah-muntah. Seminggu sebelum ni hampir setiap malam muntah dan cirit-birit, kawan-kawna aku cakap kena serangan Rotavirus, cepat-cepat ke klinik dan alhamdulillah sekarang dah ok.

Oh saja nak menegur sikit perangai kebanyakan orang kita ni di jamuan raya yang terbuka macam ni, budaya bungkus atau tapau untuk bawa balik ni aku rasa macam tak elok sangatlah. Bayangkan majlis baru sahaja sejam bermula dan tetamu punyalah ramai semakin datang, boleh ada yang berebut-rebut ambil makanan dan simpan tepi tutup dengan pinggan. Alasan sebab nak bawa balik untuk anak-anak kah? Sedangkan duduk bersila ramai-ramai anak-anak semua ada depan mata?

Memang tak elok lah sangat sebab ada juga kat situ meja yang makanannya di pack siap-siap dalam bekas polisterin kerana mungkin tak ada siapa yang nak melayan bubuhkan nasi, jadinya ada juga lah sebilangan tetamu yang agaknya sedikit "tamak" ambil banyak-banyak masuk dalam plastik letak tepi. Naik malu aku melihatnya apabila nak balik pakat bimbit plastik Econsave penuh dengan polisterin dan pinggan-pinggan bertutup. Nak bawa balik ke mana lagi kak? Tak cukup lagi ke makan kat situ? En suami kata bersangka baik mungkin dia naks edekah pada anak yatim ;)

Apabila menghadirkan diri ke majlis macam ini kena lah ada sensitiviti sket, tetamu semakin datang dan makanan disediakan pun ada yang makin berkurang jadi kita makan berpeda-pada lah. Boleh ulang tambah tapi tak perlu sampai nak bawa balik. Kesian pada tetamu yang penghujung kena cari atau korek-korek bekas orang dah kacau sahaja. Lagi satu situ kan surau, jadi bila masuk waktu tu apa salahnya pakat solat dahulu baru kemudian sambung makan. Terutamanya kaum wanita lah, mungkin sayang dengan make up setebal 2 inci dan malas nak lilit selendang balik, itu yang buat muka tak tahu sahaja apabila azan kedengaran. Oh suami kata bersangka baik lagi jadi kita anggap mereka semua keuzuran sahaja ;)

Apa-apa pun, jaga lah adab kita walau di mana kita berada. Tambah-tambah di dalam rumah Allah. Jangan nak buat lapar sangat ya kerana makanan semua tu ada yang didermakan oleh insan-insan berhati mulia. Kadang-kadang mereka tak makan pun tetapi gembira apabila melihat makanan mereka jamu habis :) Ribuan terima kasih diucapkan buat AJK surau yang memang kelihatan tak berhenti dalam melayan tetamu dan membersihkan surau. Haaa satu lagi bab kebersihan tu memang lah memalukan terutamanya yang ada anak-anak kecil. Faham-fahamlah makanan mesti tumpah dan jatuh tapi apa salahnya ringankan tangan bersihkan segala sampah yang anak-anak kita buat tu. Teguran ini aku tujukan kepada diri sendiri juga sebab memang malu juga kalau keluar makan mesti tempat kami makan bersepah-sepah. Maklumlah anak-anak kecil ni susah nak kawal. Jadinya, moga lepas ini aku tidak tergolong dalam golongan yang dibenci atau dimengata kerana tak pandai jaga anak :P

Panjang pula bebelan hari ini ya. Perut dah berbunyi nak pergi makan dulu. Bye!

Iklan Dibawakan Oleh Nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

About this blog

Segala isi kandungan di dalam blog ini adalah luahan hati tuan empunya blog sahaja, tiada kaitan dengan mereka yang masih hidup mahupun yang sudah tiada di muka bumi ini..Bahasa yang digunakan adalah sedikit rojak kerana tuan empunya blog hanya mampu mendapat Credit 4 untuk Bahasa Melayu & Credit 3 untuk Bahasa Inggeris pada SPM tahun 1999. Jadi, bimbingan ibubapa adalah diperlukan bagi menafsirkan bahasa rojak yang digunakan;)

Segala bahan, gambar & segala kandungan blog ini adalah kepunyaan peribadi tuan empunya blog (melainkan dinyatakan sumbernya) untuk tatapan generasi akan datang tuan empunya blog nanti. Setiap bahan, gambar & segala kandungan yang ingin diguna pakai, haruslah memberi kredit kepada Zailabinimdae's blog atau diletakkan link blog ini.

Di bawah AKTA 588, AKTA Komunikasi & Multimedia 1998, seseorang individu boleh didakwa sekiranya anda berniat untuk menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang atau mana-mana nombor atau alamat elektronik. Jadi, hormatilah coretan rasa tuan empunya blog agar kita semua dirahmati & berada di bawah lindungan ALLAH selalu^_^