Jumlah Pengunjung Setakat Ini

Khamis, 18 Julai 2013

Diari Ramadan WAHM, SAHM SOHO ; Balik Kampung & Resepi Lawa & Kuih Pelita


Assalamualaikum,

Baru berpeluang nak cerita al-kisah balik kampung minggu lepas. Kami balik sekejap sahaja, sekadar menjenguk ayahanda aku yang sakit tempohari. Alhamdulillah rasa lega sangat-sangat bila keadaan ayah semakin baik, sudah boleh bekerja seperti biasa dan muka ayah pun dah kembali ceria. Sekarang ayah sedang menjalani rawatan di sebuah klinik di Kota Bharu. Ada lagi 3 sesi untuk diteruskan. Alhamdulillah, semoga Allah panjangkan usia ayahanda & bonda di kampung.

Kami bertolak balik dari Shah Alam pukul 10 malam hari Jumaat lepas. Perjalanan pulang ke kampung macam dah nak balik raya memandangkan jalan memang penuh dengan kereta. Agaknya tujuan mereka juga sama dengan aku iaitu mahu balik merasakan pengalaman berbuka bersama keluarga di kampung. Kami sampai di rumah mak en suami ngam-ngam waktu sahur. Sesudah sahur masing-masing tertidur keletihan tapi anak-anak aku, Haziq, Husna & Ahraf memang tak tidur. Seronok sangat balik kampung, ke hulu ke hilir bermain di dalam rumah & luar rumah. Sempat menjenguk itik-itik serati peliharaan Pok Teh juga!

Haritu aku sempat juga ke pekan Tumpat membeli sedikit barangan & sempat juga sediakan lawa sejenis masakan tradisi oghe Klate yang merupakan makanan kesukaan ayahanda. Memang setiapkali bulan puasa menu ini akan dicari ayah. Alhamdulillah Allah gerakkan hati aku untuk belajar membuat lawa. Zaman sekarang cukup senang tak payah nak telefon mak minta resepi hanya "google" sahaja & berderet keluar resepi-resepi mengenai cara-cara membuat lawa. Petang itu bila balik berbuka di rumah mak, ayah makan bertambah sampai 3 pinggan. Rupa-rupanya sejak puasa, inilah kali pertama ayah menjamah lawa kerana mak cakap dia tidak berkesempatan lagi untuk membuat lawa. Lagipun bekalan ikan segar sangat susah untuk dijumpai. Inipun aku kirim dekat adik ipar aku yang ke Tak Bai, Thailand untuk beli ikan tamban segar di sana. Ya Allah betapa tersusunnya perancangan yang Allah telah buat untuk aku. Syukur Alhamdulillah.

Di sini aku ingin kongsikan resepi lawa versi aku (maaf tiada gambar kerana aku telah berazam untuk tidak meletakkan sebarang gambar makanan di blog ini sepanjang bulan puasa ini yaa)

Bahan-bahan :

- ikan tamban (yang banyak tulang tu) di ambil isinya dan potong kecil-kecil
- 5,6 biji cili padi
- garam
- 3,4 biji limau nipis
- daun ulaman seperti kacang panjang, daun kesum, pucuk ketereh dan apa juga ulaman kesukaan
- garam

Cara-cara :

- Tumbuk garam, cili padi dan isi ikan sampai lumat. Kemudian perahkan air asam limau kemudian gaul sehingga sebati
- Simpan di dalam peti sejuk selama setengah jam atau lebih supaya rasa pedas, masin & masam bercampur di dalam isi ikan
- Hiris ulaman halus-halus kemudian campurkan dengan isi ikan tadi
- Simpan dalam peti hingga waktu berbuka

Memang sedap di makan bersama nasi..perghhhhhh kalau buat pedas-pedas kompom meleleh hingus tu :P

Oklah, kami balik kampung tak lama pun. Hari Ahad dah balik ke sini. Memang tergesa-gesa sangat tapi nak buat macamana, ini sahaja weekend yang free. En suami memang seorang yang busy, semalam pukul 2 petang bg mesej dekat aku suruh siapkan baju dia untuk ke Miri. Alhamdulillah hari ni dah balik dah pun. Beginilah kehidupan baru aku, syukur sangat-sangat sebab ada hikmahnya Allah gerakkan hati aku untuk meletakkan jawatan & menjadi surirumah sepenuh masa. Semua ini memang perancangan dari NYA..

Petang semalam teringin nak makan kuih pelita sebab hari tu masa di kampung hanya sempat jamah sebiji sahaja. Mana cukup..huhu so terus menggoogle cara-cara nak buat dengan harapan senang untuk disediakan. Memang pun! Tak sangka semudah ini membuat kuih tepung pelita ni. Jadi di sini aku kongsikan resepi tepung pelita. Kredit kepada blog http://www.dapurkakjee.com/2012/07/tepung-pelita-idamanku.html

Bahan-bahan :

Bahagian bawah (warna hijau)

- 1 cawan tepung beras
- 1 sudu tepung jagung (aku derhaka sikit sebab kehabisan tepung jagung so aku bubuh tepung kastard, haha)
- 1 cawan gula
- 7 cawan air pandan (aku blend daun pandan)
- sedikit pewarna hijau

Cara-cara :

- Satukan kesemua bahan dalam periuk. Dengan api perlahan kacau dan biarkan sehingga mendidih dan berkilat. Kemudian tuang ke dalam bekas acuan (kalau takde daun pisang boleh je gunakan gelas atau bekas yang sesuai). Biarkan sejuk

Bahan-bahan

Bahagian atas (warna putih)

- 3/4 cawan tepung beras
- 1/2 sudu besar tepung jagung
- 7 cawan santan (2 air 5 pati santan)
- 1/2 sudu kecil garam (aku terlebih sebab tu termasin, kuikuikui)

Cara-cara :

- Satukan bahan dalam periuk dan dengan api perlahan biarkan sampai mendidih dan berkilat. Masukkan ke dalam acuan yang sudah diletakkan warna hijau. Masukkan dalam peti & sedia untuk dimakan bila berbuka nanti

Memang berbaloi-baloi buat tepung pelita ni sebab anak aku Husna tu cukup sukakanya. Alhamdulillah hari ni baru habis. Kalau beli RM2 baru dapat 5,6 bekas kecil tapi kalau buat boleh makan berkali-kali & sememangnya sedap! Eh puji masakan sendiri pula :P

Oklah, bagi yang ingin mencuba, bolehlah beli bahan & buat sendiri. Insya Allah aku pun akan buat lagi memandangkan en suami belum sempat merasa air tangan bini dia ni sebab semalam kan outstation..Kenalah buat lagi sekali..

Bye!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Walopon sy ore kelate...tapi 1st time dgr mkn lawa tu...ikan tu mentah2 ke kak? Kalu sambal pauh tu kita bakar ike dulu kan

Iklan Dibawakan Oleh Nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

About this blog

Segala isi kandungan di dalam blog ini adalah luahan hati tuan empunya blog sahaja, tiada kaitan dengan mereka yang masih hidup mahupun yang sudah tiada di muka bumi ini..Bahasa yang digunakan adalah sedikit rojak kerana tuan empunya blog hanya mampu mendapat Credit 4 untuk Bahasa Melayu & Credit 3 untuk Bahasa Inggeris pada SPM tahun 1999. Jadi, bimbingan ibubapa adalah diperlukan bagi menafsirkan bahasa rojak yang digunakan;)

Segala bahan, gambar & segala kandungan blog ini adalah kepunyaan peribadi tuan empunya blog (melainkan dinyatakan sumbernya) untuk tatapan generasi akan datang tuan empunya blog nanti. Setiap bahan, gambar & segala kandungan yang ingin diguna pakai, haruslah memberi kredit kepada Zailabinimdae's blog atau diletakkan link blog ini.

Di bawah AKTA 588, AKTA Komunikasi & Multimedia 1998, seseorang individu boleh didakwa sekiranya anda berniat untuk menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang atau mana-mana nombor atau alamat elektronik. Jadi, hormatilah coretan rasa tuan empunya blog agar kita semua dirahmati & berada di bawah lindungan ALLAH selalu^_^