Assalamualaikum,
Hari ini saya akan kongsikan pengalaman berniaga semasa bulan puasa tahun lepas. Alhamdulillah Allah gerakkan hati untuk mencuba perniagaan kerepek. Mulanya kami hanya terjumpa kilang kerepek sahaja, kemudian saya ternampak senarai harga produk kerepek keluaran mereka. Terus terlintas di dalam hati untuk fokus menjual kerepek. Mulanya takut-takut juga memandangkan saya tiada modal yang besar untuk dilaburkan, tapi saya tekad mahu mencuba kerana mahu carikan pengalaman berniaga di bulan puasa.
Perkara pertama yang saya lakukan sudah tentulah dengan mencari ejen-ejen jualan yang sanggup menjual produk tersebut. Saya iklankan di dalam blog saya selama beberapa bulan. Harus diingat, jika mahu berniaga di bulan puasa, seharusnya bermula dari sekarang. Jangan esok baru nak puasa hari ini baru mahu bermula. Jika begitu, lupakan aje niat suci murni itu.
Setelah mendapat beberapa maklumbalas dari mereka yang membaca blog saya, saya tapis pula. Iyalah, bukan semua orang kita mahu berurusan kan? Terutamanya mereka yang tinggal jauh dari Selangor, nak kena fikirkan masalah penghantaran pula. Jadi, setelah menetapkan beberapa syarat dan komisyen, saya telah ada lebih kurang 10 orang ejen yang betul-betul berminat menjual produk kerepek. Alhamdulillah, semuanya memberikan kerjasama yang baik dan jika tidak silap tahun lepas saya berjaya mendapat tempahan melebihi dari 100kg pelbagai jenis kerepek. Maaflah, jumlah sebenar tidak dapat diketahui sebab semua data saya hilang dek kerana laptop yang rosak tempohari!
Semasa mengambil tempahan, sudah tentulah saya juga harus mengeluarkan modal pendahuluan untuk membeli dan menyediakan sampel, kemudian saya juga memerlukan sejumlah wang yang banyak juga untuk membeli dahulu produk supaya setiap pelanggan bakal mendapat apa yang ditempah. Jika tidak silap, saya menggunakan dalam RM700 sebagai modal permulaan. Dari mana saya mendapat duitnya? Sudah tentulah dengan berhutang dahulu dengan mak saya. Hi hi hi Masa itu saya kasihankan suami yang terpaksa menanggung banyak beban kewangan keluarga jadi saya memilih emak saya sebagai sumber kewangan saya :)
Emak sememangnya seorang peniaga memang cukup baik dan memahami keadaan saya. Alhamdulillah, setelah mendapat bayaran, saya terus membayar hutang tersebut supaya nanti tidak akan terguna duit tersebut. Memang, apabila berniaga kita akan banyak berhutang terutamanya untuk dijadikans ebagai modal pendahuluan. Jika kita seagai pengeluar biskut raya, sudah tentu juga kita memerlukan duit yang banyak untuk membeli bahan mentah dan peralatan untuk membuat biskut raya kan? Kerana selepas siap baru pelanggan akan membayarnya. Jadi, nasihat saya bagi mereka yang mahu berniaga, simpanlah duit untuk dijadikan sebagai modal. Bergantung kepada jenis perniagaan anda, jika besar modalnya maka besarlah pelaburannya.
Selain dari masalah modal, saya juga mengalami masalah kekurangan stok dari kilang. Harus diingatkan ya, pada bulan puasa bukan kita seorang sahaja yang menjual. Ada ramai lagi peniaga-peniaga otai yang menjual dan membeli borong sampaikan habis semua stok di kilang. Memang mencabar fizikal dan mental apabila barang yang dijanjikan tidak ada. Hampir setiap hari saya telefon kilang dan bertanyakan stok. Akhirnya, dua minggu menanti di dalam bulan puasa, stok ada cuma ada beberapa yang tidak mengikut perjanjian asal. Contohnya pek 500gm tiada dan diberikan pek 5kg dan menyuruh kita membungkusnya sendiri. Aduuuhh, bila diingatkan pengalaman tersebut memang boleh patah semangat juga!
Gambar : sebahagian dari tempahan pelanggan
Saya cukup berterima kasih kepada suami saya yang sangat memberikan sokongan kepada saya. Bayangkan, selepas berbuka puasa suami berkorban pergi mengambil stok di kilang dan perjalanan pergi dan balik mengambil masa lebih dari sejam. Dengan pelbagai karenah pekerja kilang yang sudah hilang sabarnya, dengan keadaan kereta kami yang tak sesuai untuk mengangkut barang. Alhamdulillah, suami berjaya juga. Hanya Allah sahaja yang boleh membalas segala jasa baik suami pada saya. Ikutkan hati, tahun ini saya sudah tidak mahu melihat suami bersusah macam itu, jadi saya telah rangka strategi baru.
Dalam perniagaan, sudah tentulah akan ada pengorbanan. Bukan senang untuk berjaya. Bagi saya yang hanya peniaga picisan ini, masih ada banyak lagi ilmu untuk digali melalui mentor-mentor di luar sana. Nasihat saya, jika kalian tiada wang modal yang banyak untuk bermula, mulakan dengan menjadi ejen jualan dropship dan nikmati komisen tanpa perlu bersusah-susah seperti saya. Bukan semua orang sukakan cabaran dalam berniaga. Ada yang mudah patah semangat, bila timbul masalah terus hilang semangat. Itu bukan diri saya. Alhamdulillah, bila kita diuji bermaksud semakin dekat Allah mahu kita berada di sampingNYA.
Niat untuk berniaga juga harus diperbetulkan. Bukannya semata-mata mahu mencari keuntungan wang ringgit dan dunia semata-mata. Saya bersyukur tahun lepas saya mampu memberikan duit raya yang lebih sedikit buat mak ayah dan ibu mertua saya dan ianya bukan duit suami. Iya, duit itu hasil dari berniaga. Walau tak banyak tapi besar maknanya kan? Insya Allah, tahun ini saya cabar lagi diri ini. Walaupun sedang mengandung dan bakal melahirkan anak kelima dalam bulan puasa ini, saya cabar juga diri untuk melakukan semua ini. Bukan kerana saya tamak, tapi saya mahu membahagiakan orang-orang lain; mak ayah, adik beradik dan ejen-ejen saya. Doakan semoga saya berjaya.
Jangan takut akan pandangan orang lain tapi takutlah pada Allah. Akhir kata, saya buka peluang bagi mereka yang berminat untuk menjadi ejen-ejen jualan produk saya pada bulan puasa nanti. Jom sama-sama kita kumpul duit raya sendiri :)
Daftar sini : Borang Tempahan
atau hubungi saya melalui :
Email : zailamohamad@yahoo.com
Sms/whatsapp : 012-3228651
Facebook : Zaila Mohamad
Sehingga bertemu lagi. Assalamualaikum.
1 ulasan:
ye ke? aku rasa aku sorg agen pun dh dpt order 73.5kg data yg masih x ilang
Tapi yg sbnr ada stok hya 42.5 kg sajer..
mesti mu dpt lbh 200kg order kan
xpelah tu cite thn 2013, ni thn 2014, cuba lagi
Catat Ulasan